Pada usia 76 tahun, kudrat N Gunamani sudah tidak sekuat mana.
Malah, kesihatannya juga makin merosot.
Terbaru, dia terpaksa berada di rumah selama lebih sebulan pada
awal Disember lalu akibat jangkitan kuman di kaki.
Jika orang seusianya cuma mahu berehat dan melayani cucu di
rumah kerana sakit, dia yang lebih dikenali sebagai Uncle Gunamani tidak dapat
tidur lena.
“Ketika terperap di rumah, hati saya tak tenang. Tak dapat tidur
lena kerana memikirkan kucing, burung dan anjing yang mungkin kelaparan kerana
menanti kehadiran saya membawa makanan,” katanya.
Dia bagaimanapun bersyukur kerana kini mampu meneruskan aktiviti
hariannya itu seperti biasa selepas pulih 80 peratus daripada penyakit itu.
“Saya masih bergantung kepada ubat tapi tetap mahu meneruskan
rutin ini kerana ia memberi kepuasan luar biasa.
“Saya mula memberi makan kepada haiwan terbiar sejak 25 tahun
lalu selepas bermimpi dikunjungi seorang lelaki tua berjubah putih.
“Dia yang menggelar saya ‘anak’ meminta saya beramal dengan
memberi makanan kepada binatang dan berkata ia kewajipan yang
dipertanggung-jawabkan kepada saya,” katanya.
Gunamani berkata, dengan memberi makanan kepada binatang berkenaan,
dia berpeluang beramal dan menambah keberkatan keluarganya.
“Saya sudah anggap kucing, anjing dan burung sebagai ahli
keluarga. Tak pernah anggap amalan ini sebagai membebankan atau menyusahkan.
“Mereka juga makhluk Tuhan seperti manusia dan kita mempunyai
kelebihan serta keistimewaan perlu berbuat baik kepada makhluk lain.
“Saya terkilan apabila ada yang sanggup mendera binatang kerana
tidak selesa dengan kehadiran mereka. Ia sikap yang buruk yang sepatutnya
dijauhi,” katanya.
Setiap hari, Gunamani menunggang motosikal sejauh lebih 40
kilometer bagi memberi makanan kepada haiwan terbiar di beberapa kawasan.
Menurutnya, dia membawa lebih 10 kilogram makanan termasuk
makanan basah seperti ayam yang sudah dicencang, ikan serta dedak burung untuk
diberi kepada haiwan berkenaan.
Katanya, perjalanannya bermula dari kediamannya di Taman Pasir
Putih, kawasan bandar Masai, Taman Rinting, Kota Masai dan Ulu Tiram di Pasir
Gudang.
“Kucing-kucing ini bagaikan sudah tahu saya dalam perjalanan ke
sesuatu lokasi kerana mereka akan berkumpul di tempat biasa. Dengar sahaja
bunyi motosikal saya, ada yang sanggup mengejar dari belakang hingga saya
menghentikan kenderaan.
“Saya memberi makanan kepada haiwan terbabit dua hingga tiga
kali sehari pada waktu pagi dan petang. Perbelanjaannya pula tidak kurang
RM2,000 sebulan.
“Saya menggunakan pendapatan sebagai pembekal sayur
kecil-kecilan bagi menampung kos membeli makanan haiwan berkenaan. Isteri, S
Mariayi (73 tahun) mahupun anak-anak tidak pernah menghalang, sebaliknya berbangga
dengan apa yang saya lakukan.
“Sebelum keluar rumah, kebiasaannya mereka menasihati saya
supaya berhati-hati menunggang motosikal berikutan rutin harian saya ini
memakan masa dua hingga tiga jam,” katanya.
Gunamani yang juga Pengerusi MyPPP Taman Scientex berkata,
biarpun ramai penduduk memberi sokongan, ada segelintir kurang menyenanginya.
Menurutnya, dia pernah dibaling batu dan dimaki kerana didakwa
menjadi punca pembiakan haiwan terbiar di kawasan perumahan selain mencemari
atau mengotorkan lokasi berkenaan.
Bagaimanapun, dia tetap meneruskan amalannya itu.
“Saya bukan mencuri atau tipu orang. Tak perlu malu pun. Malah,
sejak melakukan amalan ini, ia memberi keberkatan kepada keluarga termasuk
semua anak saya berjaya dalam kehidupan.
“Saya hanya mengharapkan kesihatan yang baik, boleh bekerja dan
mencari duit untuk meneruskan rutin ini hing–ga akhir hayat,” katanya.
Sementara itu, seorang pencinta haiwan, Rosnita Puteh, 38,
mengagumi keprihatinan Gunamani terhadap haiwan liar.
Menurutnya, dia kerap melihat warga emas berkenaan memberikan
makanan kepada kucing di sekitar Jalan Masai Lama.
“Saya pelik melihat
kehadirannya di kawasan itu. Mulanya menyangka dia menjual sesuatu, namun saya
terharu apabila melihat Uncle Gunamani memberi makanan kepada kucing terbiar,”
katanya.
0 comments:
Post a Comment