MELAKA - Kerajaan
negeri mengarahkan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memantau sebuah
pusat asuhan kanak-kanak (taska) di Paya Rumput, susulan terdapat aduan yang
mendakwa wujudnya unsur penganiayaan terhadap bayi di bawah jagaan pusat
berkenaan oleh bekas pengasuhnya, lapor Sinar Harian.
Beberapa gambar
serta video yang dirakam menggunakan telefon bimbit oleh salah seorang bekas
pengasuh taska tersebut menunjukkan beberapa bayi diikat kaki dan tangan mereka
dengan kain lampin sambil muka ditutup dengan kain dalam keadaan sedang menyusu
botol.
Video berdurasi
satu minit 27 saat itu juga menunjukkan seorang pengasuh yang baru bangun dari
tidur menengking bayi yang menangis dan memasukkan botol susu dengan kasar.
Satu lagi video yang berdurasi 11 saat pula menunjukkan seorang pengasuh taska
memandikan bayi yang ditiarapkan di atas lantai tandas dalam keadaan
menangis.
Exco Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal
Kebajikan negeri, Datuk Latipah Omar berkata, hasil siasatan JKM mendapati
dakwaan yang viral di media sosial itu adalah benar. Perkara itu dilakukan oleh
bekas pengasuh yang berusia dalam lingkungan 60-an dan telah diberhentikan
kerja dua minggu lalu.
"Pengusaha
taska sudah memberi penjelasan dan pihaknya telah memberhentikan wanita
terbabit selepas berkhidmat di situ selama tujuh tahun.
"Difahamkan
keadaan itu berlaku sejak beberapa bulan yang lalu, mungkin perasaannya
terganggu disebabkan wanita berkenaan masih bujang," katanya.
Menurut beiau,
pihak JKM sebelum ini ada menerima aduan daripada ibu bapa mengenai perkara
tersebut dan beberapa siri lawatan telah dilakukan. Bagaimanapun tiada bukti
yang sahih untuk mengaitkannya sehinggalah gambar dan video dirakam salah
seorang bekas kakitangan taska tersebut.
"Pengusaha
taska juga telah diberikan amaran serta nasihat. Sekiranya gagal mematuhi garis
panduan yang ditetapkan, mereka boleh dikenakan tindakan," katanya.
Justeru, beliau
meminta JKM kerap melakukan lawatan secara berkala bagi memastikan taska
tersebut sentiasa mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
0 comments:
Post a Comment