“Tolong jangan ambil kucing saya. Saya sangat sayangkan mereka
kerana dipelihara sejak ibu saya masih hidup lagi," kata pemilik kucing
yang enggan menyerahkan haiwan peliharaannya untuk diselamatkan.
Lelaki terbabit yang hanya dikenali sebagai Nazri, tinggal di
rumah flat di Sentul sendirian sejak ibunya meninggal dunia April lalu, namun
keadaan rumahnya tidak tersusun selain dipenuhi dengan pelbagai barang
menyebabkan 46 kucingnya dijangkiti kuman Sporo.
Nazri yang pada mulanya berdegil tidak mahu membenarkan
Persatuan Sahabat Kucing Jalanan mengambil kucing miliknya berkata, dia
terpaksa meminta sumbangan daripada orang ramai melalui Facebook (FB) kerana
tidak mampu membeli makanan kucing.
"Saya juga ada membela seekor arnab dan disebabkan tiada
duit mahu membeli makanannya, saya terpaksa mengutip baki sayuran di tapak
pasar malam di Sentul untuk memberi makan kepadanya," katanya.
Nazri mendakwa dia mampu menjaga semua kucing berkenaan dan
tidak mahu pihak lain menyentuh haiwan itu dan jika mahu merawat mereka, boleh
rawat di rumahnya.
"Saya tak akan benarkan kucing saya diambil kerana saya
sayangkan mereka. Kalau betul pihak kamu mahu merawatnya, boleh rawat di sini
saja," katanya.
Pihak polis dan persatuan terbabit mengambil masa kira-kira 10
minit untuk memujuk Nazri sebelum dia membenarkan kucing peliharaannya diambil
keluar.
Daripada pemerhatian
wartawan, rumahnya memang tidak sesuai untuk membela dan melakukan rawatan
terhadap kucing yang dijangkiti Sporo dan penyakit lain.
0 comments:
Post a Comment