KEHANGATAN Grand Prix Formula
Satu (F1) mencapai kemuncaknya apabila hari ini merupakan hari terakhir
perlumbaan itu diadakan di litar Antarabangsa Sepang, Malaysia.
Kebiasaannya,
bukan hanya peserta perlumbaan ini yang menjadi bualan netizen, namun gadis
litar yang sinonim dengan pakaian seksi turut mencuri perhatian orng ramai.
Namun untuk
perlumbaan kali ini, tiada lagi gadis litar seksi, sebaliknya pakaian mereka
lebih bergaya dan tidak terlalu menonjol.
Gandingan
duo pereka fesyen terkenal, Rizman Ruzaini diberikan peluang untuk mereka baju
gadis litar bagi tahun ke-19 dan yang terakhir diadakan di Malaysia.
Sudah pasti
ianya merupakan satu penghormatan buat mereka menjadi antara pereka fesyen yang
bertuah mereka busana gadis litar bagi perlumbaan berprestij ini.
“Sebenarnya sudah lama saya teringin nak reka baju untuk gadis
litar Formula Satu sejak dari saya sekolah menengah lagi. Ini adalah salah satu
impian saya dan ia telah pun menjadi realiti.
Apa yang saya cuba tampilkan hari ini adalah mengikut apa yang
saya dan Rizman sendiri mahu curahkan”, kata Ruzaini dipetik laporan Suria FM.
Bagi
memperkenalkan rekaan busana yang akan digayakan oleh 64 orang gadis litar itu,
satu pertunjukan khas telah diadakan. Dengar-dengarnya, pereka fesyen duo ini
mereka 64 busana berdasarkan ukuran dan potongan badan setiap model.
Untuk rekaannya
pula, Rizman dan Ruzaini menampilkan dua rekaan eksklusif dan diinspirasikan
dari Baju Kurung dan Baju Kebaya. Warnanya pula sudah pasti gandingan warna
rasmi Petronas iaitu hijau dan putih.
“Kami membuat kajian agak lama untuk menghasilkan rekaan ini. Kami
melihat kembali rekaan-rekaan yang pernah dihasilkan oleh pereka terdahulu.
Kami mahu buat sesuatu yang belum pernah dihasilkan. Sebab itu
kami bermain dengan potongan serta penggunaan fabrik jenis renda untuk tampil
berlainan”, ujar Rizman.
Rizman dan
Ruzaini juga menggunakan material ‘crepe’ untuk baju tersebut bagi memastikan
kesemua 64 orang gadis litar itu selesa semasa berada di litar sepanjang hari
dari enam pagi hingga lima petang.
Malah,
kasut yang dipakai oleh gadis-gadis ini turut direka khas oleh mereka.
“Kasut adalah pelengkap gaya kepada gadis-gadis litar ini nanti.
Pihak Petronas ada memberi panduan kalau hendak mereka kasut, harus bersesuaian
dengan cuaca panas di litar sepang. Kita guna fiber untuk bahagian bawah dan
bukannya getah”,tambah Rizman lagi.
Bukan itu
sahaja, gaya setiap gadis dari hujung rambut ke hujung kaki sepanjang tiga hari
berlangsungnya perlumbaan itu menjadi tanggungjawab mereka berdua.
Bukan sesuatu
yang mengejutkan apabila Rizman Ruzaini yang dipilih untuk mereka busana gadis
litar ini. Mana tidaknya, idea yang segar serta kualiti yang baik menjadikan
mereka sering mendapat kepercayaan untuk mereka busana untuk selebriti dan
orang kenamaan. – MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim
0 comments:
Post a Comment