YAN – Sebanyak 13 pusat rekreasi
di negeri ini dikesan sebagai lokasi berlakunya kejadian ‘kepala air’
termasuklah Hutan Lipur Lubuk Semilang, Langkawi, yang mengorbankan empat
nyawa, baru-baru ini.
Timbalan
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Kedah, Mohd Zahar
Abdullah berkata pada tahun ini, selain kes berkenaan, kejadian sama turut
berlaku di Batu Hampar, Yan; Pusat Rekreasi Tupah, Merbok; dan Air Terjun
Temurun, Datai, Langkawi, yang keseluruhannya melibatkan 15 mangsa namun
kesemuanya dilaporkan selamat.
“Selain empat lokasi berkenaan, JBPM negeri turut mengesan lokasi
lain yang pernah berlaku kejadian kepala air iaitu di Titi Hayun, Yan; Bukit
Wang, Jitra; Sungai Batu Pahat, Merbok; dan Puncak Janing, Kuala Nerang.
“Terdapat tiga lokasi di Kulim iaitu Sungai Kilim, Sungai Sedim
dan Lata Junjung, manakala dua lagi lokasi di Langkawi iaitu Telaga Tujuh dan
Durian Perangin,”katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pentauliahan
Pegawai Bomba Bantuan Siri 1/2017 di Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Yan di
sini, hari ini.
Menurutnya,
dengan faktor cuaca yang tidak menentu ketika ini, tahap kesiapsiagaan anggota
JBPM negeri Kedah adalah sangat tinggi bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
“Bagaimanapun kita berharap anggota masyarakat juga perlu
mengambil langkah berhati-hati sepanjang masa, khususnya sewaktu mengunjungi
lokasi-lokasi terbabit untuk beriadah,” katanya.
Sementara itu,
Majlis Pentauliahan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Industri Dan
Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna Dan Koperasi merangkap
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, Datuk Dr. Ku Abd Rahman Ku
Ismail.
Pada majlis
tersebut, seramai 61 pelatih termasuk 55 pelatih lelaki dan enam pelatih
perempuan menerima sijil pentauliahan sebagai Pegawai Bomba Bantuan.
Muhammad
Saufian Ahmad Shuhaimi, 25, dinobatkan sebagai pelatih terbaik keseluruhan bagi
kursus Pegawai Bomba Bantuan Siri 1/2017, manakala Pelatih Terbaik Dari Aspek
Teori disandang Nabila Mohd Basir, 18, dan gelaran Pelatih Terbaik Dari Aspek
Praktikal menjadi milik Muhammad Firdaus Idris, 26. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment