Wednesday, October 25, 2017

Filled Under:

''Baru Darjah 1 Tapi Setia Pimpin Ayah Yang Buta Di Tepi Jalan'', Aturan Allah Temukan Aku Dengan Mereka



Dalam perjalanan ke tempat kerja, anda ternampak seorang anak kecil yang masih tidak mengerti soal tanggungjawab, tetapi setia memimpin tangan si ayah yang buta di tepi jalan, mungkin ketika itu cuacanya sedang panas, mungkin juga hujan sedang turun. Jika anda adalah orang itu, apakah tindakan yang akan anda ambil? Berhenti bertanya khabar menghulur bantuan atau berlalu pergi seolah-olah tiada apa yang berlaku?

Jika anda seorang manusia yang berhati mulia dan prihatin dengan masyarakat sekeliling, anda mungkin bertindak seperti apa yang dilakukan oleh lelaki ini, 
Mohd Fadli Salleh yang berkongsi kisahnya yang berhadapan dengan situasi di atas. Kami bawakan perkongsiannya di bawah.

Hari ni tergerak hati nak ke sekolah dengan kereta. Aku bawa terus 60 buah beg sekolah untuk simpan kat sekolah dan agih lepas peperiksaan akhir tahun nanti.

Lalu depan Pasar Gombak, kelihatan seorang budak perempuan sedang memimpin tangan ayahnya dan menyekat teksi belakang kereta aku. Melalui cermin pandang belakang, aku perhati teksi berwarna hijau itu tidak berhenti!

Terus aku berhentikan kereta. Walau dah terlepas jauh, tak sanggup aku nak biarkan anak kecil dan lelaki buta berpanasan ditepi jalan macam ni. Aku undur kereta dan berhenti betul-betul didepan mereka.


"Oh, kereta biasa. Ingatkan teksi," kata si ayah selepas anaknya berbisik ditelinga.

"Abang nak pergi mana? Meh saya hantarkan."

"Saya nak hantar anak saya ni ke Sekolah Danau Kota. Lepas tu tunggu anak darjah 5 pula pulang dari sekolah," balas si buta jujur.

Aku buka pintu kereta, dan pelawa mereka masuk. Dalam kereta kami berborak. Tentang kehidupan dia, tentang apa saja. Kadangkala kami gelak bersama bila aku bergurau dengan dia.

Anak dia ada 4. 3 perempuan satu lelaki. Yang sulung Tingkatan 1, yang bongsu 2 tahun. Yang dalam kereta ni, namanya Hadini Fatihah. Tahun 1 Gemilang. Cantik dan petah budak ini. Jalan ke sekolah dia yang tunjuk, tanya apa saja tentang keluarga dengan lancar dia jawab.


Sebelum turun kereta, aku sempat bagitahu dia tentang Projek Beg Sekolah yang aku lancarkan. Kejadian aku tiba-tiba tergerak hati nak bawa kereta, nak bawa beg, teksi hijau tak berhenti dan aku memberi tumpang mereka bukan kebetulan. Ini perancangan Allah S.W.T. Cantik dan sempurna kan?

Sebaik turun kereta, aku serahkan 3 buah beg untuk anak-anak dia yang bersekolah serta sedikit sumbangan wang untuk perbelanjaan harian. Lepas tu aku minta izin untuk ambil gambar dia dan Hadini Fatihah.


Alhamdulillah, keluarga ini tidak pernah aku kenali. Tapi Allah aturkan agar keluarga mereka merupakan penerima pertama Projek Beg Sekolah untuk kegunaan 2018.

Senyumlah pengirim sumbangan sekalian, ada doa yang baik-baik dititipkan buat kalian dari si buta dan anak-anaknya ini. Dan pahala yang berterusan mula mengalir ke akaun simpanan pahala kalian. Tenang dan yakinlah dengan janji Allah.

Kita mungkin tidak ditakdirkan untuk bersua di dunia, namun aku mohon pada Allah S.W.T agar kita berjumpa di taman-taman syurga kelak. In Sha Allah, amin.

Sumber : 
Mohd Fadli Salleh




0 comments:

Post a Comment