PENGASAS produk kecantikan Qu
Puteh, Datuk Seri Vida ‘turun padang’ melawat 21 buah keluarga mangsa
kanak-kanak yang terkorban dalam tragedi Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah
14 September lalu.
Dalam pertemuan
yang diadakan malam tadi, Vida menyampaikan sumbangan kepada mereka berjumlah
RM10,000 kepada keluarga yang kehilangan dua dan tiga anak dalam tragedi itu
manakala yang lain menerima sumbangan sebanyak RM3,000.
Beliau turut
menyampaikan produk syarikatnya, minuman Pamoga dan juga
Al-Quran yang dikeluarkan sendiri iaitu Quran D’Qalbu.
“Saya juga akan aturkan urusan umrah untuk 18 anak-anak yang
terselamat secepat mungkin, seawal-awalnya sebelum 20 Oktober depan.
“Saya juga takkan melupakan ibu bapa semua mangsa, Insya Allah
kita juga akan bawa mereka menunaikan umrah… kita akan buat secara
berperingkat.
“Saya tidak mahu hubungan ini terputus, saya akan jadikan semua
anak-anak yang terselamat sebagai anak angkat, manakala semua keluarga mangsa,
sebagai keluarga angkat,” katanya dipetik laporan BH Online.
Pelantun
suara bagi lagu I Am Me ini buat pertama kalinya
berjumpa dengan keluarga dan waris kanak-kanak yang terkorban sekitar jam 9.15
malam sebelum disambut pengetua pusat tahfiz berkenaan, Mohd Zahid Mahmood.
Dalam pada itu,
Vida turut berkongsi pengalamannya yang kehilangan dua anak sekaligus dalam
kejadian kebakaran yang berlaku rumahnya beberapa tahun lalu.
“Walaupun kejadian yang menimpa saya sudah empat tahun berlalu,
saya masih merasai keperitan akibat kehilangan dua anak dalam kebakaran.
“Saya memahami perasaan setiap keluarga mangsa yang anak mereka
terkorban dalam kejadian ini. Saya amat memahami kesedihan, kepedihan,
keperitan anda.
“Namun kita perlu kuat, kekuatan untuk menempuh dugaan ini adalah
anugerah Allah,” katanya sambil menahan sebak.
Harapannya agar
perkongsian dan kata-kata semangatnya itu mampu membuatkan mereka tabah
menghadapi dugaan ini dan bersabar dengan nikmat yang bakal diterima kelak.
Vida juga
sempat berpesan agar semua waris tidak menyalahkan mana-mana pihak terutama
pusat tahfiz dan bersabar dengan ujian yang dilemparkan. – MYNEWSHUB.CC/Aisyah
Karim
0 comments:
Post a Comment