Friday, September 15, 2017

Filled Under:

Susulan Gambar Viral, Ramai Hubungi Saya Ingat Saya Terkorban Dalam Kebakaran Tahfiz




Malaysia masih lagi bersedih dengan tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Keramat yang menyaksikan seramai 23 nyawa terkorban pada awal pagi Khamis yang lalu.

Namun, seorang lelaki mendapat kejutan ‘lebih; yang tak disangka-sangka apabila dirinya dikatakan sebagai salah seorang mangsa yang terkorban dalam insiden memilukan itu.

Gambar lelaki tersebut yang duduk bersama-sama dengan pelajar tahfiz menjadi tular di media sosial, termasuk terpapar di dada akhbar tempatan pada Jumaat.

Mohd Zuhaiman Majid, 42, berkata, khabar bahawa dirinya dikaitkan dengan insiden tersebut hanya diketahui apabila diberitahu oleh seorang rakan pada tengah hari Khamis.

Tambahnya lagi, dia bukanlah guru yang dikatakan sebagai sebahagian daripada mangsa, sebaliknya gambar tersebut adalah gambar ketika beliau menghadiri satu majlis tahlil dan solat hajat yang diadakan di pusat tahfiz pada 26 Ogos yang lalu anjuran bekas pelajar MRSM, Kota Bharu.



“Ramai yang hubungi saya ingatkan saya salah seorang tenaga pengajar, malah ada yang turut menyangka saya menghantar anak saya ke sekolah itu.

“Ingin saya jelaskan bahawa saya tidak terlibat dalam kebakaran itu. Saya bukan mangsa kebakaran. Harap semua tidak salah faham,” katanya lagi.

Ujarnya yang berasal dari Kelantan, dia mengakui berasa terkejut sebaik sahaja menerima khabar tragedi tersebut dan tidak menjangka peristiwa sebegitu akan berlaku.

Menurut Mohd Zulhaiman, dia sempat solat berjemaah, membaca Yassin, mengadakan tahlil dan makan bersama-sama ketika bertemu dengan para pelajar dari tahfiz tersebut yang disifatkanya sebagai ceria dan berdisiplin.



“Banyak gambar saya ambil dengan mereka. Saya belek-belek gambar mereka, saya tengok muka mereka setiap seorang walaupun tak tahu yang mana terkorban. 

“Saya anggap mereka macam anak sendiri. Saya terfikir macam mana keadaan mereka dalam kebakaran tu. Saya tak dapat bayangkan, saya jadi sebak,” kata bapa kepada tiga anak ini.

Dia bagaimanapun berkata, ajal dan maut adalah ketentuan Tuhan dan berdoa agar semua mangsa yang terkorban ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

“Kepada semua keluarga mangsa, saya ucapkan salam takziah. Semoga terima kejadian ini dengan reda dan tabah,” katanya.

mstar




0 comments:

Post a Comment