KUALA LUMPUR – Polis sedang
mencari bahan bukti dipercayai pemutar skru yang digunakan tujuh suspek sewaktu
kejadian kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, di Jalan Keramat
Hujung, di sini.
Susulan itu,
sepasukan anggota penyelam PDRM dikerahkan ke Taman Tasik Datuk Keramat yang
terletak di belakang pusat tahfiz itu hari ini sejak 10.30 pagi tadi yang turut
disertai pasukan penyiasat dan Unit Forensik.
Menurut sumber,
bahan bukti itu dicampak ke tasik berkenaan selepas insiden itu dilakukan.
“Pemutar skru itu dipercayai digunakan bagi memasuki premis
berkenaan. Bahan bukti ini penting bagi melengkapkan kertas siasatan,” katanya ketika
ditemui Bernama.
Turut
kelihatan, seorang daripada tujuh suspek yang dibawa ke kawasan taman tasik
berkenaan dipercayai bagi menunjukkan lokasi pemutar skru itu dibuang.
Ketua Jabatan
Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Rusdi Md Isa ketika dihubungi mengesahkan
perkara itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
Semalam, polis
membawa ketujuh-tujuh suspek ke lokasi kejadian dipercayai untuk menerangkan
kepada pasukan penyiasat apa yang berlaku pada malam kejadian, 14 September
lepas.
Kebakaran pusat
tahfiz itu mengorbankan 21 pelajar dan dua guru akibat terperangkap di asrama
di tingkat paling atas bangunan tiga tingkat itu.
Pada Jumaat
lepas, tempoh reman tujuh remaja disyaki terlibat dalam kes kebakaran di pusat
tahfiz itu disambung tujuh hari lagi sehingga 29 September bagi membantu
siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 435
kanun yang sama kerana khianat menggunakan api. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment