BEIJING – Polis Diraja Malaysia
(PDRM) dipertanggungjawabkan untuk bertindak menyekat penganjuran pesta arak,
Better Beer Festival 2017 yang dirancang diadakan pada hujung bulan ini, kata
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad
Zahid Hamidi.
“Itu polis punya kuasa, saya sudah arah halangnya,” katanya kepada
wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan kerja tiga hari beliau di China,
di sini, hari ini ketika diminta mengulas perkembangan isu pesta arak itu.
Turut hadir
pada sidang media itu ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan
Duta Besar Malaysia di China, Datuk Zainuddin Yahya.
Menteri Besar
Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali baru-baru ini menegaskan pendirian
kerajaan negeri untuk membenarkan penganjuran pesta arak itu dengan syarat
peraturan dan undang-undang pihak berkuasa tempatan dipatuhi penganjur.
Pada 18
September lepas, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permohonan permit
bagi penganjuran pesta arak itu di ibu negara.
Mengulas
lanjut, Muhamad Fuzi berkata PDRM akan mengambil tindakan tegas dan tidak akan
berkompromi terhadap penganjuran pesta arak itu atas faktor kepentingan
keselamatan umum.
Malah beliau
mengesahkan polis mendapat maklumat terdapat pergerakan pihak luar yang
merancang untuk melancarkan serangan ke atas pesta arak itu.
“Kami tidak akan kompromi kerana ancaman itu adalah benar,” katanya sambil
menambah terdapat 26 badan bukan kerajaan telah menghantar bantahan kepada
Sultan Selangor berkaitan pesta itu. — BERNAMA
0 comments:
Post a Comment