BUKIT KAYU HITAM – Sebanyak 4,005
pokok mangga harumanis ditanam secara serentak di Ladang Kolej Pertanian
Malaysia, Bukit Tangga di sini telah melayakkan Jabatan Pertanian Kedah
mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR).
Pengiktirafan
itu memecahkan rekod yang pernah dicatatkan pada 2015 di Perlis yang melibatkan
sebanyak 2,000 pokok mangga harumanis yang ditanam secara serentak di 23 lokasi
di atas tanah seluas 16.26 hektar.
Ketua Pengarah
Pertanian, Datuk Ahmad Zakaria Mohamad Sidek berkata program dengan kerjasama
Bahagian Latihan Kemahiran Pertanian (BLKP), Kementerian Pertanian Industri Asas
Tani itu mendapat penyertaan 2,000 peserta yang terdiri daripada pelajar kolej
itu serta pegawai di jabatan serta agensi di bawah kementerian.
Sijil
pengiktiran tersebut disampaikan Timbalan Pengurus Besar MBOR, Mohamad Alex
Edward kepada Pengarah BLKP, Mohd Sufian Sulaiman sambil disaksikan Pengerusi
Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pertanian Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan
Kebajikan Masyarakat negeri Datuk Suraya Yaacob.
Dalam pada itu,
Suraya berkata kerajaan negeri berasa bangga apabila program yang diadakan
Jabatan Pertanian itu mendapat pengiktirafan MBOR sekali gus menjadi pemangkin
kepada tanaman mangga harumanis di negeri ini.
Beliau berkata
kerajaan negeri akan melihat ke arah usaha untuk mengkomersialkan mangga
harumanis selain mangga cokanan yang ditanam di Tobiar, Pendang.
“Cuaca di Kedah utara amat sesuai kerana ia terletak dekat dengan
Perlis dan Thailand di mana kadar penurunan hujan rendah dan cuaca panas yang
sesuai untuk tanaman mangga harumanis. Kita bukan nak bersaing dengan Perlis
tetapi untuk meningkatkan kuantiti mangga harumanis,” katanya. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment