KUALA NERANG – Lima beranak yang
tinggal dalam sebuah pondok daif yang tidak berdinding dan berpintu dengan
hanya berlantaikan buluh dalam kawasan hutan kebun getah di Kampung Kuala
Tualak di sini, bakal menerima bantuan rumah di tapak berhampiran.
Perkara itu
dinyatakan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri Kuala Nerang merangkap Pengerusi
Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan
Tenaga negeri, Datuk Badrol Hisham Hashim selepas mengunjungi keluarga itu di
pondok mereka.
Pasangan muda
itu, Mohd Ridzuan Yaakob, 26, dan isterinya, Nur Hidayah Roslizam, 23, yang
sedang hamil enam bulan, serta tiga anak mereka berusia setahun setengah hingga
enam tahun tinggal di pondok itu hampir setahun yang lalu.
Nur
Hidayah yang berasal dari Pulau Pinang itu berkata dia mengambil keputusan
mengikut suaminya, dari Kampung Baru Tualak di sini, tinggal dalam pondok itu
untuk memudahkan suaminya yang bekerja kampung mencari rezeki di kawasan hutan
itu.
“Sebelum ini saya tinggal dengan mak mertua tetapi terpaksa pindah
sebab adik-beradik suami pun duduk sekali dengan mak. Kemudian kami menyewa di
luar, itu pun tidak sampai sebulan, kami ambil keputusan duduk di sini (kebun
getah).
“Suami memang setiap hari akan keluar masuk hutan kawasan kebun
getah ini untuk mencari rezeki. Suami saya buat pelbagai kerja kampung seperti
menoreh getah dan mencari petai dan dapatlah sebulan antara RM600 dan RM700,” katanya kepada
pemberita di pondoknya itu sempena kunjungan Badrol Hisham tersebut.
Pondok itu
bertiangkan kayu yang tidak kukuh serta beralaskan bumbung plastik dan ia
dibina di bawah cerun bukit dengan anggaran kedalaman kira-kira 20 meter.
Keluarga itu menggunakan tangga kayu untuk turun naik ke atas bukit itu untuk
keluar ke jalan utama. Jarak dari kawasan pondok itu ke jalan utama kira-kira
tiga kilometer.
Suri rumah itu
berkata mereka menggunakan generator untuk menjana elektrik manakala bekalan
air bagi kegunaan harian untuk membasuh serta memasak diperoleh dari telaga
berhampiran.
“Saya seronok tinggal di sini dan bersyukur dengan keadaan ini.
Bagi saya tidak ada masalah apa. Waktu malam tidur pun tidak ada nyamuk tetapi
kami kena berjaga-jaga dengan babi dan ular. Cuma saya harap tempat tinggal
saya ini dapat diperbaiki lagi agar berdinding untuk lebih selesa,” katanya.
Bagi Mohd
Ridzuan, beliau selesa tinggal di situ dan tidak merancang untuk berpindah
keluar dan mengharapkan sekiranya ada pihak berkaitan yang boleh membantu untuk
membina rumah yang lebih selesa di dalam kawasan kebun getah tersebut.
“Sekarang pondok saya ini dibina atas tanah tok wan (datuk) saya.
Memang saya yang pilih duduk di sini sebab mudah bagi saya untuk bekerja,” katanya.
Dalam pada itu,
Badrol Hisham berkata beliau ada menawarkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di
luar untuk keselesaan keluarga Mohd Ridzuan namun dia menolak kerana tetap mahu
tinggal dalam kebun getah itu.
Sehubungan itu,
beliau berkata alternatif lain, pihaknya merancang untuk membina sebuah rumah
yang lebih selesa kepada keluarga berkenaan tetapi bukan dibina atas tapak sama
pondok itu kerana dilihat tidak bersesuaian untuk menjamin keselamatan mereka
dalam jangka panjang.
“Kami kena cari tapak lain yang lebih selamat terlebih dahulu
untuk bina rumah ini. Saya difahamkan ada tanah tok wan Mohd Ridzuan di kawasan
ini yang atas tapak tanah rata. Proses untuk membina rumah ini saya akan buat
secepat mungkin dan saya akan turut berbincang dengan pihak berkaitan bagi
mempercepatkan rumah ini dibina bagi keselesaan keluarga Mohd Ridzuan,” katanya.
Badrol Hisham
turut menyampaikan sumbangan kotak Bantuan Rakyat Kedah (Barakah) berupa
barangan makanan kepada keluarga itu. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment