Negeri Kedah atau juga
dikenali sebagai Kedah Darul Aman merupakan salah satu daripada 14 negeri yang
membentuk Persekutuan Tanah Melayu (Malaysia). Kedah terletak di Utara
Semenanjung Malaysia dan memiliki keluasan 9,425 km persegi. Tanah besar
mempunyai rupa bumi yang agak rata, yang digunakan untuk menanam padi.
Fungsi asal Balai Besar
adalah sebagai Balai Rongseri atau Balai Penghadapan. Ia merupakan sebahagian
daripada kompleks Istana Kota Setar yang terletak di belakang bangunan ini.
Pembinaannya dimulakan pada tahun 1735 oleh Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin
Muazzam Shah, Sultan Kedah ke-19 (1710 – 1778). Bahan binaan untuk tiang, atap
dan lantainya diperbuat daripada kayu.
Balai Besar dibina dengan
gabungan keindahan senibina dan mempamerkan kehalusan dan kesenian pertukangan
kayu Melayu yang mengkagumkan. Kayu Cengal Emas digunakan sebagai bahan utama
dalam pembinaan. Bangunan Balai Besar juga dihiasi dengan ukiran berwarna
keemasan dan cermin dari Cina pada bumbungnya. Terdapat 42 tiang utama yang
masih kukuh sehingga hari ini.
Bangunan ini pernah mengalami
kerosakan akibat serangan Armada Bugis (1770) dan Siam (1821). Semasa
pemerintahan Sultan Abdul Hamid Shah, Sultan kedah ke-26 (1882 – 1943),
bangunan ini telah dibaikpulih (1896) oleh Jabatan Kerja Raya Negeri yang
diketuai oleh seorang arkitek, Muhammad bin Lebai Tambi sebagai persediaan
untuk melagsungkan perkahwinan putera-puteri baginda lima bersaudara (1904).
Selain majlis
perkahwinan, Balai Besar ini juga digunakan untuk melangsungkan majlis
pertabalan, majlis-majlis rasmi dan persidangan Majlis Negeri (state Council)
sejak 1905 hingga 1973. Pada 1805, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II, Sultan
Kedah ke-22 (1804 – 1845) telah ditabalkan secara rasmi di Balai Besar ini dan
diikuti oleh KDYMM Tuanku Haji Abdul Halim Mu’adzam Shah pada 20 Februari 1959.
Balai Nobat Negeri Kedah
atau Pentas Di Raja dibina pada tahun 1907 semasa pemerintahan Sultan Abdul
Hamid Halim Shah. Pada hari ini, Balai Nobat Negeri Kedah dijadikan tempat
untuk menyimpan alat-alat muzik Nobat DiRaja yang hanya dimainkan pada
upacara-upacara DiRaja seperti upacara pertabalan, perkahwinan dan persemadian
Di Raja. Alat muzik Nobat terdiri dari tiga rebana besar, dua rebana kecil,
satu gong dan satu serunai ini mampu menghasilkan satu gabungan bunyi yang
mengasyikkan yang dikenali sebagai muzik nobat, satu bentuk lagu kebudayaan
negeri Kedah.
Balai Seni negeri Kedah
terletak di tengah-tengah Medan Budaya. Senibina bangunan Balai Seni negeri
Kedah ini banyak dipengaruhi oleh senibina Roman sama dengan bangunan yang
terdapat di “Temple of Fortune Rivals”. Balai Seni negeri Kedah dibina pada
tahun 1912 dan telah digunakan sebagai Mahkamah Tinggi sebelum ditukar menjadi
pejabat kepada beberapa jabatan kerajaan negeri. Pada 25 Julai 1983, bangunan
ini telah diisytiharkan sebagai Balai Seni Negeri Kedah Darul Aman oleh Duli
Yang Maha Mulia Tuanku Haji Abdul Halim Mu抋dzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah. Kini, Balai Seni negeri Kedah
merupakan nadi kepada semua aktiviti-aktiviti kebudayaan dan seni dalam Negeri
dan ia diurus oleh Lembaga Muzium Negeri.
Bukit Kayu Hitam
merupakan bandar sempadan utama di Sempadan Malaysia-Thailand. Bukit Kayu Hitam
merupakan penghujung Lebuhraya Utara-Selatan, jalan raya terpanjang di Malaysia
yang bermula dari Johor Bahru, Johor di selatan hingga ke sempadan Bukit Kayu
Hitam.
Sejarah Bukit Kayu Hitam
bermula dari zaman kemaraan tentera Siam menyerang Kedah pada tahun 1824.
Menurut cerita masyarakat tempatan, nama Bukit Kayu Hitam ini asalnya diberikan
oleh tentera Siam semasa berehat di sebuah bukit. Mengikut cerita, dalam
perjalanan untuk menyerang Kedah, tentera Siam telah singgah di sebuah bukit
dan berkampung di situ sementara meneruskan perjalanan ke Kedah. Mereka telah
memasak nasi disitu dan menggunakan sebatang kayu sebagai senduk. Tanpa
disedari, setelah nasi tadi masak, ia berubah menjadi kehitaman, maka tentera
Siam tadi kehairanan dan mereka cuba mencari sebab kenapa nasi boleh menjadi
hitam. Maka, mereka dapati ia berpunca dari kayu yang digunakan sebagai senduk
tadi. Mereka menyiasat dari mana asalnya kayu tersebut dan apabila ditemui
tempat kayu itu diambil mereka dapati sekitar pokok tersebut bewarna kehitaman.
Pokok tersebut adalah Pokok Komoi. Maka dari situlah wujudnya Bukit Kayu Hitam
di mana dalam bahasa Siam disebut Kuan Mhai Dam.
Namun begitu, Bukit Kayu
Hitam terpaksa ditutup sepenuhnya pada tahun 1948 berikutan keadaan Darurat
1948 dimana meningkatnya kegiatan Komunis pada masa ini. Semua penduduk, polis
dan kastam diarahkan berpindah ke Changloon dan tidak dibenarkan tinggal di
Bukit Kayu Hitam. Ini menyebabkan Bukit Kayu Hitam kembali menjadi hutan dan
dipenuhi semak.
Pada tahun 1972, Bukit Kayu Hitam
dibuka semula oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah dengan membuka sebuah
ladang getah di Bukit Kayu Hitam iaitu Ladang Rakyat Laka Temin. Pada masa ini
juga nama Bukit Kayu Hitam telah hilang dan diganti dengan panggilan Laka
Temin. Setelah pembukaan ladang ini, penduduk Laka Temin semakin bertambah.
Pada tahun 1981, nama Laka Temin ditukar kembali kepada Bukit Kayu Hitam dan
dengan persetujuan pihak Perancang Bandar, Bukit Kayu Hitam dikenali sebagai
Bandar Bukit Kayu Hitam hingga kini.
Tamadun di selatan Kedah
atau di Lembah Bujang di kawasan yang dikenali sebagai Sungai Batu, cari gali
telah mendedahkan sisa jeti, tapak peleburan besi dan binaan batu-bata yang
bertarikh 110SM, menjadikannya binaan manusia tertua yang pernah direkodkan di
Asia Tenggara. Binaan Chandi menunjukkan sejak awal abad Masihi hingga 20
Masihi, Lembah Bujang mempunyai perhubungan yang sangat intim dengan aktiviti
perdagangan maritim di antara beberapa negara di Asia, China, Asia Barat dan
India.
Perkembangan pelabuhan entrepotnya
sering dikaitkan dengan kerajaan Thalassocracy Srivijaya. Penemuan tapak tanah
bersejarah dengan beratus ribu pecahan seramik, kaca dan manik sama ada dari
China, Asia Barat, India atau tempatan, runtuhan candi pengabdian terhadap
Buddha atau Hindu, struktur bandar atau pelabuhan yang tenggelam, artifak
budaya seperti patung-patung atau arca, batu bersurat dan peralatan yang
berkaitan dengan kehidupan masyarakat telah menobatkan gugusan ini sebagai
tempat terasasnya negara pesisiran Kedah purba.
Status dan potensinya yang
diperakui oleh peserta projek Intra-ASEAN : Ekskavasi Arkeologi dan Konservasi
Lembah Bujang, Kedah 1985, serta diperakui di dalam Malaysian Book of Records
kerana memiliki berpuluh ribu manik purba dan salah satu lokasi pembuat manik
di kawasan Indo-Pasifik menjadikan ia tapak yang komprehensif. Pelabuhan yang
sangat diperlukan dan memiliki laluan transpeninsular yang menghubungkan Kedah
Purba – Langkasuka (Patani) meletakkan ia sebagai bandar pelabuhan yang
terbilang.
Kota Kuala Kedah atau
Kota Kuala Bahang terletak di tebing utara muara sungai Kedah. Ianya dibina
sebagai benteng pertahanan bagi negeri Kedah selain dari ibu negerinya di Alor
Setar. Sejarah Ringkas Kota yang dibina dalam tahun 1771 semasa zaman
pemerintahan sultan Muhammad Jiwa ini siap pembinaanya dalam tahun 1780. Reka
bentuk kota ini telah dilukis oleh Hafiz Sab yang ketika itu menjawat jawatan
Dato’ Maharaja Kadhi. Manakala tukang-tukang mahirnya dibawa daripada India.
Sebuah pintu gerbang
telah dibina di bahagian tembok timur menghadap ke Alor Melaka dikenali dengan
nama “Pintu Gerbang Kadapuri”. Kota ini juga pernah diserang oleh Bugis, Acheh
dan Siam. Dalam tahun 1909 apabila Kedah dengan rasminya diletak di bawah
penguasaan British beberapa buah pejabat kerajaan telah dibina di dalam kawasan
kota ini, termasuklah rumah api. Sebuah pintu gerbang baru telah dibina yng
wujud hingga ke hari ini.
Semasa pendudukan Jepun
di Tanah Melayu Kota ini dijadikan markas tenteranya sehinggalah kekalahan
mereka kepada British dalam tahun 1945. Pada 31 Ogos 1978 kota ini telah
diwartakan oleh Jabatan Muzium dan Antikuiti (sekarang Jabatan Muzium Malaysia)
sebagai “Tapak Tanah Bersejarah” mengikut peruntukan “Akta Benda Purba 1976” di
bawah akta 165. Dalam bulan November 2000 Jabatan Muzium dan Antikuiti
(sekarang Jabatan Muzium Malaysia) telah melaksanakan kerja-kerja konservasi
tembok timur dan selatan, termasuk membina semula pintu Gerbang Kacapuri yang
telah runtuh dalam tahun 1970.
Simbol kebanggaan negara dan
mercu tanda terkemuka Bandaraya Alor Setar, Menara Alor Setar menjulang di atas
cakerawala bandar pada ketinggian 165.5 meter. Keadaan menara seni komunikasi
adalah yang ke 19 tertinggi di dunia dan ke 2 tertinggi di Malaysia selepas
Menara Kuala Lumpur. Dari kejauhan, rekabentuk menara adalah yang menyerupai
rumpunan jerami padi yang diikat. Pastikan anda melawat palangan pemerhatin di
aras 88 meter dari permukaan tanah untuk menikmati panorama sekitar Bandaraya
Alor Setar, dari Gunung Jerai ke Selat Melaka. Jangan lepaskan peluang
menikmati hidangan ekslusif dikelilingi awan di Restoran Berputar Seri Angkasa
pada ketinggian 94 meter.
Mana lagi tempat syok bagi
hangpa? Mai share dengan kami. Jangan dok simpan sorang ja.
0 comments:
Post a Comment