Masjid Zahir atau juga
dikenali sebagai Masjid Zahrah merupakan Masjid Negeri Kedah. Ia terletak di
persimpangan Jalan Kampung Perak dan Jalan Pekan Melayu. Bangunan bersejarah
ini terletak di tengah-tengah bandar raya Alor Setar bertentangan dengan Balai
Besar. Ia juga dikenali sebagai Masjid Raja kerana ia merupakan masjid Diraja
dan terletak di perkarangan Istana Pelamin. Masjid Zahir mula dibina pada 22
Rabiulawal 1330H (11 Mac 1912) atas usaha YTM Tunku Mahmud Ibni Almarhum Sultan
Tajuddin Mukarram Shah. Tapak masjid ini pada asalnya adalah tanah pusara
wira–wira Kedah yang telah gugur semasa berjuang mempertahankan negeri Kedah
dari serangan Siam pada tahun 1821.
Reka bentuk Masjid Zahir
diilhamkan dari Masjid Azizi di Bandar Langkat, Sumatera Utara. Ia dihiasi
dengan lima kubah utama sebagai lambang lima Rukun Islam. Upacara perasmian
Masjid Zahir dilakukan pada hari Jumaat, 6 Zulhijjah 1333H (15 Oktober 1915)
oleh DYMM Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Tunku Mahmud telah membaca
khutbah Jumaat sementara baginda Sultan Abdul Hamid Shah mengimamkan solat
Jumaat. Masjid Zahir merupakan masjid yang tertua di negeri Kedah dan tercantik
dari aspek reka bentuk binaanya di Malaysia.
Masjid Zahir mempunyai
keluasan tapak kira-kira 124,412 kaki persegi. Dewan tengahnya (Dewan
Sembahyang) berukuran 62 x 62 kaki persegi dan dikelilingi oleh beranda berukuran
8 kaki lebar dengan 4 anjung yang setiap satunya terdapat sebuah kubah. Menara
utamanya terletak di bahagian timur laut bangunan masjid itu. Setelah 87 tahun
selepas pembinaannya, Masjid Zahir telah diperbesarkan sebanyak 2 kali iaitu
pada tahun 1960 dan pada tahun 1975.
Disebelah Masjid Zahir
terdapat sebuah pejabat untuk Imam Besar, Penghulu Masjid dan juga Bilal. Ini
memudahkan mereka untuk menjalankan tugas – tugas yang telah
dipertanggungjawabkan ke atas mereka. Ini juga memudahkan jemaah untuk berjumpa
dengan mereka jika berlaku apa – apa masalah selain mendekatkan diri mereka
dengan penduduk setempat. Tugas–tugas Imam Besar dan juga Penghulu Masjid
merangkumi pentadbiran berkaitan aktivti agama serta sosial. Kedua–dua mereka
dibantu oleh kakitangan yang telah dilantik yang terdiri daripada imam
rawathib, bilal, siak, dan juga tukang kebun.
Masjid Zahir merupakan salah
satu destinasi pelancongan yang sering dikunjungi oleh pelancong sama ada dari
dalam atau luar negara jika bertandang ke Alor Setar. Ini kerana Masjid Zahir
mempunyai sejarah yang mendalam serta seni bina yang unik, menarik serta
berbeza jika dibandingkan dengan masjid–masjid lain di Malaysia. Keunikkan
Masjid Zahir yang berusia 104 tahun merupakan kebanggaan bagi setiap rakyat negeri
Kedah kerana telah membuktikan kepandaian serta kemahiran yang tinggi dan juga
mempunyai seni estetika yang setaraf dengan masjid–masjid lain.
0 comments:
Post a Comment