Thursday, August 31, 2017

Filled Under:

KISAH SEDIH SEPASANG SUAMI ISTERI ~ Ayam, kucing jadi peneman raya


BATU PAHAT - Kehadiran Aidilfitri seakan tiada makna bagi pasangan suami isteri, Maliki Mahmod, 52, dan Marlia Saeman, 62, kerana keadaan mereka yang tidak mengizinkan.
Menurut Marlia, hanya haiwan peliharaannya, kucing dan ayam menjadi peneman mereka berdua pada Syawal kali ini memandangkan mereka tidak mempunyai anak serta saudara mara terdekat.
“Bagi saya dan suami, Aidilfitri sama sahaja seperti hari biasa lain. Tak ada persiapan yang dibuat,” katanya ditemui di rumahnya di Parit Raja Darat.
Marlia berkata, dia hanya mengharapkan hasil jualan pucuk paku untuk menampung perbelanjaan harian mereka berdua.
Katanya, pucuk paku itu diperoleh dari hutan berhampiran yang akan dijual di sekitar pekan dengan pendapatan kurang daripada RM20 sehari.

“Nak harapkan anak, kami tiada. Terpaksalah kami cari hasil hutan untuk tambah duit belanja.

“Kami ada dapat RM300 tiap bulan daripada JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) tapi kami guna duit tu untuk bayar sewa,” katanya.


Rumah yang dihuni pasangan itu hanya menanti masa menyembah bumi kerana selain lantainya beralaskan tanah, dinding kayu sudah mereput manakala atap zink bocor sana sini.

Marlia berkata, dia bukan tidak mahu tinggal di rumah yang lebih baik, namun dia tidak mampu untuk membayar sewa tinggi.

“Sebab itulah saya tinggal di sini walaupun ada yang suruh saya pindah,” katanya.
Marlia yang menghidap beberapa penyakit seperti kencing manis, jantung, semput dan angin pasang di perut, bakal menjalani pembedahan membuang tiroid di leher pada 6 Julai ini di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat.



Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Yong Peng (MDYP) Ropie Subari berkata, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah menitahkan supaya Marlia dan suaminya diberi bantuan segera.

Menurutnya, susulan itu,  JKM memberi bantuan sebanyak RM300 setiap seorang, manakala Baitulmal Majlis Agama Islam Johor (Maij) akan menanggung sewa rumah termasuk bil utiliti sebanyak RM300 sebulan.

“Pasangan ini akan dipindahkan hari ini (semalam) dan rumah mereka itu akan dirobohkan.
“Bantuan segera ini menunjukkan tanda kasih dan prihatin Tuanku Permaisuri terhadap rakyatnya,” katanya.

Terdahulu kisah pasangan berkenaan yang hidup daif sejak enam tahun lalu mendapat simpati masyarakat selepas tular di media sosial.





0 comments:

Post a Comment