“Jangan
Minum Air Kelapa Dengan Ubat, Nanti Ubat Tu Tidak Berkesan”, Ia Antara Pesanan
Orang Tua-Tua Dahulu, Tapi Adakah Ia Benar, Pegawai Farmasi Ini Beri Penjelasan |Untuk
memakan ubat dalam bentuk tablet atau pil, kita semestinya memakannya dengan
meminum air agar memudahkan untuk ditelan, dan kebanyakan dari kita pasti
menggunakan air suam, atau air mineral jika memakan ubat.
Tapi, sudah pasti ada juga di antara kita yang memakan ubat
dengan meminum air, selain dari air mineral, atau air masak, untuk menghilangkan
rasa pahit ubat tersebut. Dan mungkin ada di antara kita yang pernah
menggunakan air kelapa semasa memakan ubat
Adakah ianya boleh, atau akan
memberi kesan kepada tubuh? Untuk menjawab pertanyaan tersebut, pegawai
farmasi, saudara Dziehan Mustapa kongsikan penerangan yang
cukup padat akan persoalan ini.
Mari kita ikuti perkongsian darinya.
AIR
KELAPA DENGAN UBAT-UBATAN
“Jangan minum air kelapa dengan ubat, nanti ubat tu tidak
berkesan”
Pesanan yang sering kita dengari terutama daripada golongan
orang-orang tua kita.
Ramai yang bertanya, betul ke minum air kelapa bersama-sama
ubat-ubatan akan mengurangkan keberkesanan sesuatu ubat itu?
Soalan ini nampak mudah namun ia sebenarnya bermaksud interaksi
antara ubat dengan minuman.
Secara umumnya interaksi boleh memberi kesan sama ada
meningkatkan kesan ubat dalam tubuh badan atau mengurangkan kesannya.
Air kelapa
Air yang terkandung di dalam tempurung kelapa muda. Sedang elok jika
diambil ketika buah kelapa berumur 5-7 bulan.
Secara semula jadi air kelapa berasa manis namun mempunyai nilai
kalori yang rendah.
Kandungan air kelapa adalah 94% air dan mengandungi karbohidrat ringkas yang mudah dicernakan dalam bentuk gula dan elektrolit.
Kandungan air kelapa adalah 94% air dan mengandungi karbohidrat ringkas yang mudah dicernakan dalam bentuk gula dan elektrolit.
Selain daripada itu ia juga mengandungi pelbagai jenis hormon
tumbuh-tumbuhan, enzim, asid amino, vitamin c dan boleh menjadi sumber yang
baik untuk garam potasium (K+).
Khasiat Air Kelapa
Air kelapa selalunya diambil sebagai minuman untuk melegakan
kehausan atau kekurangan air dalam tubuh yang disebabkan oleh cirit birit atau
selepas senaman.
Air kelapa juga juga pernah digunakan dalam situasi kecemasan
sebagai pengganti kepada air yang digunakan untuk dehidrasi tubuh yang
dimasukkan melalui suntikan Intravena (IV).
Terdapat juga beberapa kajian yang menunjukkan air kelapa boleh
mengurangkan tekanan darah sistolik dalam kalangan pesakit hipertensi (darah
tinggi).
Menurut kajian untuk khasiat menurunan tekanan darah sistolik
ini memerlukan dos 300ml air kelapa diambil 2 kali dalam sehari.
Walau bagaimanapun lebih banyak kajian pembuktian diperlukan
untuk mengesahkan khasiat air kelapa terhadap manfaat kesihatan tubuh terutama
dalam menurunkan tekanan darah tersebut.
Interaksi air kelapa dengan
ubat, herba dan suplemen
Kajian klinikal peringkat awal menunjukkan minum air kelapa
mungkin boleh mengurangkan tekanan darah sistolik dalam kalangan pesakit
hipertensi (darah tinggi).
Secara teorinya penggunaan bersama-sama air kelapa dengan ubat
anti-herpentensi (Ubat mengurangkan tekanan darah) mungkin boleh menyebabkan
kesan tambahan terhadap pengurangan tekanan darah seterusnya boleh memberi
risiko tekanan darah menjadi rendah.
Begitu juga sekiranya air kelapa diambil dengan herba dan
suplemen yang dipercayai mempunyai kesan mengurangkan tekanan darah. Sebagai
contoh peptida kasein, cat’s claw, koenzim Q-10, minyak ikan, L-arginine,
lycium, stinging nettle, theanine, mengkudu, belimbing buluh dan lain-lain
Interaksi dengan penyakit
Oleh kerana air kelapa mempunyai kandungan garam potasium (k+)
yang agak ketara maka ia boleh menerukkan lagi keadaan hiperkalemia seseorang
individu.
Jika diminum dalam satu jumlah yang banyak mungkin boleh
meningkatkan risiko hyperkalemia bagi pesakit yang mempunyai kekurangan fungsi
buah pinggang.
Keselamatan Air Kelapa
Air kelapa sekiranya diambil secara minuman dengan jumlah yang
berpatutan adalah selamat.
Tiada kerisauan terhadap faktor keselamatan dalam pengambilan
air kelapa. Begitu juga sekiranya air kelapa diambil oleh kanak-kanak.
Namun tiada data yang mencukupi untuk keselamatan pengambilan
air kelapa dalam kalangan wanita mengandung dan menyusukan anak.
Sebagai langkah berjaga-jaga, lebih baik tidak mengambilnya
semasa mengandung atau menyusukan anak.
Tindakan yang boleh diambil
Air kelapa adalah selamat untuk diminum. Walau bagaimanapun bagi
pesakit hipertensi yang sedang menerima ubat-ubatan perlu berhati-hati dalam
pengambilan minuman air kelapa ini.
Jika diambil berlebihan air kelapa ini ia berpotensi mempunyai
kesan tambahan dalam pengurangan tekanan darah. Begitu juga bagi pesakit yang
mempunyai masalah kekurangan fungsi buah pinggang.
Perlu sedikit pemantauan jika tekanan darah menjadi rendah
(hipotensi).
Antara tanda dan gejala tekanan darah rendah adalah pening atau
merasa pusing, penglihatan kabur, kekeliruan, kelemahan dan loya (perasaan
sakit perut).
Jika alami situasi di atas, sahkan dengan mengambil ukuran
tekanan darah menggunakan alat pemantauan tekanan darah sendiri di rumah.
Tekanan darah dikatakan rendah bila bacaan berada di paras lebih
rendah dari 90/60 mmHg.
Rawatan tidak diperlukan sekiranya tidak mempunyai apa-apa tanda
dan gejala walaupun tekanan darah adalah rendah.
Sekiranya merasa pening atau hampir pitam, ambil tindakan untuk
duduk atau baring. Letakkan kaki separas dengan jantung ketika berbaring atau
duduk sambil meletak kepala di antara lutut.
Jika tanda atau gejala tekanan darah rendah masih berkekalan,
segera berjumpa dengan doktor untuk rawatan selanjutnya.
Kesimpulan
Bukan air kelapa sahaja boleh dibincangkan dalam situasi
interaksi ubat dengan minuman.
Terdapat beberapa lagi contoh interaksi minuman dengan
ubat-ubatan seperti interaksi ferus dengan susu, ubat anti-kolesterol
(atorvastatin) dengan jus limau gedang (grapefruite) dan ubat warfarin dengan
teh hijau. (Semua contoh ini telah dibuktikan dengan kajian).
Justeru jika air kelapa diambil dalam kuantiti yang tidak
berlebihan, mungkin interaksi dengan ubat-ubatan tidak terlalu ketara.
Walau bagaimanapun perlu berhati-hati dalam pengambilan air
kelapa (diambil dalam kuantiti yang berlebihan) jika ada mengambil ubat untuk
tekanan darah tinggi dan pesakit yang mempunyai masalah kekurangan fungsi buah
pingang.
Rujuk dahulu dengan ahli farmasi atau doktor merawat sebelum
mengambil sesuatu bersama-sama ubat-ubatan agar interaksi ubat dapat diteliti
terlebih dahulu.
Sekiranya orang awam mempunyai sebarang pertanyaan am berkaitan
ubat-ubatan, boleh menguhubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan di talian
1800-88-6722.
0 comments:
Post a Comment