MELAKA - Seorang lelaki
didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini selepas dia dituduh memaksa anak lelakinya
berusia lima tahun berdiri di luar di bawah cahaya matahari terik tanpa memakai
selipar/kasut sehingga menyebabkan tapak kaki kanak-kanak itu melecur, lapor
New Straits Times.
Tertuduh, Muhamad
Faisal Salam, 31, dari Bukit Palah, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas
pertuduhan itu dibacakan padanya di depan Hakim Norma Ismail.
Muhamad Faisal
didakwa di atas tuduhan mendera mangsa yang di bawah tanggungannya, dengan
memaksa mangsa berdiri di jalan tar ketika cuaca panas sehingga menyebabkan
kedua-dua tapak kaki mangsa melecur.
Tertuduh didakwa
melakukan kesalahan itu di kediaman nya di Batu 2, Bukit Palah pada jam 3
petang, 24 Julai tahun ini dan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta
Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman denda RM50,000 atau penjara
hingga 20 tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa
Raya Shazreen Nadia Saaban, mengambil kira keseriusan kes itu dan tidak menawarkan
sebarang ikat jamin untuk tertuduh.
Bagaimanapun,
Peguam Ishak Kari dan Mohd Faiezad Razali meminta agar anak guaman mereka
dibenarkan ikat jamin dengan kadar minimum.
"Dia hanya
meraih pendapatan RM1,500 sebulan dan perlu menanggung tiga orang
anaknya.
"Tertuduh juga
perlu menjaga bapanya berusia 71 yang sakit dan abang iparnya yang mengalami
kecacatan," katanya.
Hakim Norma
membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dan menetapkan tarikh 5 September
ini untuk dibicarakan.
0 comments:
Post a Comment