Anak orangutan bernama Mingky ini telah
dirantai dan dibiarkan berada di antara dua bangunan selama setahun dengan
tiada sesiapa yang datang menyelamatkannya.
Wajahnya yang sayu dan sedih itu menggambarkan perasaannya
bahawa manusia bertindak kejam kepadanya tanpa mempunyai perasaan prihatin dan
belas kasihan
Setelah diselamatkan, dikatakan orang yang
telah mengambil anak orangutan itu mahu ia dirantai dan diletakkan di premisnya
sebagai tatapan hiburan buat keluarganya.
Mingky masih bayi apabila ia telah ditangkap di dalam sebuah
kebun berdekatan dengan hutan di Indonesia di mana Mingky dan ibunya tinggal.
Disyaki ibunya telah dibunuh sebelum Mingky diambil keluar dari hutan.
Dalam bulan Februari, seorang lelaki yang telah menangkap Mingky
telah memutuskan untuk menyerahkan Mingky kepada salah seorang rakannya. Dan
rakannya itu memutuskan untuk meletakkan Mingky di satu tempat yang dia
fikirkan terbaik iaitu di antara dua buah rumah.
Menurut Panut Hadisiswoyo yang merupakan
pengasas dan pengarah Pusat Informasi Orangutan (OIC), “Lelaki itu mahu anak
orangutan itu dirantai dipremisnya dan dijadikan tatapan hiburan bagi
keluarganya.”
Mingky telah dirantai selama setahun, dengan rantai itu
dilekatkan dilehernya dengan skru dan nat dilekatkan ke dinding. Mingky tidak
diletakkan di sebuah tempat yang boleh ia berlindung. Hanya ia dibiarkan berada
di antara dua bangunan konkrit yang dipisahkan dengan jarak 2 kaki sahaja.
Dengan ketiadaan ibunya yang tidak ketahui nasibnya, Mingky
hanya dapat berpeluk tubuh dengan dirinya sendiri untuk tidur setiap hari
selama setahun.
Pemiliknya akan melihatnya
setiap hari untuk memberinya makan dengan buah-buahan dan jika ia bernasib
baik, nasi akan diberikan.
Setiap hari selama setahun begitulah rutin
hidup anak orangutan yang masih kecil ini. Seakan didera. Setiap hari ada
sahaja orang yang melalui laluan sempit itu, akan tetapi tiada siapa yang
peduli dan mahu menyelamatkan Mingky.
Akhirnya, selepas setahun, kesengsaraannya berakhir.
Pasukan Panut telah menemui anak orangutan
jantan yang berusia 3 tahun ini. Semasa dijumpai, ia telah dirantai dan
dibiarkan berada di antara dua bangunan dan keadaannya sangat menyedihkan.
Berdasarkan maklumat dalaman yang diperolehi, Mingky telah
ditangkap secara haram dan diletakkan di sebuah rumah di pendalaman berdekatan
bandar Blang Pidie, Barat Daya Aceh.
Pihak OIC dengan segera mendapatkan bantuan jabatan hidupan liar
tempatan, setelah mengetahui pemilik Mingky telah melanggar undang-undang
dengan menyimpan spesis larangan sebagai haiwan peliharaan.
Bersama pihak jabatan hidupan liar dan polis, pihak OIC telah
tiba di tempat kejadian untuk menyelamatkan anak orangutan tersebut, yang mana
penduduk kampung telah bersetuju untuk menyerahkan Mingky kepada mereka.
Panut berkata, “Pemilik Mingky telah bersetuju untuk menyerahkan
orangutan itu kepada pasukan penyelamat.”
Lelaki ini juga menceritakan bagaimana
rakannya yang telah menangkap Mingky sebelum ia diserahkan kepadanya.
Walaupun ia tahu memiliki haiwan larangan itu adalah salah di
sisi undang-undang, lelaki itu tidak didakwa kerana mengambil kira dia mendapat
orangutan itu dari rakannya dan dia juga secara sukarela bersetuju menyerahkan
Mingky kepada pihak berkuasa.
Walaupun jelas dia mendera haiwan ini, dia telah terlepas dari
tuduhan dengan begitu sahaja.
Walaupun pemilik itu tidak didakwa, pasukan penyelamat bertekad
untuk melakukan apa sahaja yang mereka termampu untuk anak orangutan tersebut.
Mingky masih berasa trauma dengan melihat orang ramai yang
datang melawatnya dan mahu mengambilnya. Ia bertindak liar dan agresif kerana
takut dengan situasi yang pernah dialaminya. Mereka mengambil masa untuk
menenangkan Mingky sebelum rantai itu dapat dileraikan dari lehernya.
Cerita sedih Mingky yang diselamatkan ini
bukan satu-satunya cerita mengenai pemerdagangan haram haiwan larangan.
Di Thailand, Pertubuhan Sahabat Hidupan Liar Thailand (WFFT)
telah menjumpai seekor monyet yang telah dikurung dan dirantai di antara dua bangunan
di kota Bangkok selama 25 tahun. Amat menyedihkan.
Menurut pengasas WFFT, Edwin Wiek, “Saya
telah melihat kes haiwan yang menderita didera selama 17 tahun, tetapi
tidak menyangka yang monyet ini menjadi salah satu kes 10 teratas yang
memilukan.”
Dengan kebanyakan haiwan lain juga berisiko mengalami pengalaman
yang sebegini, orangutan adalah spesis yang paling terancam di Indonesia
apabila kebanyakan habitat mereka telah dimusnahkan untuk pembukaan ladang
kelapa sawit dan ditambah dengan kes pemerdagangan haiwan larangan.
Bermula bulan Julai, spesis orangutan telah disenaraikan sebagai
spesis dalam bahaya yang kritikal.
Bagi Mingky, mujur ia
telah diselamatkan dari berterusan diperlakukan sedemikian rupa. Pasukan
penyelamat telah menjumpainya di saat waktu yang terbaik dan dapat
menghindarkan Mingky dari penderitaaan yang berpanjangan.
Walaupun Mingky mungkin tidak dapat bertemu
dengan ibunya lagi, anak orangutan ini berada dalam jagaan Program Pemuliharaan
Orangutan Sumatra (SOCP), yang mana ia telah dikuarantinkan terlebih dahulu
sebelum diserapkan dalam program pemulihan.
Sekiranya segalanya berjalan dengan lancar, Mingky akan
dibesarkan di SOCP dan akan dapat dilepaskan ke hutan apabila ia dewasa kelak.
OIC menulis yang Mingky berada dalam jagaan yang betul dan
selamat. Pasukan OIC akan menyelamatkan lebih banyak orangutan di Sumatra
kelak.
Adalah amat penting, mereka sentiasa mengawasi dan melihat
apa-apa situasi yang membabitkan orangutan yang diganggu habitat dan kehidupan
mereka. Populasi mereka semakin berkurangan tetapi mereka masih boleh
diselamatkan.
Era Baru
0 comments:
Post a Comment