Kuala Lumpur: Empat pembedahan dalam tempoh lima tahun. Itu yang
perlu dilalui bayi berusia 14 bulan bagi memulihkan injap jantung yang
bermasalah sejak dilahirkan.
Joelle Lo Rene yang kini ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU)
Hospital Gleneagles, di sini, masih bergantung kepada alat bantuan pernafasan
dan tiub untuk makan.
Bapanya, Lo Chee Hong, 42, berkata, anak perempuannya itu
memerlukan RM70,000 untuk membiayai kos pembedahan injap mitral yang bocor bagi
membetulkan fungsi jantung.
“Ini pembedahan kali ketiga anak saya selepas dua pembedahan
dalam seminggu ketika dilahirkan. Keadaan anak saya sekarang stabil walaupun
sudah sebulan di ICU selepas menghadapi masalah pernafasan Jun lalu.
“Doktor memberitahu pembedahan injap yang bocor itu perlu
disegerakan tetapi saya masih buntu kerana setakat ini bil rawatan anak
menghampiri RM100,000 dan itu belum termasuk kos pembedahan,” katanya ketika
ditemui di Hospital Gleneagles, di sini, semalam.
Katanya, dia kini perlu berulang-alik dari Bukit Rimau ke
hospital untuk melihat keadaan anaknya dan bersyukur dengan perubahan yang
berlaku.
“Anak saya sudah ceria dan aktif serta berat badan naik. Sebelum
ini, anak hanya seberat 4.5 kilogram (kg) selepas dua bulan asyik muntah dan
hilang selera makan. Kini, beratnya naik kepada 5.7kg.
“Saya hanya mampu berdoa dan meletakkan kepercayaan kepada
doktor yang berusaha sedaya upaya membantu anak saya,” katanya.
Menurut Lo, kos untuk pembedahan memang tidak dapat dicari
kerana dia sudah tidak bekerja sejak Januari lalu dan sumber pendapatan hanya
datang daripada isteri.
“Sekarang saya masih mencari kerja dan berharap orang ramai
boleh memberikan sedikit sumbangan supaya kami dapat melihat anak kami membesar
seperti kanak-kanak lain,” katanya.
Dalam pada itu, Yayasan AEON Malaysia menyampaikan cek bernilai
RM10,000 yang diwakili Pengurus Kanan Setiausahanya, Jackie Loo kepada Tabung
Kebajikan Media Prima NSTP.
Mereka yang ingin
menghulurkan bantuan boleh menghantar cek atas nama Tabung Kebajikan Media
Prima NSTP ke alamat Bahagian Kumpulan Komunikasi Korporat, Media Prima Berhad,
Tingkat 1, Anjung Riong, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur
dengan nama bayi itu di belakang cek atau ke akaun Maybank 5141-0532-3170.


0 comments:
Post a Comment