Kuala Lumpur: Alasan bekalan kurang dan pemborong menetapkan
harga menjadi ‘modal’ peniaga untuk menaikkan harga bahan mentah seperti ikan,
udang, ketam dan sotong, sekali gus membebankan pengguna yang menanggung kos
sara hidup semakin meningkat.
Malah, peniaga seolah-olah mempunyai alasan tersendiri menaikkan
harga bahan mentah berkenaan apabila sebelum ini ia melambung akibat musim
perayaan dan terkini mereka menyalahkan pula pemborong.
Ironinya tindakan mereka itu dilihat mahu mengekalkannya pada
harga tinggi tanpa memikirkan kesan terhadap rantaian makanan lain yang
kemungkinan turut menaikkan harga jualan masing-masing.
Tinjauan Harian Metro di Pasar Besar Kuala Lumpur dan Jalan Chow
Kit mendapati harga dijual peniaga masih tinggi dan tidak menunjukkan
penurunan.
Kebanyakan peniaga ditemui memberikan alasan harga ditetapkan
pemborong mahal menyebabkan mereka tidak mempunyai pilihan menjual bahan mentah
itu pada kadar lebih tinggi.
Peniaga ikan Halim Suleiman berkata, sememangnya harga ikan,
sotong, udang dan ketam meningkat daripada kadar biasa disebabkan bekalan
berkurangan selain ia ditetapkan pemborong.
“Kami hanya untung sedikit sahaja kerana bekalan diperoleh turut
dijual pada harga tinggi dan kenaikan harga bahan mentah itu sememangnya tidak
dapat dielakkan,” katanya, ketika ditemui, di sini.
Seorang lagi peniaga ikan, Hashim Saad, 35, berkata, harga
diperoleh daripada pemborong tinggi sejak awal Ramadan lalu.
“Peniaga sering menjadi mangsa dan dipersalahkan apabila harga
bahan mentah terbabit melambung walaupun pada hakikatnya ia ditentukan orang
tengah,” katanya yang berniaga ikan di Pasar Chow Kit sejak lima tahun lalu.
Sementara itu, suri rumah Ridhatul Nadia Abu Samah,37, berkata,
dia terpaksa membeli bahan mentah berkenaan di pasar raya yang dijual lebih
murah daripada pasar.
“Saya terkejut apabila ikan kembung yang sebelum ini berharga
RM16 hingga RM18 kini dijual pada harga RM22 sekilogram,” katanya, ketika
ditemui, di sini.
Selain itu, Isa Abdullah, 40, berharap pihak berkaitan melakukan
pemantauan dengan lebih kerap seterusnya mengambil tindakan terhadap pihak yang
sengaja menaikkan harga bahan mentah hingga membebankan pengguna.
“Jika pihak berkaitan tidak
mengambil tindakan pasti peniaga dan pemborong terus menekan pengguna dengan menaikkan
harga sesuka hati tanpa alasan munasabah,” katanya.
hmetro


0 comments:
Post a Comment