Wednesday, July 5, 2017

Filled Under:

Johan Dan Kucing Berpisah Tiada

KUCING dan dirinya ibarat ‘berpisah tiada’, malah hubungannya bersama haiwan peliharaan itu dilihat seperti seorang ayah dengan anak-anaknya.

Bagi Johan Eskandar Mohamad Najib, 24 jam sehari bagai tidak cukup sehari untuknya menguruskan segala keperluan kucing-kucingnya.

Anak kelahiran Shah Alam, Selangor ini, berkata, walaupun kucing hanya sebagai haiwan peliharaan, tetapi makhluk itu berhak dilayan dengan baik.

Johan Eskandar yang meminati haiwan itu sejak kecil memberitahu, hati pasti terusik sekiranya melihat kucing jalanan mahupun peliharaan dianiaya.

Baginya, sementelah nama pun haiwan yang sudah tentu tidak berakal, tidak sepatutnya menjadi tempat melepas geram sehingga mendatangkan kecederaan.
“Saya tidak nampak di mana salahnya kucing-kucing jalanan ini yang sering dianiaya hanya kerana meminta sedikit belas ihsan daripada kita untuk mengisi perut yang lapar.

“Apa salahnya kita sebagai manusia yang berakal memberikan sedikit lebihan makanan untuk haiwan ini,” ujarnya ketika ditemui di Cat Mart, No. 32, Jalan Zirkon F 7/F, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Ditanya bilakah dia mula berminat memelihara kucing, anak ketiga daripada enam beradik ini berkata, segalanya bermula sewaktu dia menyambung pelajaran di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

Tambahnya, ketika itu terdapat seekor kucing jalanan yang datang menumpang di rumah sewanya.

Dia memberinya makan setiap hari dan seterusnya membela kucing itu memandangkan di rumah, ibu dan ayahnya tidak membenarkan dia berbuat demikian.

Bukan kerana ibu bapanya tidak menyukai haiwan tersebut tetapi atas alasan khuatir kebajikan haiwan berkenaan tidak terurus kerana tiada siapa yang dapat menjaga dan menguruskannya dengan baik.

Hari ini, dengan membela 20 ekor kucing daripada pelbagai baka, siapa sangka kasih sayang yang mendalam terhadap kucing mampu menjana pendapatan buat Johan Eskandar.

Membina sebuah studio semata-mata untuk keselesaan kucing-kucing peliharaannya, Johan Eskandar kini dikenali sebagai individu yang membiak, mengimport serta mengeksport kucing.

Dia memberitahu, apa yang dilakukan ekoran ada permintaan dalam kalangan masyarakat yang mahu membela kucing sebagai haiwan peliharaan.

Anak muda yang berusia 27 tahun ini berkata, secara tidak langsung dia membantu mereka yang meminati haiwan ini mendapatkan baka terbaik untuk dipelihara.

Bercerita mengenai cara penjagaan kucing yang betul, Johan Eskandar menyatakan haiwan ini hanya perlu dibawa ke klinik haiwan sekiranya perlu.
Selain itu, kucing peliharaan mesti diberikan suntikan vaksin untuk mengelak daripada jangkitan penyakit berbahaya.

Melihat Johan Eskandar melayan kerenah kucing-kucingnya yang terdiri daripada jenis Scottish Fold, Maine Coon, British Long Hair, dan Munchkin memang mengasyikkan.

Malah disebabkan hobinya itulah menjadikan dia terkenal dan sudah mempunyai pengikut seramai 206,000 orang di laman sosial Instagramnya.







0 comments:

Post a Comment