UMAT Islam yang dengan sengaja memegang anjing diingatkan segera
bertaubat kerana telah melakukan perbuatan yang menjurus kepada menghina agama
Islam.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Tan Sri
Othman Mustapha berkata, pada dasarnya Islam tidak memandang keji kepada
binatang anjing sebagai salah satu makhluk Allah, apatah lagi untuk menyeksa,
memukul dan membunuhnya tanpa sebab yang juga bertentangan dengan ajaran Islam.
Bagaimanapun menurut beliau, mengikut Mazhab Syafie, umat Islam
tidak dibenarkan memelihara haiwan berkenaan malahan mewajibkan semua umatnya
untuk memelihara kesucian diri, pakaian dan tempat tinggal agar ia tidak
menjejaskan amal ibadat seharian.
"Perbuatan memelihara anjing seolah-olah cuba mencipta
budaya baru yang boleh membawa kepada perbuatan menghina Islam.
"JAKIM amat menyesali perbuatan memegang anjing secara
sengaja begini tanpa sebarang sebab yang dibenarkan dalam Islam.
"Ini menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam kerana
ia bercanggah dengan pegangan mazhab dan ‘uruf atau adat di Malaysia,"
katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau mengulas perbuatan seorang pengguna Facebook Nurhanizah
Abdul Rahman yang telah memuat naik videonya memelihara dan memegang seekor
anjing dikenali Bubu hari ini.
Mengulas lanjut Othman berkata, menurut Mazhab Syafie, umat
Islam dilarang menyentuh anjing secara sengaja kerana menajiskan diri tanpa
tujuan yang munasabah adalah haram di sisi Islam.
"Walaupun Islam meletakkan kaedah sertu apabila terkena
najis yang dikategorikan sebagai ‘mughalazah’ namun kaedah tersebut
bukanlah alasan untuk membolehkan seseorang itu memegang najis ‘mughalazah’
secara sengaja.
"Tindakan sedemikian samalah seperti orang yang sengaja
melakukan dosa dengan alasan akan bertaubat kemudiannya," katanya.
Jelasnya, bagi mencari
jalan penyelesaian terhadap isu berkenaan secara berhikmah demi kebaikan
bersama, individu berkenaan dinasihatkan agar dapat merujuk kepada pihak JAKIM
berkaitan hukum memelihara anjing.
0 comments:
Post a Comment