KUALA
LUMPUR – “Kalau susah-susah masak saja ikan sardin”.
Ramai yang
mungkin tidak asing dengan ungkapan ini apatah lagi untuk orang bujang atau
mereka yang kesuntukan masa untuk memasak.
Malah ada juga
yang menyimpan stok ikan sardin tin ini untuk tujuan ‘kecemasan’, manalah tahu
ada tetamu datang tanpa dirancang.
Memasak ikan
sardin ini sama ada yang di dalam tin atau segar sememangnya mudah. Tidak
memerlukan banyak bahan. Sama ada dijadikan sambal, dimasak kari atau digoreng
bersama bawang dan halia, hidangan ini sudah cukup untuk mengalas perut yang
lapar.
Ada juga yang
menjadikan ikan sardin ini sebagai inti sandwic atau karipap.
Rakan Facebook
(FB), Rosie Hashim memberitahu penulis, untuk menjadikan masakan sardin lebih
sedap beliau akan menambah air asam jawa dan hirisan cili merah.
“Masak lemak
pun sedap”, tambahnya.
KENANGAN SILAM
Penulis sendiri
berasa nostalgik dengan ikan sardin, ikan yang sering dikaitkan dengan rakyat
marhaen.
Membesar dalam
keluarga yang ramai dengan gaji ayah yang tidak seberapa, ikan sardin adalah
sajian lumrah buat kami adik-beradik.
Untuk
menjadikannya banyak, emak akan menambah ubi kentang. Cukuplah makanan pada
hari itu.
Ikan sardin
segar pun pada masa itu harganya mungkin kira-kira RM1.00 sekati (kira-kira 600
gram) dan itu pun boleh berkongsi dengan kucing!
Itu kisah
puluhan tahun dulu. Sekarang kalau disebut ikan sardin, ia lebih disebut ‘macam
ikan sardin’, membayangkan keadaan bas atau tren yang sesak dan padat dengan
penumpang.
Anak zaman
sekarang pun mungkin lebih mengenali ikan tuna daripada ikan sardin.
SEMAHAL AYAM
Hari ini, kalau
nak makan ikan sardin tin mungkin lebih elok beli ayam!
Baru-baru ini
penulis membeli setin ikan sardin berjenama. Tin leper yang paling besar dan
bila terima resit belian, harganya RM9.30. Balik rumah, buka tin, ada tiga
tongkol sahaja.
Congak di
kepala tidak memerlukan kalkulator, setongkol RM3.10. Bukankah mahalnya?
Di sebuah pasar
raya lain, harga sardin tin yang sama RM9.99! Teringat minggu sebelumnya beli
ayam, sederhana saiz, harganya kira-kira RM10.00 sahaja.
Nampaknya, ikan
sardin bukan lagi semurah semasa saya kecil dahulu!
MENITIS AIR MATA
Rakan FB, Eta
MT memberitahu penulis air matanya masih boleh menitis apabila mengimbau
kenangan makan ikan sardin semasa belajar di menara gading.
“Ikan sardin
antara memori tak akan dapat saya lupakan semasa belajar dengan rakan
seperjuangan”, katanya.
Menurut Eta,
yang berasal dari Batu Gajah, Perak, beliau dan lima rakan sebiliknya memasak
ikan sardin dalam periuk nasi elektrik dan periuk itu juga digunakan untuk
memasak nasi.
“Kami hanya
tambah bawang dan cili. Makan dengan nasi panas-panas. Biasanya kami masak
sardin bila kewangan semakin menyusut.
“Kami akan
kutip duit, yang ada banyak bagi banyak. Dapat beli ikan sardin pun dah syukur.
Ada duit lebih kami beli telur. Adalah menu tambahan, telur dadar.
“Kami makan
berjemaah dan menu sardin menu istimewa kami, Sedap, masyaAllah”, kata Eta dan
menambah kata bahawa harga setin pada tahun 1997 ialah sekitar RM2.50, yang
mengandungi dua tongkol ikan sardin.
NAIK HARGA
Ikan sardin
segar yang pada satu ketika dulu dibeli hanya untuk habuan kucing pun tidak
kurang mahalnya.
Harga yang
pernah penulis beli sedikit masa dulu di pasar tani adalah antara RM7.00 hingga
RM9.00 sekilo.
Walau apapun,
ikan sardin atau nama lainnya ‘pilchard’ yang ada kaitannya dengan ikan herring
(menurut carian di internet) kaya dengan pelbagai vitamin dan galian.
Istilah sardin
dipercayai digunakan orang Inggeris pada awal kurun ke-15 dan mungkin berasal
daripada nama pulau Sardinia di Mediterranen yang dikatakan kaya dengan ikan
sardin pada suatu ketika dahulu.
Ikan ini juga
dikatakan hidangan popular di merata dunia termasuk Kanada, Perancis, Itali,
Maghribi, India dan Jepun.
Mungkin ini
agaknya yang menyebabkan ikan yang pada satu ketika dikaitkan dengan rakyat
marhaen ini semakin mahal harganya.
Meskipun mahal,
bagi yang menggemari ikan sardin dalam bentuk apa juga masakan mungkin akan
menutup sebelah mata.
Ikan sardin
tetap jadi pilihan. Dulu, kini dan selamanya! – BERNAMA


0 comments:
Post a Comment