KEMATIAN rakyat Syria mencecah 200,000 orang dalam tempoh lebih
dua tahun kebangkitan rakyat ketika pemerintahan Presiden Bashar al-Assad
dikatakan lebih dahsyat berbanding kematian yang dicatat di Palestin ketika
negara itu ditawan Israel.
Kekejaman itu membuka
mata banyak pihak sehinggakan tragedi Syria bermandi darah mendapat perhatian
ramai termasuk negara berkuasa besar, Amerika Syarikat (AS) yang mengumumkan
akan menyerang Syria berikutan dakwaan penggunaan senjata kimia.
Walaupun AS masih
berdolak-dalik dengan serangan itu, pelbagai andaian mula timbul kerana
terdapat dakwaan menyatakan Perang Dunia Ketiga akan meletus daripada apa yang
sedang berlaku di bumi anbiya itu. Tidak kurang juga yang mengaitkan keadaan
itu dengan petanda akhir zaman.
Ikuti temu bual
wartawan Sinar Harian, NURULFATIHA MUAH dan jurufoto, AZMI ARYANTO bersama
pendakwah yang juga pengkaji isu Syria, Ustaz Nazmi Karim.
Kejadian yang berlaku di Syria dikatakan antara petanda akhir
zaman. Ada atau tidak nas yang boleh dikaitkan dengan andaian itu?
Petanda akhir
zaman memang disebut dalam hadis Nabi Muhammad SAW. Baginda berulang dua kali
mengatakan bahawa akan berlaku peperangan besar yang apabila peperangan ini
terjadi, perkhemahan orang Islam paling ramai adalah di sebuah tempat bernama
Ghouta Dimashq yang bermaksud kebun besar yang mengelilingi bandar Damsyik di
Syria.
Nabi kata, di
kebun besar ini ada sebuah bandar dikatakan namanya Damsyik, sebaik-baik tempat
tinggal umat Islam ketika itu. Ini tanda-tanda akhir zaman.
Kalau kita lihat
di Syria sekarang ini, kawasan ini jadi tempat paling ramai mujahidin
berhimpun. Tempat lain ada ramai juga, tetapi tempat ini yang disebut
Rasulullah SAW.
Dalam sebuah
hadis lain, Rasulullah bersabda; “Tidak akan terjadi hari Kiamat sehingga kaum
Rom turun di kota Amaq (Lembah Antioch, Selatan Turki) dan di Dabiq (dekat
Aleppo, Syria).
Kemudian
datanglah suatu pasukan yang menghadang mereka dari Madinah, yang berasal dari
penduduk pilihan bumi. Dan ketika mereka sudah berbaris-baris, maka berkatalah orang
Rom, biarkanlah (jangan kalian halang) antara kami dengan orang-orang yang
memisahkan diri dari kami (yang masuk Islam) untuk kami perangi. Maka kaum
Muslimin berkata, Demi ALLAH, kami tidak akan membiarkan kamu memerangi
saudara-saudara kami. Dan ketika mereka (Al-Mahdi serta para pengikutnya) telah
sampai di Syam, keluarlah Dajjal.
Dan ketika mereka
sudah bersiap-siap untuk berperang, mereka berbaris dengan rapi. Tiba-tiba,
ketika waktu solat sudah masuk, turunlah Nabi Isa Ibn Maryam a.s.” (Riwayat Muslim
dari Sayidina Abu Hurairah RA).
Wallahua’lam,
berdasarkan hadis itu, jika benar Amerika Syarikat serang Syria, mereka akan
masuk kawasan itu iaitu di pesisiran laut. Kalau betullah ia berlaku, maknanya
tentera Perjanjian Pakatan Atlantik Utara (Nato) dan Rom ini akan masuk ikut ke
pantai menyerang seluruh Syria.
Nabi kata, ALLAH
akan menghantar tentera mujahidin dari bandar Damsyik akan bergerak menuju ke
Dabiq dan berlaku peperangan nanti di sana. Jadi kebanyakan peperangan akhir
zaman itu akan berlaku belah-belah negara Syria dan Syam.
Kenapa tumpuan
diberikan kepada negara di sebelah Syria?
Mungkin ada
beberapa faktor. Dari segi kawasan, ia strategik dan kedudukan geografi Syria
menyambung hubungan darat antara Syria dengan Eropah, Afrika dan Asia. Kedua,
Nabi Isa AS akan turun di Syria berdasarkan hadis Rasulullah SAW.
Baginda bersabda
Nabi Isa AS akan turun di Menara Putih sebelah timur Kota Damsyik. Jika dilihat
pada gambarnya, ia bukan menara masjid, tetapi sebuah pasar lama di dalam
sebuah kota lama.
Di sini ramai
orang Kristian. Mereka juga sudah tahu perkara ini dan bersiap-siap untuk
sambut Nabi Isa AS.
Sebab itu bumi
Syria jadi tumpuan ramai termasuk orang berfahaman Syiah, Kristian, Yahudi,
selain orang Islam sendiri. Turut menjadi tumpuan kerana Imam Mahdi akan
menyambut turunnya Nabi Isa AS di Damsyik seperti yang pernah disebut dalam
hadis Rasulullah bahawa Nabi Isa akan turun di Menara Putih itu ketika solat
Subuh dan disambut oleh Imam Mahdi.
Apa
yang berlaku sebelum Imam Mahdi muncul?
Sebelum turun
Imam Mahdi, Nabi Muhammad SAW kata, akan berlaku pembunuhan tiga orang anak
khalifah yang mana mereka berebut harta karun di Kaabah, Mekah. Saya tidak
pasti apa yang direbutkan itu, tetapi ketiga-tiga mereka tidak berjaya. Maka
berlakulah fitnah yang besar antara orang Islam sendiri, sehingga muncullah
Imam Mahdi.
Imam Mahdi adalah
keturunan Nabi Muhammad SAW dan namanya sama seperti nama nabi, Muhammad bin
Abdullah. Beliau akan muncul di Makkah apabila fitnah kuat melanda dan dibai’ah
antara bucu Kaabah dengan makam Nabi Ibrahim AS. Kemudian. Imam Mahdi akan
mengetuai mujahidin bergerak ke Syria. Apabila sampai di Syria, masa itu Dajjal
sudah keluar dan memang tujuan utamanya hendak melawan Dajjal. Apabila Nabi Isa
AS turun, tugas utama baginda ialah untuk membunuh Dajjal.
Pada masa itu,
Dajjal sudah mengelilingi dunia untuk merosakkan orang Islam dan mengkafirkan
orang sehingga akhirnya Nabi Isa AS kejar Dajal sampai di satu tempat bernama
Bab Luddin di Palestin. Di situlah akan dibunuhnya Dajjal. Dajjal apabila
tengok Nabi Isa AS itu, dia jadi cair macam batu garam yang disirami air.
Keadaan
yang berlaku di Syria ketika ini, seolah-olah mengikut skrip iaitu hadis Nabi?
Ya, memang betul
mengikut skrip. Nabi sebut akan berlaku peperangan besar, sekarang ini berlaku
perang di Syria. Ramai orang tak tahu sebabnya. Kebangkitan di Syria berlaku
pada Mac 2011. Puncanya sekumpulan kanak-kanak sekolah rendah di sebuah bandar
bernama Dar’a.
Kanak-kanak ini
conteng dinding sekolah dengan perkataan ‘Ash-sha’ab yurid isqaat an-nizam’
bermaksud ‘rakyat hendak jatuhkan kerajaan’.
Mereka tulis
perkataan itu bukan sebab diajar, tetapi masa itu berlakunya Arab Spring iaitu
kebangkitan negara Arab di Tunisia, Yaman dan Mesir. Apabila kebangkitan itu,
semua negara ini tulis slogan yang sama iaitu “Ash-sha’ab yurid isqaat
an-nizam” ketika berdemonstrasi. Kanak-kanak ini tidak tahu apa-apa.
Polis datang ke
sekolah dan mengarahkan sekolah ditutup. Kanak-kanak yang terlibat ditangkap,
dipenjarakan dan diseksa. Antara seksaan yang dikenakan ialah dicabut kuku
mereka.
Keluarga
kanak-kanak ini datang ke balai minta anak-anak mereka dibebaskan, tetapi polis
kata: “Lupakan anak engkau dan engkau buat yang lain. Ataupun engkau hantar
bini engkau di balai polis, kami akan buat bini engkau mengandung lagi sekali”.
Ayat ini yang
saya dengar sendiri daripada orang Syria bercerita ketika kes itu berlaku.
Rentetan itu, orang kampung mula keluar berdemonstrasi aman dan itu merupakan
kali pertama rakyat Syria buat demonstrasi aman minta anak dibebaskan. Sebelum
ini, mereka memang tidak berani lawan kerajaan langsung kerana kerajaan memang
amat zalim.
Entah bagaimana,
mereka yang berdemonstrasi aman ini pula akhirnya ditembak anggota keselamatan.
Ramai yang mati.
Peristiwa ini
tersebar ke seluruh Syria. Kebetulan, masa itu di negara Arab yang lain sudah
berlaku kebangkitan.
Rakyat Syria
memang tidak fikir untuk lawan kerajaan, tetapi mereka hanya hendak kanak-kanak
yang ditahan itu dibebaskan. Itu saja.
Apabila sudah
jadi begitu, mereka pun tidak tahan, maka muncullah Tentera Pembebasan Syria
(FSA) setelah enam bulan rakyat Syria ditangkap, diseksa dan dibunuh. FSA
merupakan sukarelawan rakyat Syria yang hendak pertahankan maruah dan akidah
mereka. Mereka yang mula pertahankan keluarga sendiri daripada kerajaan
pimpinan Bashar al-Assad.
Persengketaan di
Syria ada kaitan dengan Syiah – Sunni. Dan sebagaimana penerangan Ustaz tadi,
ia juga dikaitkan dengan kemunculan Dajjal. Difahamkan, ada hadis menyebut
bahawa Dajjal nanti akan diiringi oleh orang Yahudi dari Isfahan, Iran. Apa
maksud hadis itu?
Nabi bersabda,
“Dajjal akan diikuti oleh 70,000 orang Yahudi dari kota Isfahan, mereka memakai
al-Tayalisah”. ini hadis riwayat Muslim. Al-Tayalisah ialah sejenis selendang
yang dipakai orang Iran atau Parsi semasa hendak perang dan sembahyang.
Persoalannya
kenapa Nabi kata Dajjal keluar di sebuah bandar di Iran, tidak di Israel atau
Amerika, Rusia atau China?
Saya tidak pasti,
tetapi jika kita lihat di Iran, ada Syiah di sana. Apabila berlaku kebangkitan
rakyat di Syria, negara luar yang mula-mula campur tangan ialah Iran. Masa
campur tangan itu, mereka bukan hendak sokong rakyat Syria, tetapi Iran hantar
10,000 tentera dengan penembak hendap.
Pada Mei 2012,
saya bersama NGO Muslim Care hantar bantuan kali pertama ke Syria dan kami
bertemu dengan seorang ulama Syria di Turki, Sheikh Muhammad Ali As-Sobuni.
Beliau berkata; “Kami dulu menyangka Syiah ini saudara kita, rupa-rupanya
mereka adalah sebaliknya.
Bahkan, Syiah ini
lebih ‘najis’ dan lebih dilaknat daripada Yahudi. Sebab bilangan orang Islam
yang dibunuh di Palestin pun tak sama (masih kurang) banding dengan orang Islam
yang dibunuh di Syria”. Di Syria yang mendapat sokongan Syiah Iraq, Iran dan
Hizbullah dari Lubnan, lebih 200,000 rakyat Syria sudah dibunuh sejak
kebangkitan itu. Berbanding di Palestin, hanya berpuluh ribu sahaja yang
terbunuh sejak Israel tawan negara itu.
Melihat kepada
perkara ini, kita pelik kenapa Syiah begini dan benarlah Nabi kata Dajal akan
keluar dari Isfahan, Iran.
Bashar; Perdana
Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dikatakan berasal daripada keturunan Yahudi
Isfahan yang dikaitkan sebagai tempat asal pengikut Dajjal. Bekas Presiden
Iran, Mahmoud Ahmadinejad juga berasal dari tempat itu. Bagaimana Ustaz melihat
perkara ini?
Saya kurang
pasti, tetapi datuk nenek Bashar memang dari Iran. Jadi hubungannya memang
kuat. Satu lagi, di Syria, Bashar berfahaman Syiah Alawi atau Nusairi.
Bercerita pasal Syiah, Syiah Alawi atau Nusairi sudah terkeluar daripada Syiah
Imamiah yang diamalkan di Iran.
Jadi Syiah yang
dipegang oleh Bashar ini, tidak diterima oleh Syiah pun, tetapi kenapa mereka
yang menyokong Bashar pada masa ini? Mereka (Iran) kata benci dan tiada kena
mengena dengan Syiah Alawi atau Nusairi, tetapi mereka tetap sokong Bashar
bunuh rakyat Syria.
Ini bermakna,
mereka sebenarnya bersatu menentang Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Pembebasan
Masjidil al-Aqsa di Palestin akan bermula daripada pembebasan Masjid Umawi di
Damsyik. Benarkah begitu?
Yang saya dengar
daripada ulama Palestin, Syeikh Raed Solah bahawa pembebasan Masjid al-Aqsa
pada zaman Sultan Salahuddin al-Ayyubi adalah bersama tentera yang datang dari
Syam iaitu Syria.
Insya-ALLAH
dikatakan tentera juga dari tempat yang sama akan datang untuk membebaskan
Masjid al-Aqsa. Cuma, kali ini bawah pimpinan Imam Mahdi.
Kubur Salahuddin
di Syria, betul-betul di tepi Masjid Umawi. Puak Syiah paling benci dengan
Salahuddin, antara sebabnya Salahuddin yang menjatuhkan kerajaan Syiah di
Mesir, iaitu kerajaan Fatimiyyah.
Ada
dakwaan mengatakan, sekiranya Amerika menyerang Syria, maka akan jadi Perang
Dunia Ketiga. Apa pandangan ustaz?
Wallahua’lam.
Saya rasa memang sudah dekat-dekat, tetapi saya tiada pengalaman dalam sejarah
bab perang.
Namun, tidak
mustahillah (akan berlaku Perang Dunia Ketiga) kerana melihat contoh apabila Amerika
kata hendak serang Syria, sekutu Syria, Russia kata; “Kalau engkau nak serang
Syria, aku serang Arab Saudi”.
Arab Saudi pula
sekutu Amerika. Sekutu Syria, iaitu Iraq, Iran, Russia dan semua sekutu dengan
Russia ialah geng komunis, manakala Eropah dan Amerika pula sekutu dengan Arab
Saudi. Jadi bila berlaku peperangan nanti, Wallahua’lam…tak mustahil berlaku.
Apa
istimewanya Syria sebagai sebuah negara Syam?
Nabi pernah sebut
dalam hadis; “Ya ALLAH, berkatkan pada Syam kami. Ya ALLAH, berkatkan kepada
Syam kami. Ya ALLAH, berkatilah negeri Yaman kami”.
Dalam hadis lain;
Nabi Muhammad SAW bersabda; “Beruntunglah bagi penduduk Syam. Beruntunglah
Syam. Beruntunglah Syam kerana Malaikat ar-Rahman yang sentiasa menghamparkan
sayapnya ke atas ahli Syam.” (Riwayat Ahmad).
Nabi sebut lagi;
“Sesungguhnya kota (perlindungan) kaum Muslimin ketika berlakunya al-malhamah
(perang besar) ialah di suatu lembah subur di sudut kota yang dipanggil Dimasq
(Damsyik).
Dan ia adalah
sebaik-baik kota di negara Syam”. (Riwayat Abu Daud).
Syam terdiri
daripada empat negara iaitu Syria, Jordan, Palestin dan Lubnan. Para sahabat
nabi pun ramai di negara itu. Di Syria, ada lebih 10,000 pusara sahabat Nabi.
Antara sahabat Nabi yang meninggal di Syria ialah Bilal bin Rabah, Khalid al-Walid,
Muawiyah bin Abu Sufyan, Abdullah bin Ummi Maktum dan Abu Darda.
Dari Abdullah bin
Hawalah, dari Nabi SAW, baginda bersabda; Pada malam aku diisra’kan, aku
melihat tiang-tiang putih seperti permata yang dibawa oleh para malaikat. Aku
bertanya: “Apa yang kalian bawa?” Mereka menjawab: “Tiang-tiang al-Kitab.
Tugas kami untuk
meletakkannya di Syam.” Dan ketika aku tidur, aku (bermimpi) melihat
tiang-tiang al-Kitab muncul dari bawah. Kemudian aku mengira bahwasanya ALLAH
yang Maha Perkasa lagi Maha Tinggi menjelma bagi penduduk bumi. Maka
penglihatanku mengikutinya.
Ketika itu Dia
adalah cahaya yang menerangi hadapanku hingga sampai ke Syam.” Kemudian Ibnu
Hawalah berkata: “Wahai Rasulullah, wasiatilah aku!” Baginda bersabda:
“Tinggallah di Syam.” (Riwayat at-Tabrani).
Dalam sebuah
hadis lain, daripada Ibnu Hawalah, daripada Nabi SAW, baginda bersabda bahawa
ada tiga tentera di akhir zaman nanti iaitu tentera Iraq, Yaman dan Syam. Lalu
sahabat bertanya; “Pilih yang mana?”. Nabi berkata, hendaklah engkau bersama
dengan tentera yang berada di Syam. Hadis ini diriwayatkan oleh at-Tabrani.
Apa
yang berlaku di Syria, ada kaitan dengan tanda-tanda akhir zaman. Apa nasihat
Ustaz?
Nasihat saya,
jangan kata yang lawan Bashar ini adalah pemberontak, tetapi mereka adalah
rakyat yang hendak mempertahankan hak dan akidah mereka.
Banyak media kata
rakyat Syria pemberontak. Kita wajib mempertahankan Syria. Isu Syria adalah isu
umat Islam sedunia. Kadang kala, kita hanya mengambil berat isu Mesir tetapi
kita ketepikan penyembelihan yang setiap hari berlaku di Syria.
Pesanan Ulama
Palestin, Syeikh Raed Solah, selagi Damsyik tidak dibebaskan, jangan kamu mimpi
Al-Aqsa akan dibebaskan. Bantulah mereka dengan dgn apa yang termampu dan
jangan lupa doakan kemenangan untuk Islam.
Sumber: kemarahanpaklong.com
0 comments:
Post a Comment