Tahun lalu, ada confessor yang kongsi pandangan
mengenai balik beraya di kampung tetapi tinggal di hotel dan tindakan itu
dianggap tidak wajar. Namun bagi Abdul Ghani Haron, adalah penting bagi suami
atau bapa menjaga aurat isteri dan anak perempuan mereka. Jangan ambil mudah,
semoga bermanfaat.
PENAMPAKAN AURAT
Bagi yang nak balik beraya di kampung, baca cerita
lama tulisan saya ini untuk difikirkan.
"CERITA BALIK BERAYA, BANYAK MANA MENGGENDONG
DOSA"
Subuh selepas hari raya, saya menyapa seorang jiran
yang bersolat jemaah subuh bersama saya.
"Anak cucu ramai balik, penuh rumah agaknya,
Mak Lang,"
"Mak Lang dah dah siap awal. Mak Lang dah
tempah homestay. Mak Lang suruh yang lelaki tidur di homestay. Tinggal anak dan
isteri sahaja di rumah Mak Lang. Bimbang balik beraya buat dosa, dosa melihat
aurat ipar lamai, sepupu, biras," katanya.
Cerita balik raya di kampung memang seronok, tetapi
hakikatnya mudah terpalit dosa jika tidak dirancang. Apa tidaknya, bila
beberapa keluarga berhimpun dalam satu rumah, tidur bergelimpangan sehingga ke
ruang tamu kerana bilik tidak mencukupi. Maka akan berlakulah penampakan aurat
ipar, sepupu, biras dan sebagainya.
Masa tidur, keluar dari bilik mandi, semasa menyusu
badan, apatah lagi kalau dah tidur, tetaplah terbuka aurat. Paling resah adalah
wanita yang terpaksa 'berbungkus' selama 24 jam kerana sentiasa ada orang yang
bukan mahram di sekelilingnya menyebabkan mereka berasa rimas dan panas.
Ditambah pula beratur di bilik mandi.
JANGAN AMBIL MUDAH TENTANG AURAT
Inilah cerita yang tidak seronok bila balik beraya
di kampung, yang tidak terzahirkan kerana mahu menjaga hati banyak pihak.
Tetapi wanita yang solehah tetap berkorban demi menjaga hati suami, mentua
serta ipar.
Namun, suami yang prihatin dan mentua yang
mengambil berat sepatutnya mengambil kira persediaan menyambut kepulangan anak
cucu dan menantu agar berhimpun untuk beraya tidak terpalit dosa. Suami yang
prihatin sepatutnya mengambil kira untuk tetap menyembunyikan aurat isteri,
meringankan pengorbanan mereka yang kena 'berbungkus' selama 24 jam.
Tindakan Mak Lang itu adalah sesuatu yang betul.
Zaman dulu di mana masalah aurat tidak diberi penekanan dan hal ini diremehkan.
Tetapi pada kita yang sentiasa menjaga aurat, jangan ambil mudah bila beraya
bersama ipar lamai, sepupu, biras kerana hukum aurat tidak berubah dalam apa
situasi pun.
Nak menjaga hati emak dan mentua, bukan bermakna
boleh main cincai dalam masalah aurat, boleh lebih kurang, biar tidur bersesak,
terselak sana sini, asal boleh tidur. Pemisahan lelaki dan wanita yang bukan
mahram tetap perlu dibuat dan diutamakan dari soal kekeluargaan. Maka penyedia
ruang pemisahan ini wajib atau mengasingkan dengan menyewa homestay atau hotel
walaupun terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi. Tetapi itu lebih baik
dari sekali terpandang aurat ipar atau sepupu atau yang lain yang bukan
mahram.
SUAMI TETAP TERSERET JIKA AURAT ISTERINYA TERDEDAH
Bukan sahaja bila bila balik beraya, bahkan bila
berkampung kerana kenduri kendara. Jangan ambil mudah soal aurat, kasihanilah
isteri dan anak dara anda. Kerana suami juga tetap terseret jika aurat
isterinya terdedah, jika dia tidak bersedia mengelaknya.
Kisah Tsalabah bin Abd Rahman yang terlihat betis
wanita bukan mahramnya, merasa amat berdosa lalu mengasingkan diri ke gua
sehingga nabi menemuinya, adalah contoh betapa beratnya dosa melihat aurat
wanita bukan muhrim (hadis ini dikatakan daif tetapi boleh jadikan
teladan).
Jangan balik beraya menggendong dosa. Jangan peduli
sindiran orang yang menyebut,
"Balik kampung tapi tidur homestay,
hotel"
kerana mereka mungkin tidak faham yang kita mahu
mengelak dari terbuat dosa. Selain itu faktor keperluan untuk mandi manda dan
membuang air besar juga penting kerana itu keperluan hidup yang boleh
menjejaskan kesihatan.
Kesimpulannya, apa juga yang kita buat, jangan
sekadar merancang untuk melaksanakannya tetapi rancanglah supaya apa yang
dibuat menjadi kebajikan, apa yang dibuat terelak dari dosa.
Bantulah isteri anda dalam memerlihara auratnya.
Bahkan memelihara aurat isteri itu satu kecemburuan yang mandatori, yang wajib
dilaksanakan. Wallahu a'lam.
Sumber: Abd Ghani Haron
0 comments:
Post a Comment