Dewasa ini seringkali kita mendengar
keluhan sebagai tuan kucing memperkotak katikkan jiran yang tidak sukakan
kucing. sebagai hidup berjiran hal ini harus dititik beratkan. Bukan
sewenangnya terus menghentam jiran jiran.
DALAM kalangan orang Islam, kucing
adalah haiwan peliharaan yang paling popular. Bagi pemelihara kucing, mereka
amat terhibur dengan keletah haiwan tersebut lebih-lebih lagi jika ia sangat
manja dan jinak. Dalam Islam, hukum memelihara kucing adalah harus.
Membicarakan memelihara dan sukakan
kucing, sudah pasti nama Abu Huraiah r.a. terlintas dalam benak kita. Beliau
ialah sahabat Rasulullah SAW yang amat suka kepada anak-anak kucing. Sehinggakan
diberi gelaran ‘Abu Hurairah’ oleh nabi SAW kepadanya. Ini juga satu pengakuan
terhadap keharusan memelihara kucing.
Cuma dalam hidup bermasyarakat
terutama bagi yang tinggal di rumah teres dan flat dalam taman-taman perumahan,
beberapa perkara perlu diteliti sebelum kita memelihara kucing. Ini supaya kita
tidak tergolong dalam orang yang mencerobohi dan menyakiti hati jiran.
Tidak ada satu riwayat pun yang
menyatakan Abu Hurairah menyusahkan jirannya dengan hobi memelihara kucing ini.
Justeru, mereka yang ingin mencontohi hobi beliau wajib baginya menunaikan
hak-hak kucing sebagai haiwan dan juga hak-hak jiran daripada diceroboh.
Dalam kita mempertahankan hak
memelihara kucing, jangan lupa bahawa mereka yang tidak memelihara kucing
juga mempunyai hak dan ketenteraman yang perlu dipelihara daripada diceroboh.
Membiarkan kucing peliharaan
menjadikan pasu-pasu bunga jiran atau halaman rumah sebagai ‘tandas rasmi’
adalah satu dosa. Membiarkan kucing peliharaan kita bebas keluar dan masuk ke
rumah jiran ‘tanpa izin’ sehingga menyebabkan jiran terganggu juga satu dosa.
Bahkan, membasuh najis kucing sehingga airnya mengalir ke halaman rumah jiran
atau mengalir dan tersekat di longkang jiran dengan mendatangkan bau yang tidak
menyenangkan juga termasuk dalam perbuatan menyusahkan jiran.
Lebih malang, jiran yang tidak
membela kucing terpaksa membersihkan najis haiwan itu yang ‘melepas’ di atas
tilam atau di depan pintu bilik hanya kerana tingkapnya terbuka. Sudahlah
tidak memelihara kucing tetapi kena bersihkan najisnya pula. Ini belum masuk
episod kencing kucing pada lantai dan tempat kasut di luar rumah untuk
‘menandakan’ kawasan mereka.
Untuk itu, pemelihara kucing perlu
mengambil beberapa langkah untuk mengelak dan mengurangkan ‘kesengsaraan’ yang
ditanggung oleh jiran. Hidup berjiran ini perlu kepada muafakat dan bertolak
ansur. Sebabnya, jiranlah yang akan membantu kita jika berlaku kecemasan atau
sakit pening pada waktu tengah malam kerana adik beradik kita tinggal
berjauhan.
1. Sediakan tempat untuk kucing tidur
Kucing memerlukan tempat yang baik
untuk tidur. Membiasakan tidur di tempatnya menghindari kucing tidur di
merata-rata tempat. Hal ini dilakukan agar bulu-bulu yang tertinggal setelah
tidur tidak tersebar di mana-mana. Untuk anak atau keluarga yang alah terhadap
bulu kucing, hal ini sangat membantu.
2. Sediakan tempat untuk kucing
menggaruk atau mencakar
Secara naluri, haiwan jenis kucing
memiliki kuku tajam yang perlu diasah. Secara berkala mereka akan mengasah
ketajaman kuku-kuku tersebut. Di alam bebas, kucing melakukannya dengan
mencakar-cakar batang pohon. Di rumah, kita sering mendapati kucing menggaru
tepi kerusi atau tembok. Menyediakan tempat khusus begini akan melatih kucing
hanya menggaruk di satu tempat. Ia juga mengurangkan risiko kerusi atau sofa
dicakar.
3. Sediakan tempat kucing untuk
membuang najis
Sediakan pasir untuk kucing membuang
najisnya. Kebersihan rumah mesti menjadi keutamaan sekalipun ada haiwan
peliharaan. Alangkah tidak elok jika rumah kita berbau akibat najis kucing yang
bertabur merata-rata.
Berbuat baik kepada jiran telah
ditegaskan oleh sabda nabi SAW yang bermaksud: “Demi Allah, dia tidak beriman,
demi Allah dia tidak beriman. Demi Allah, dia tidak beriman. Nabi lalu ditanya:
“Siapakah dia Ya Rasulullah? Nabi menjawab: “Iaitu orang yang tetangganya tidak
merasa aman dengan kejahatannya”. (Riwayat Bukhari dan Muslim). Sabda baginda
lagi: Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat (akhirat) maka
janganlah menyakiti jirannya. (Riwayat Bukhari).
0 comments:
Post a Comment