Monday, June 19, 2017

Filled Under:

Gendang Sahur Pecah Keheningan Pagi Kampung Pulau Timbul, Jitra


JITRA - Memasuki hari-hari terakhir Ramadan, paluan gendang raya berusia lebih 100 tahun dari Masjid Pulau Timbul dekat sini yang bertujuan mengejutkan penduduk untuk bangun bersahur, akan lebih gamat lagi.

Walaupun sudah jarang digunakan, setiap kali tibanya Ramadan terutamanya pada penghujung bulan puasa, bunyi paluannya pasti akan kedengaran memecah kesunyian awal pagi di sekitar kampung itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Pulau Timbul, Azizan Mat Zaki berkata, ini kerana kebanyakan perantau sudah mula balik ke kampung dan suasana akan menjadi lebih meriah apabila mereka turut sama memalu gendang secara bergilir-gilir.

"Anggota kariah masjid tidak kira tua mahupun muda akan memalu gendang ini secara berkumpulan yang mana paluan pertama adalah pada pukul 12.30 tengah malam hingga 1.30 pagi yang bertujuan memberitahu para ibu untuk menyiapkan juadah sahur dan menunaikan solat sunat.

"Paluan kedua pada pukul 3.30 pagi hingga 4.30 pagi pula bagi mengejutkan penduduk kampung untuk bersahur," katanya dan menambah, bunyi paluan itu boleh kedengaran sehingga 20 kilometer jauhnya.

Pukulan gendang sahur itu kebiasaannya dilakukan oleh tiga individu yang berperanan sebagai 'anak', 'ibu' dan 'turut' yang akan memalu gendang secara bergilir-gilir secara berterusan selama satu jam.

Azizan berkata, selain digunakan bagi mengejutkan penduduk untuk bersahur, gendang itu juga biasanya digunakan untuk memberitahu masuknya waktu solat, kematian ataupun bencana alam.

"Setiap berita atau maklumat yang ingin disampaikan, rentak dan alunannya adalah berbeza," katanya.

Bagi seorang anak muda, Mohd Daniel Md Idris, 18, beliau mula belajar memalu gendang itu sejak berusia 11 tahun dan menyifatkan peluang untuk memalu gendang tersebut merupakan satu pengalaman yang cukup berharga,

"Ia bukanlah sesuatu yang mudah kerana kita perlu menggunakan sepenuh tenaga untuk memalu gendang agar bunyinya lebih kuat dan dapat didengari penduduk kampung," katanya yang berharap agar generasi muda lain akan turut sama meneruskan tradisi itu.- BERNAMA






0 comments:

Post a Comment