KULIM - Seorang guru maut di tempat
kejadian apabila terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan bas di
Jalan Kulim - Mahang dekat Sungai Kob, pagi semalam.
Mangsa, Umi Nazrah Md Isa, 39,
dipercayai memandu sebuah kereta jenis Mitsubishi Mirage dari Sekolah
Kebangsaan Lindungan Raja, Sedim untuk menghadiri mesyuarat di Pejabat
Pendidikan Daerah Kulim kira-kira jam 8 pagi.
Bagaimanapun, setibanya mangsa di
lokasi kejadian yang berselekoh kira-kira jam 8.30 pagi, kereta dipandunya
hilang kawalan dan masuk ke arah laluan bertentangan sebelum bertembung dengan
sebuah bas.
Menurut seorang saksi kejadian yang
enggan dikenali, sebelum berlaku pertembungan kereta yang dipandu mangsa
kelihatan bergoyang-goyang.
"Ketika itu saya berada di
belakang bas kira-kira 500 meter memang nampak kereta dipandu mangsa bergoyang
sebelum terbabas ke laluan bertentangan, kereta di hadapan bas di laluan sama
dapat mengelak namun bas tersebut tidak sempat dan berlaku kemalangan.
"Saya lihat mangsa tersepit di
tempat duduk pemandu dan anggota bomba telah keluarkannya sebelum di serahkan
kepada pihak polis, manakala pemandu bas turut mengalami cedera ringan,"
katanya.
Suami mangsa, Muhamad Fared Idris, 42
berkat,a dia sempat bertemu kali terakhir dengan Allahyarham isterinya ketika
ingin keluar dari rumah di Kuala Ketil untuk pergi ke tempat kerja
masing-masing.
"Pagi tadi saya sempat berjumpa
dengan dia sebelum masing-masing pergi ke tempat kerja, tak ada sebarang
perubahan pada dia, tapi dia ada cakap kena hadir mesyuarat pagi semalam.
"Saya hanya mengetahui isteri
terlibat kemalangan kira-kira jam 9.30 pagi ketika sedang bersiap sedia untuk
mengajar di kelas seterusnya," katanya.
Katanya, dia dan Allahyarham isteri
juga telah merancang untuk pulang ke kampung di Yan esok untuk mengambil baju
raya yang sudah siap ditempah di sana.
"Arwah ada cakap baju raya sudah
siap dan ajak kami pulang ke sana untuk ambilnya, tapi arwah telah pergi dulu.
Saya reda arwah pergi dalam bulan Ramadan yang mulia ini," katanya.
Allahyarham meninggalkan empat orang
anak berusia tiga hingga 12 tahun dan jenazah akan dikebumikan di Kampung
Setar, Sungai Yan.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan
Ahmad Nasir Jaafar mengesahkan kejadian dan berkata, Balai Trafik Kulim telah
menerima maklumat awam melui kejadian tersebut kira-kira jam 9.22 pagi.
"Hasil siasatan awal mendapati
pemandu kereta dalam perjalanan dari arah Mahang ke Kulim manakala pemandu bas
dari arah Kulim menuju ke Mahang.
"Apabila sampai di tempat kejadian
pemandu kereta dipercayai telah hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan
dan telah bertembung dengan bas tersebut.
"Pemandu bas telah meninggal dunia
di tempat kejadian dan telah dihantar ke Hospital Kulim untuk tindakan
lanjut," katanya.
0 comments:
Post a Comment