Setiap kejadian alam mempunyai dua
makna, yang tersurat dan tersirat. Beruntunglah mereka yang boleh memahami
kedua-dua maknanya. Ini termasuklah dalam perkara mengenai kucing.
Apakah makna yang tersirat jika
kucing datang kepada kita? Apakah yang cuba disampaikan Tuhan kepada kita? Mari
kita renungkan bersama.
Tanda #1 – Bahagian Kucing
Selalu terjadi apabila kita duduk
di warung sambil makan, pasti ada kucing jalanan yang menagih simpati. Perutnya
yang lapar siapalah yang sudi memberi. Ya, kucing itu mungkin nampak kotor dan
comot. Namun siapakah kita untuk memandang jelik makhluk Allah SWT itu?
Kehadiran kucing itu menyampaikan
pesanan yang jelas dari Tuhan. Percayalah, dalam ketika kita enak menjamu
selera mungkin kita terlupa mensyukuri nikmat Tuhan.
Maka kerana itu Allah SWT
menghantar kucing kepada kita agar kita sentiasa beringat bahawa setiap rezeki
yang dikurniakan itu bukan 100% milik mutlak kita.
Sebahagiannya milik orang lain atau
makhluk lain. Kali ini, milik sang kucing jalanan. Maka berbagilah rezeki itu
juga kepadanya. Semoga dengan memberi, kita menjadi hamba yang sentiasa
bersyukur.
Tanda #2 – 10 Kali Ganda Kebaikan/Ganjaran
Sesungguhnya sedekah itu ada dalam
pelbagai bentuk dan rupa. Inilah antara rahsia-rahsia kebijaksanaan Allah SWT.
Apabila kucing datang kepada kita dan meminta sedikit rezeki lalu kita
menghulurkan kepadanya, maka kita telah berbuat kebaikan kepadanya.
Bersedialah untuk menerima 10 kali
ganda kebaikan dan ganjaran dari Tuhan sebagai balasan pada perbuatan baik
tersebut. Itu janji-Nya kepada mereka yang bermurah hati menyantuni makhluk
yang lain.
Tersenyumlah kawan kerana kehadiran
kucing kepada kita ketika itu membawa maksud bahawa Allah SWT telah menyediakan
10 kali ganda rezeki yang jauh lebih baik untuk kita bagi menggantikan bahagian
rezeki yang bakal diberikan kepada kucing.
Tidakkah kita sangat gembira
apabila menerima hadiah yang indah? Maka apabila Tuhan semesta alam sendiri
yang memilih untuk memberikan kita hadiah yang 10 kali ganda jauh lebih baik,
bukankah itu suatu yang mengujakan?
Tanda #3 – Belajar Ikhlas
Allah SWT membimbing dan mendidik
manusia melalui kehidupan dan alam. Besar keistimewaannya pada orang yang
didekati kucing kerana melaluinya manusia boleh belajar ilmu ikhlas.
Kenapa ikhlas? Adakah kucing itu
mempunyai wang ringgit bagi membalas kebaikan yang diberikan? Mampukah kucing
itu meninggikan darjat dan memberikan pangkat kepada orang yang memberinya
makan?
Tentu sekali tidak. Maka tanpa
apa-apa balasan yang dapat diharapkan dari kucing, tindakan yang tetap terus
berbuat kebajikan kepadanya akan mendidik jiwa kita untuk menjadi manusia yang
ikhlas.
Ikhlas dalam berbuat kebaikan
sebagai khalifah yang terpilih atas muka bumi Tuhan dan ikhlas untuk tetap
terus istiqamah mengamalkan kemanusiaan. Terimalah pendidikan percuma dari
Tuhan ini dan usahalah untuk berjaya menguasai pembelajarannya.
Tanda #4 – Belajar Ihsan
Kadangkala kucing yang mendekati
kita itu mungkin jengkel ulah lakunya. Boleh jadi naik geram kita dibuatnya.
Apabila situasi ini yang terjadi maka beringatlah bahawa Allah swt menghantar
kucing itu sebenarnya untuk menguji kita.
Ujian pertama adalah soal bagaimana
kita memandang dunia terutamanya rezeki. Adakah kita terlalu cintakan dunia
sehingga kita menjadi terlalu bakhil dalam berkongsi rezeki dengan yang lain?
Jangan pernah terlupa tentang amanah sebagai khalifah terpilih yang ditugaskan
melaksanakan yang hak.
Ujian kedua adalah untuk melihat
sejauh mana layanan kita kepada sesama makhluk. Sedarlah apabila kucing datang
meminta makanan misalnya, kucing itu tidak minta ikan yang baru digoreng.
Kucing itu tidak minta pinggan yang cantik untuk dihidang makanannya. Kucing
itu tidak diminta mulutnya dilap cermat dengan tisu selepas makan. Kucing itu
tidak mengharap layanan 5 bintang.
Cuma yang diminta adalah sisa
makanan barang sedikit sebanyak yang tidak habis untuknya makan. Apabila nakal
perangainya dan rimas rayuannya, sabarkah kita melayannya?
Ingatkah kita bahawa Tuhan sentiasa
melihat dan mengawasi setiap tindak tanduk mahupun lintasan hati kita terhadap
kejadian dan makhlukNya dalam emosi kita?
Inilah ilmu ihsan. Ilmu tentang
mampu mengingati Tuhan dalam setiap kata-kata, tindakan, fikiran mahupun emosi.
Ilmu tentang melakukan sesuatu dengan ingatan kuat bahawa Tuhan sentiasa
melihat dan sangat hampir. Tiada satu pun dapat bersembunyi dariNya.
Malu kita pada Tuhan apabila apa
yang dilakukan kita sehari-harian bukan seperti perintahNya malah kita gagal
menjauhi laranganNya dalam beradab dengan sesama makhluk.
Tanda #5 – Kurniaan Rezeki yang Berpanjangan
Pernah tak ada kucing yang
tiba-tiba datang ke rumah kita? Tanpa segan silu kucing itu mengisytiharkan
dirinya sebagai sebahagian dari keluarga kita. Lalu dia turut bertindak seperti
penghuni tetap di rumah itu. Disuruh pergi namun tetap tegar kembali.
Bergembiralah kerana anda terpilih
untuk mendapatkan kurniaan rezeki yang berpanjangan dari Tuhan. Dari manakah
datangnya rezeki ini?
Apabila kucing itu tinggal tetap,
ini bermakna peluang bersedekah melalui asbab kucing itu telah dibuka setiap
hari untuk kita. Sedekah yang berterusan mengundang rahmat Allah swt yang
menjadikan rezeki melimpah ruah seperti hadith berikut:
Nabi saw bersabda kepada Zubair bin
al Awwam: “Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang
Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar
nafkahnya.
Maka siapa yang membanyakkan
pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang
menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.”Hadis Riwayat al-Daruquthni
dari Anas ra
Allah SWT nak menegur kita bahawa
jika kita menolak kehadirannya, seolah-olah kita menolak rezeki yang melimpah
ruah telah diperuntukkan Allah swt untuk kita.
Kucing itu hanya menjadi asbab
kepada terjemputnya segala rezeki ini lewat keikhlasan kita dan doa dari kucing
itu untuk tuan rumahnya.
Jadi selepas ini jika kita didekati
kucing berbaik sangkalah kepada Tuhan kerana agenda rezeki kita dari Tuhan itu
lebih baik dari perancangan kita sendiri. Dan mungkin kehadiran kucing itu
menjadi kunci kepada turunnya rezeki di dalam hidup kita.
Ya, rezeki bukan hanya wang ringgit
dan harta benda tapi turut dalam bentuk yang lain seperti kegembiraan,
kesihatan, ketenangan, ilmu, kemudahan dan pelbagai lagi di dunia dan akhirat.
Jika pintu rezeki di’meow’ di hadapan kita, terimalah dengan redha
kehadirannya.
KONGSIKAN ARTIKEL INI
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu
ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini,
ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah ramai yang akan
mendapat manafaat.
https://youtu.be/e4m3vnNCo7M
0 comments:
Post a Comment