DUA penjenayah tanpa
senjata mengambil masa kurang lapan saat melarikan tiga guni wang dianggarkan
berjumlah RM150,000 dari sebuah van keselamatan dalam kejadian di hadapan
sebuah bank di Taman Sri Serdang, Serdang, Selangor, 10.30 pagi tadi.
Sumber polis berkata, ketika kejadian empat pengawal keselamatan
sedang bertugas untuk mengambil duit dari bank berkenaan.
Katanya, dua pengawal berada dalam bank bagi urusan pemindahan
duit manakala dua lagi pengawal berada dalam van.
“Menerusi siasatan awal, terdapat dua pengawal berada dalam van
iaitu satu di bahagian pemandu, manakala seorang lagi di belakang yang menjadi
tempat simpanan guni duit itu.
“Rakaman CCTV di tempat kejadian menunjukkan dua penjenayah yang
memakai topi keledar menghampiri van dan terus membuka pintu tepi van.
“Sebaik membuka pintu, penjenayah terus melarikan tiga guni beg
duit kurang daripada lapan saat menggunakan sebuah motosikal Yamaha 125Z,”
katanya.
Menurut sumber itu
lagi, polis sedang menyiasat kemungkinan terdapat unsur subahat dalam kalangan
pengawal berikutan penjenayah membuka pintu van dengan mudah selain tiada
senjata digunakan seolah-olah ia dirancang terlebih dulu.
Katanya, buat masa ini polis menahan keempat-empat pengawal bagi
membolehkan siasatan terperinci dijalankan.
“Lazimnya, van keselamatan hanya boleh dibuka menggunakan kunci
keselamatan utama ataupun dibuka oleh orang yang berada di dalam van.
“Jadi, kita tidak menolak kemungkinan wujudnya unsur subahat
antara empat pengawal terbabit,” katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Megat
Mohamad Aminuddin Megat Alias mengesahkan kejadian dan memaklumkan pihaknya
melakukan Op Tutup bagi mengesan dua penjenayah terbabit.
0 comments:
Post a Comment