KEADAAN ekonomi yang tidak
menentu mendorong orang ramai memilih menu makanan bajet kerana ia jauh menjimatkan.
Dengan RM5, orang ramai kini boleh menikmati hidangan
mengenyangkan seperti nasi goreng, chicken chop dan char kuey teow udang
di Restoran Nasi Talam Dangau yang terletak di Sungai Layar Hujung, Sungai
Petani, Kedah.
Bersebelahan Kedai Tayar Hankook, restoran itu diusahakan pesara
kerajaan, Rabeah Yaacob, 61, yang lebih mesra dikenali Mak Teh selepas 36 tahun
berkhidmat dalam bidang perguruan.
Restorannya terlebih dahulu menawarkan enam jenis nasi talam
dengan pilihan makanan laut, kambing bakar dan asam pedas sebagai menu utama
dengan harga RM35 hingga RM95. Bagaimanapun, dia memperkenalkan menu bajet atas
permintaan ramai bagi meringankan beban mereka berpendapatan rendah.
“Lima menu bejet ditawarkan kepada pelanggan ialah nasi tiga
beradik iaitu nasi goreng cina, nasi goreng dangau dan nasi goreng kampung yang
dijual dengan harga serendah RM3 setiap satu hidangan.
“Selain itu, char kuey teow ditambah udang dan telur adalah
masakan digoreng panas dengan harga RM4.50. Untuk makanan ala western, set chicken
chop iaitu isi ayam goreng, sos, kentang goreng dan sayur mayonis dijual pada
harga serendah RM4.50,” katanya.
Terbaru, restorannya memperkenalkan hidangan set masakan panas
pada waktu tengah hari, iaitu set ikan pekasam, keli goreng, bawal goreng, ikan
siakap goreng dan ayam goreng disertakan nasi, ulama-ulaman dan sos pencecah
dari harga RM5 hingga RM9.
Bagi menarik lebih ramai pelanggan, Rabeah bakal memperkenalkan
konsep kad mengumpul mata yang memberi peluang kepada pelanggan untuk menikmati
hidangan nasi talam percuma.
“Saya akan beri potongan sehingga 10 peratus kepada pelajar
sekolah atau institusi pengajian tinggi,” katanya.
Restoran Nasi Talam Dangau dibuka setiap hari dari jam 6 petang
hingga 12 tengah malam. - Sinar Online
Tags
/ Kata Kunci:Restoran Nasi Talam Dangau
0 comments:
Post a Comment