Saturday, October 21, 2017

Filled Under:

Jutawan Kosmetik Kongsi Rahsia Jadi Kaya






DUA jutawan kosmetik berkongsi rahsia kejayaan  menerusi tips pelaburan yang dilaksanakan untuk mengumpul kekayaan, pada Fiesta Labur Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Program selama empat hari itu diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dari 28 September hingga 1 Oktober lalu.
Pada hari ketiga acara tersebut, Datuk Seri Vida dan Datuk Aliff Syukri Kamarzaman, yang merupakan pelabur dalam beberapa dana Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), berkongsi perjalanan mereka untuk berjaya termasuk kisah pelaburan mereka.
Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman, yang juga ketua pegawai eksekutif Vida Beauty Sdn Bhd berkata, beliau mempunyai beberapa akaun pelaburan dan menggalakkan keluarganya untuk menyimpan wang.
"Simpanan sangat penting tetapi melabur simpanan anda memberi lebih banyak pulangan. Tetapi kita juga mesti berhati-hati di mana kita melabur.
"Terdapat banyak skim pelaburan yang meragukan kerana menjanjikan wang yang cepat dan mudah. Ramai terpedaya dengan bentuk penipuan ini.
"Skim ASNB menjamin pulangan, jadi ia adalah selamat. Bagaimanapun, anda perlu bersabar dan menunggu dividen untuk melihat jumlahnya bertambah," katanya.
Vida turut menasihatkan para pengunjung supaya menyimpan sekurang-kurangnya 20 peratus hingga 30 peratus daripada gaji mereka.
"Saya tahu godaan membeli untuk bermewah-mewah, tetapi kita perlu disiplin dan memotivasi diri kita sendiri.
"Jika kita melabur wang sekarang dan tunggu selama beberapa tahun, ia akan memberi kita lebih banyak pulangan, yang boleh digunakan untuk membeli apa sahaja yang kita mahukan. Lebih banyak anda melabur, lagi banyak pulangan yang anda akan dapat.
"Pada mulanya, menyimpan wang memang sukar, tetapi bila anda melihat wang itu kemudian semakin bertambah, ia akan menjadi satu ketagihan.
"Ia juga menjadi ubat mujarab buat usahawan seperti saya untuk mempunyai sumber yang menjana pendapatan pasif bagi mengembangkan lagi kekayaan kita.
"Saya tidak dilahirkan kaya, tetapi saya mempunyai impian yang besar. Malah, sejak saya di bangku sekolah lagi, saya rajin berniaga dan menjual macam-macam dari alat tulis hingga nasi lemak untuk mendapatkan untung.
"Saya menyedari bahawa saya mahir dalam jualan dan pemasaran, dan kejayaan besar saya bermula dari industri kosmetik.
"Pada peringkat awal, saya melabur banyak wang dan hanya menggunakan dividen untuk berbelanja mewah, yang menjadi tabiat saya sampai sekarang. Pelaburan pertama saya kira-kira 20 tahun lepas hanya RM5,000.
"Orang ramai perlu mengubah minda mereka, dan mula menyimpan dan melabur. Tak apa kalau bermula secara kecil-kecilan selagi ia konsisten. Kita bertanggungjawab untuk masa depan kita dan bergantung kepada diri kita untuk menjalani kehidupan yang baik," katanya.

Sementara itu, Aliff yang merupakan pengasas D'Herbs Holdings Sdn Bhd turut menggunakan dividennya untuk membeli barangan mewah.
"Sebagai seorang ahli perniagaan, kita perlu menjadi kaya wang tunai. Ketika masa sukar, kita memerlukan wang tunai untuk memastikan perniagaan bertahan.
"Pelaburan dalam dana ASNB adalah lebih baik kerana ia menjamin pulangan dan membolehkan pengeluaran dilakukan pada bila-bila masa," katanya.
ASNB merupakan anak syarikat milik penuh PNB. Ia ditubuhkan pada 22 Mei 1979 yang berperanan untuk menguruskan dana yang dilancarkan oleh PNB.
ASNB kini mempunyai 10 dana, termasuk enam dana harga tetap iaitu Amanah Saham Bumiputera, Amanah Saham Wawasan 2020, Amanah Saham Malaysia, Amanah Saham Didik, Amanah Saham 1Malaysia dan Amanah Saham Bumiputera 2, serta empat dana harga berubah.







0 comments:

Post a Comment