Kucing adalah haiwan yang cukup comel. Telatahnya yang
nakal dan manja amat mencuit hati. Saya tidak boleh ingat sudah berapa ekor
kucing yang pernah kami sekeluarga pelihara.
Tidak lama pergi pasti berganti baru. Pelbagai jenis dan pelbagai warna.
Sudah bermacam-macam nama kucing pernah dipanggil di kawasan rumah kami bila
tiba waktu untuk diberi makan.
Sehingga hari ini, kami masih ada kucing-kucing di rumah. Tahniah kepada
anda peminat kucing! Anda telah mendapat pelbagai keistimewaan dengan menjaga
haiwan ini. Ini antara keistimewaan yang telah anda terima.
Keistimewaan #1 – Terapi Mental dan Emosi yang Baik
Memelihara binatang kesayangan merupakan suatu terapi emosi yang sangat
baik lebih-lebih lagi bila anda memelihara seekor kucing. Kucing adalah teman
yang setia dan anda tidak akan merasa sunyi apabila melayan karenahnya.
Kajian mendapati, mereka yang berada di dalam keadaan kemurungan mampu
pulih dari keadaan ini apabila bercakap dan berinteraksi dengan kucing.
Bukan itu sahaja, aktiviti membelai kucing dapat mebantu menurunkan
tekanan dan stress pada diri anda. Bayangkan pulang dari kerja sudah ada yang menanti
di muka pintu sambil mengiau.
Saat anda duduk si kucing melompat ke riba minta diusap. Mahu tak
tersenyum dibuatnya lalu lupa dengan kepenatan seharian.
Hanya 15 hingga 30 minit masa berkualiti yang diluangkan dengan kucing,
anda telah berjaya mengurangkan tekanan saraf dan membaiki mood anda.
Ini kerana tubuh badan anda menghasilkan sejenis bahan kimia bernama
serotonin yang membantu meningkatkan kesejahteraan diri.
Memelihara kucing dapat mendidik anak-anak untuk belajar empati,
menghormati pendapat dan perasaan orang lain serta bertimbang rasa.
Anak-anak yang menjaga haiwan peliharaan dari kecil dilihat lebih
berkeyakinan diri, pandai berkongsi dan bijak bekerjasama. Mereka dilihat
mempunyai kemahiran berkomunikasi dan berinteraksi dengan orang lain selain
memiliki tahap EQ yang tinggi berbanding kanak-kanak seusianya.
Selain itu, kucing juga merupakan haiwan yang boleh digunakan dalam
merawat pesakit yang menghidapi trauma. Kanak-kanak autism juga didapati
memberi respon yang positif dalam sesi terapi dengan kucing.
Keistimewaan
#2 – Menjaga Kesihatan Fizikal
Tahukah anda bunyi dengkuran kucing dapat membantu memulihkan kecederaan
tulang dan otot?
Hasil pemerhatian juga menunjukkan bahawa pesakit yang sentiasa
berdampingan dengan kucing akan dibenarkan keluar lebih awal dari hospital,
kurang temujanji dengan doktor dan kurang menghadapi risiko untuk mendapat
serangan jantung atau strok.
Bagaimana ini boleh terjadi?
Aktiviti dengan kucing dapat merendahkan rembesan kimia bernama cortisol
di dalam badan. Kadar cortisol yang tinggi akan meningkatkan tahap kolestrol
dan tekanan darah.
Ini akan mengundang penyakit-penyakit yang berkaitan dengan
kardiovaskular. Jadi penurunan kandungan bahan kimia cortisol di dalam badan
akan meningkatkan tahap kesihatan apabila risiko terhadap penyakit-penyakit ini
boleh dibendung.
Secara tidak langsung, keadaan dan fungsi badan dapat bekerja dengan
optimum yang seterusnya membantu proses penyembuhan pesakit.
Keistimewaan #3 – Saling Berkasih-sayang
Anda ingin melihat contoh kasih sayang yang tak bertepi? Peliharalah
kucing. Kucing menyayangi tuannya tanpa syarat.
Betapa sayangnya seekor kucing pada tuannya, tidak kucing itu benarkan
tuannya melakukan derhaka pada Tuhan. Kenapa saya kata begitu?
Waktu Subuh saya dikejutkan oleh kucing yang paling rapat dengan saya.
Selagi tak bangun, selagi itulah kucing hitam ini akan berbunyi dengan nyaring
betul-betul di telinga sambil menjilat-jilat telinga saya.
Sebaik sahaja saya mengalah dan bangun bersolat, barulah kucing ini
berhenti mengganggu. Haiwan dan tumbuhan itu kan makhluk Allah yang paling
redha pada ketetapan hidupnya dan paling kenal siapa Tuhannya.
Di sini saya belajar suatu yang bermakna dari kucing, jangan ingkar pada
Tuhan.
Satu lagi kisah mengenai kasih sayang kucing. Kucing mempunyai deria bau
yang tajam berbanding manusia.
Apabila terdapat sel-sel kanser di dalam tubuh tuannya, kucing akan cuba
memberitahu tuannya itu agar membuat pemeriksaan di kawasan yang menjadi
tumpuannya itu (isyarat secara bahasa kucing: mengiau, meminta perhatian dan
sebagainya).
Kes-kes seperti ini banyak dilaporkan oleh pertubuhan kesihatan di luar
negara.
Apa lagi tanda kasih sayang kucing kepada tuannya? Kucing akan pastikan
rumah tuannya bersih dari haiwan perosak seperti serangga, cicak dan tikus.
Mana ada kucing yang akan membiarkan haiwan-haiwan ini bebas
berpeleseran di rumah tuannya. Lepas tangkap, kucing di rumah kami akan
tunjukkan hasil tangkapan itu kepada kami (kucing-kucing kami tak makan buruan
ni).
Sebagai tanda terima kasih, kami upah pula dengan pujian, usapan dan
makanan yang enak untuknya.
Keistimewaan
#4 – Mendisiplinkan Diri & Membentuk Sifat Bertanggungjawab
Boleh ke jadi seorang yang berdisiplin bila memelihara kucing? Nampak
seperti mudah tapi ada beberapa perkara yang perlu dilakukan oleh tuan kucing
sebenarnya.
Kucing harus diberi makan dengan teratur. Jadi tuan kucing mesti tahu
bila dan berapa jumlah makanan yang perlu diberikan kepada kucing-kucingnya.
Bila kucing dijaga dari kecil, corak pemakanan yang berbeza juga perlu peka.
Ketika bila kucing berhenti menyusu dan waktu bila boleh diberi makanan
pepejal adalah antara matlumat penting untuk memastikan kucing membesar dengan
sihat dan kuat.
Ini belum ambil kira soal imunisasi kucing, jadual makan ubat dan
temujanji doktor tau.
Selain itu, kucing yang dijaga dari kecil perlu dilatih untuk membuang
najis di tempat yang disediakan atau di luar rumah.
Maka tuan kucing mesti komited dan berdisiplin untuk menunjukkan perkara
ini sehingga kucingnya pandai menjaga kebersihan diri.
Tambahan pula, jika kucing tidak menjaga soal kebersihan dan menganggu
harta benda orang lain (mencuri ikan, ‘menanda kawasan’ di tempat orang dsbg),
tuan kucing harus bertanggungjawab dengan tindakan kucingnya.
Ya, jadilah seorang tuan kucing yang bertanggungjawab dan tahu
menghormati hak jiran tetangga. Fahamilah bahawa mungkin jiran anda alahan
dengan kucing atau bau-bau ‘kotoran’ kucing anda boleh menganggu ketenteraman
awam.
Ini belum ambil kira soal memberi mandi kucing, mengemas bulu dan
memotong kuku lagi tau (lain spesis kucing, lain keperluannya).
Bila semua ini dilakukan, bukankah anda jadi seorang yang berdisiplin
dan bertanggungjawab?
Keistimewaan #5 – Membuang Sifat Pentingkan Diri Sendiri &
Kedekut
Memelihara kucing dapat belajar untuk menjadi manusia. Sesiapa yang ada
hati yang keras macam batu tu, saya sarankan peliharalah kucing. Sesiapa yang
ada jiwa yang sangat kedekut bak Haji Bakhil tu, silalah pelihara kucing.
Berkata Ibn al Haitami dalam Fatwa:
“Disunatkan untuk bermurah hati
kepadanya (kucing) Dan wajib atas pemiliknya memberi makan kepadanya jika ia
tidak dapat mencari sendiri makanannya.”
Saya cukup tak faham bagaimana ada manusia yang tergamak untuk memijak,
menyepak, memotong dan menyiram air panas pada binatang yang tak berdosa ni.
Agaknya dah hilang akal sampai tak ingat Tuhan Maha Melihat setiap
perbuatannya itu. Memalukan! Jangan lupa pada kisah seorang wanita yang
dicampak ke dalam neraka kerana mengurung kucingnya tanpa diberi makan. Inikan lagi
dicederakan sehingga begitu rupa.
Komitmen terhadap kucing mengajar kita erti berkongsi. Rezeki yang Allah
swt anugerahkan itu harus dikongsikan dengan yang lain.
Rezeki makan minum, rezeki kasih sayang dan rezeki tempat tinggal;
kongsilah dengan niat bersedekah pada si comel.
Jadikan latihan setiap hari untuk bermurah hati kepada kucing.
InsyaAllah lambat laun anda akan berjaya memiliki sifat bermurah hati kepada
manusia juga.
Keistimewaan
#6 – Mendapat Pahala
Siapa kata berbuat baik pada binatang tidak mendapat apa-apa ganjaran?
Mari kita renungi dulu ayat Al-Quran di bawah ini:
Sesungguhnya
pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada
tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi
orang-orang yang berakal; (Ali ‘Imran: 190)
Tidak ada satu pun yang dicipta Allah swt itu tanpa tujuan termasuklah
haiwan. Mengikut Ahmad Syakir dalam Umdah al Tafsir ‘an al Hafiz, 1/772, Dar al
Wafaa’ (2003), semua haiwan di hari Kiamat kelak akan menjadi debu.
Di situlah penamatnya. Tetapi kita sebagai manusia akan ditimbang segala
amalan untuk ditentukan kesudahan Neraka dan Syurganya.
Jadi kehadiran kucing bukan sahaja sebagai binatang peliharaan yang
mengisi kekosongan jiwa kita tetapi juga sebagai wadah untuk menuai ganjaran
pahala daripada Allah swt.
Menyantuni kucing bukan hanya perbuatan kosong tapi amat besar nilainya
di sisi Allah swt seperti sabda Rasulullah saw:
Tatkala seorang lelaki sedang berjalan pada sebuah jalan
terasalah olehnya dahaga yang sangat. Lalu ia mendapati sebuah sumur dan
bersegeralah ia meneruninya untuk minum.
Ketika keluar, tiba-tiba dia melihat seekot anjing
menjulurkan lidah sambil menjilat-jilat debu kerana sangat haus.
Lelaki itu berkata: “Anjing ini sedang kehausan seperti
aku tadi.” Lalu turunlah dia kembali ke dalam sumur untuk memenuhi sepatu
kulitnya dengan air lalu digigit agar dapat naik kembali.
Kemudian ia meminumkan air itu kepada anjing tersebut.
Allah berterima kasih kepadanya lalu mengampuninya.
Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah kami akan
mendapat pahala kerana binatang-binatang seperti ini?”
Rasulullah saw menjawab: “Pada setiap yang bernyawa (makhluk hidup) ada pahalanya.”
Rasulullah saw menjawab: “Pada setiap yang bernyawa (makhluk hidup) ada pahalanya.”
Riwayat Muslim
0 comments:
Post a Comment