Untuk
renungan bersama…
Orang
Yang Tak Sedarkan Diri
Daripada Abu
Hurairah r.a. Bahawasanya Rasulullah SAW bersabda “Jika ada seseorang berkata,
ramai orang telah rosak, maka orang yang berkata itu sendiri yang paling rosak
di antara mereka” (HR Muslim)
Ahli
Ibadat Yang Jahil Dan Ulama Yang Fasik
Daripada Anas r.a. Beliau berkata, bersabda Rasulullah SAW “Akan ada pada akhir
zaman ahli ibadat yang jahil dan ulama yang fasik ” (HR Ibnu Ady)
[Orang jahil yang rajin beribadat dan ada pula orang alim yang fasik]
Menjual
Agama Kerana Dunia
Daripada
Abu Hurairah r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Akan keluar pada
akhir zaman orang-orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama.
Mereka berpakaian di hadapan orang lain dengan pakaian yang dibuat daripada
kulit kambing (berpura-pura zuhud dari dunia) untuk mendapat simpati orang
ramai, dan perkataan mereka lebih manis daripada gula. Padahal hati mereka
adalah hati serigala. Allah SWT berfirman kepada mereka “Apakah kamu tertipu
dengan kelembutanKu? Ataukah kamu terlalu berani berbohong kepadaKu? Demi
kebesaranKu, Aku bersumpah akan menurunkan suatu fitnah yang akan terjadi di
kalangan mereka sendiri, sehingga orang yang alim (cendekiawan) pun akan
menjadi bingung” (HR Tirmizi)
Pendusta
Dan Pengkhianat
Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Akan datang
kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan tipuan. Pada waktu itu si pendusta
dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan dusta. Pengkhianat akan disuruh
memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang
berkesempatan berbicara (cuba membetulkan) hanyalah golongan “Ruwaibidhah”.
Sahabat bertanya “Apakah Ruwaibidhah itu wahai Rasulullah?” Nabi SAW menjawab
“Orang kerdil, hina, dan tidak mengetahui bagaimana hendak mengurus orang yang
ramai” (HR Ibnu Majah)
Kefasikan
Berleluasa
Daripada Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda “Bersegeralah
kamu beramal sebelum menemui fitnah (ujian berat) seumpama malam yang sangat gelap.
Seseorang yang masih beriman pada waktu pagi, kemudian pada waktu petang dia
sudah menjadi kafir, atau seseorang yang masih beriman pada waktu petang,
kemudian pada keesokan harinya dia sudah menjadi kafir. Dia telah menjual
agamanya dengan sedikit harta benda dunia” (HR Muslim)
Penindasan
Terhadap Umat Islam
Daripada Tsauban r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Hampir tiba
suatu zaman di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni
kamu bagaikan orang-orang yang kelaparan mengerumuni bekas hidangan mereka”
Maka salah seorang sahabat bertanya “Apakah kerana kami sedikit pada hari itu?”
Nabi SAW menjawab “Bahkan kamu pada hari itu terlalu ramai, tetapi kamu umpama
buih pada masa banjir, dan Allah akan mencabut rasa gentar terhadap kamu
daripada hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan melemparkan ke dalam hati kamu
penyakit ‘wahan’. Seorang sahabat bertanya “Apakah ‘wahan’ itu, wahai
Rasulullah?” Rasulullah menjawab “Cinta dunia dan takut mati” (HR Abu Daud)
Namanya
Saja Islam
Daripada Ali bin Abi Thalib r.a. Beliau berkata, telah bersabda Rasulullah SAW
“Telah hampir tiba suatu zaman, di mana tidak ada lagi dari Islam kecuali hanya
namanya, dan tidak ada lagi dari Al-Quran kecuali hanya tulisannya.
Masjid-masjid mereka indah, tetapi kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah
sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah langit. Daripada merekalah keluar
fitnah, dan kepada mereka jua fitnah itu akan kembali ” (HR Al-Baihaqi)
Budaya
Barat Ikutan Umat Islam Kini
Daripada Abu Sa’id Al-Khudri r.a. Beliau berkata, bahawasanya Rasulullah SAW
bersabda “Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal
demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang
biawak sekalipun kamu akan mengikut mereka” Sahabat bertanya “Ya Rasulullah!
Apakah Yahudi dan Nasrani yang Tuan maksudkan?” Nabi SAW menjawab “Siapa lagi?”
(HR Muslim)
Ulama
Tidak Dipedulikan
Daripada Sahl bin Saad as-Sa ‘idi r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda
“Ya Allah! Janganlah Engkau menemukan aku dan mudah-mudahan kamu juga tidak
bertemu dengan suatu zaman di mana para ulama sudah tidak diikuti lagi, dan
orang yang penyantun sudah tidak dihiraukan lagi. Hati mereka seperti hati
orang Ajam, lidah mereka seperti lidah orang Arab” (HR Ahmad)
Ulama
Agama Semakin Berkurang
Daripada Abdullah bin Amr bin ‘Ash r.a. Beliau berkata, aku mendengar
Rasulullah SAW bersabda “Bahawasanya Allah SWT tidak akan mencabut
(menghilangkan) ilmu dengan sekali gus daripada manusia. Tetapi Allah SWT
menghilangkan ilmu agama dengan mematikan para ulama. Apabila telah ditiadakan
para ulama, orang banyak akan memilih orang-orang jahil sebagai pemimpinnya.
Apabila pemimpin yang jahil itu ditanyakan, mereka akan berfatwa tanpa ilmu
pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain” (HR Muslim)
Golongan
Anti Hadis
Daripada Miqdam bin Ma’dikariba r.a. Beliau berkata, bahawasanya Rasulullah SAW
bersabda “Hampir tiba suatu zaman di mana seorang lelaki yang sedang duduk
bersandar di atas kursi kemegahannya, lalu disampaikan kepadanya sebuah hadis
dari hadisku maka dia berkata “Pegangan kami dan kamu hanyalah kitab Allah
sahaja. Apa yang dihalalkan oleh Al-Quran kami halalkan. Dan apa yang ia
haramkan kami haramkan” (Kemudian Nabi SAW melanjutkan sabdanya) “Padahal apa
yang diharamkan Rasulullah SAW itu samalah hukumnya dengan apa yang diharamkan
Allah SWT” (HR Abu Daud dan Ibnu Majah)
Berbangga-Bangga
Dengan Masjid
Dari Anas bin Malik r.a. Bahawasanya Rasulullah SAW bersabda “Tidak terjadi
hari Kiamat sehingga umatku bermegah-megah dengan bangunan masjid” (HR Abu
Daud)
Tak
Ada Imam Untuk Solat Berjemaah
Daripada Salamah binti al-Hurr r.a. Beliau berkata, aku mendengar Rasulullah
SAW bersabda “Akan datang suatu zaman, pada waktu itu orang banyak berdiri
tegak beberapa lama, kerana mereka tidak mendapatkan orang yang dapat mengimami
mereka solat” (HR Ibnu Majah)
Penyakit
Umat Islam Masa Kini
Daripada Abu Hurairah r.a. Katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda
“Umatku akan ditimpa penyakit -penyakit yang pernah menimpa umat-umat
terdahulu” Sahabat bertanya “Apakah penyakit-penyakit umat-umat terdahulu itu?”
Nabi SAW menjawab “Penyakit-penyakit itu adalah, 1.Terlalu sombong, 2.Terlalu
mewah, 3.Mengumpulkan harta sebanyak mungkin, 4.Tipu menipu dalam merebut harta
benda dunia, 5.Saling memarahi, 6.Dengki-mendengki sehingga menjadi zalim
menzalimi” (HR Hakim)
Perangkap
Riba
Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Akan tiba
suatu zaman, tidak ada seorang pun kecuali dia terlibat dalam memakan harta
riba. Kalau dia tidak memakannya secara langsung, dia akan terkena debunya” (HR
Ibnu Majah)
Manusia
Tak Peduli Mengenai Sumber Pendapatannya
Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau berkata, bersabda Rasulullah saw, “Akan
datang suatu zaman seseorang tidak mempedulikan daripada mana dia mendapatkan
harta, apakah dari sumber yang halal atau pun haram” (Riwayat Muslim)
Banyaknya
Sumber Galian
Daripada Ibnu Omar r.a. Beliau berkata “Pada suatu masa dibawa ke hadapan
Rasulullah SAW sepotong emas. Dan emas itu adalah emas zakat yang pertama
sekali dikutip. Emas itu telah dibawa oleh Bani Sulaim dari lombong (galian)
mereka. Maka sahabat berkata “Wahai Rasulullah! Emas ini adalah hasil galian
kita” Lalu Nabi SAW menjawab “Nanti kamu akan dapati banyak galian-galian, dan
yang akan menguruskannya adalah orang-orang yang jahat ” (HR Baihaqi)
Khamar
Daripada Abu Malik Al-Asy’ari r.a. Katanya Rasulullah SAW bersabda
“Sesungguhnya akan ada sebahagian dari umatku yang meminum khamar dan mereka
menamakannya dengan nama yang lain. Sambil diiringi dengan alunan muzik dan
suara biduanita. Allah SWT akan menenggelamkan mereka ke dalam bumi dan Allah
SWT akan mengubah mereka menjadi kera atau babi” (HR Ibnu Majah)
Banyaknya
Perzinaan
Dari Anas r.a. Beliau berkata “Aku akan menceritakan kepada kamu sebuah Hadis
yang tidak ada orang lain yang akan menceritakannya setelah aku. Aku mendengar
Rasulullah SAW bersabda “Di antara tanda kiamat ialah sedikit ilmu, banyak
kejahilan, banyak perzinaan, banyak kaum perempuan dan sedikit kaum lelaki,
sehingga nanti seorang lelaki akan mengurus lima puluh orang perempuan” (HR
Bukhari Muslim)
Berpakaian
Tetapi Telanjang
Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda ”Ada dua
golongan yang akan menjadi penghuni Neraka, keduanya belum pernah aku melihat
mereka.
Pertama, golongan (penguasa) yang mempunyai cambuk bagaikan ekor sapi yang
digunakan untuk memukul orang. Kedua, perempuan yang berpakaian tetapi
telanjang, lenggang-lenggok sewaktu berjalan, mengayun-ayunkan bahu. Kepala
mereka bagaikan bonggol (belakang unta). Kedua golongan ini tidak akan masuk
syurga, malah tidak akan dapat mencium bau harumnya. Sesungguhnya keharuman
syurga itu akan terhidu dari jarak perjalanan yang sangat jauh (HR Muslim)
Perilaku
Manusia Masa Kini
Dari Aisyah r.a. Dia berkata “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda “Tidak akan
terjadi hari kiamat sehingga seorang anak menjadi sebab kemarahan (bagi ibu
bapanya), hujan akan menjadi panas, akan bertambah banyak orang yang tercela
dan akan berkurang orang yang baik, anak-anak menjadi berani melawan orang tua,
dan orang yang jahat berani melawan orang-orang baik” (HR Thabrani)
Anak
Menjadi Tuan Kepada Ibunya
Daripada Umar bin al-Khattab r.a. (dalam sebuah hadis yang panjang), …kemudian
Jibrail bertanya kepada Rasulullah SAW ” Maka khabarkan kepadaku tentang hari
kiamat?” Lalu Nabi SAW menjawab, “Orang yang ditanya tidak lebih mengetahui
daripada orang yang bertanya” Maka Jibrail berkata “Kalau begitu cuba khabarkan
kepadaku tanda-tandanya” maka Nabi SAW menjawab “Bahawa hamba akan melahirkan
tuannya dan engkau melihat orang berjalan tanpa kasut dan orang yang
bertelanjang lagi miskin yang hanya menggembala kambing itu berlumba-lumba
untuk membuat binaan” (Riwayat Muslim)
Peperangan
Demi Peperangan
Daripada Abu Hurairah r.a, katanya Rasulullah SAW bersabda “Hari kiamat tidak
akan terjadi sehingga harta benda melimpah ruah dan timbul banyak fitnah dan
sering terjadi “al-Harj”. Sahabat bertanya “Apakah al-Harj itu wahai
Rasulullah?” Nabi SAW menjawab “Peperangan, peperangan, peperangan” Beliau
mengucapkannya tiga kali. (HR Ibnu Majah)
Perang
Di Sekitar Sungai Furat (Iraq) Kerana Berebut Kekayaan
Daripada Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda “Tidak terjadi
hari kiamat sehingga Sungai Furat (Sungai Euphrates, Iraq) menjadi surut airnya
sehingga kelihatan sebuah gunung dari emas. Banyak orang yang terbunuh kerana
merebutnya. Maka terbunuhlah sembilan puluh sembilan daripada seratus orang
yang berperang. Dan masing-masing yang terlibat berkata “Mudah-mudahan akulah
orang yang selamat itu” Di dalam riwayat lain disebutkan “Sudah dekat suatu
masa di mana Sungai Furat akan menjadi surut airnya lalu kelihatan
perbendaharaan dari emas, maka siapa sahaja yang hadir di situ janganlah dia
mengambil sesuatu pun dari harta tersebut” (HR Bukhari Muslim)
[Terdapat sebahagian pihak yang menyatakan bahawa perkataan emas di dalam Hadis
ini sebenarnya petroleum ]
Waktu
Terasa Pendek
Daripada Anas bin Malik r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Tidak
akan terjadi kiamat sehingga waktu terasa pendek, maka setahun dirasakan
seperti sebulan, sebulan dirasakan seperti seminggu, seminggu dirasakan seperti
sehari, sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu
kilatan api” (HR Tirmizi)
Hilangnya
Sifat Amanah
Daripada Huzaifah bin Al-Yaman r.a. Katanya, …”Kemudian jadilah orang ramai
berjual beli, maka hampir sahaja tiada seorang pun yang suka menunaikan amanah,
sehingga dikatakan orang bahawasanya di kalangan Bani Fulan (di kampung yang
tertentu) itu ada seorang yang sangat baik memegang amanah, sangat terpercaya
dan orang ramai mengatakan “Alangkah tekunnya dia dalam bekerja, alangkah
indahnya pekerjaannya, alangkah cerdik otaknya. Padahal di dalam hatinya sudah
tiada lagi keimanan sekali pun hanya seberat timbangan biji sawi.” (HR Bukhari
& Muslim)
Islam
Akan Pudar Secara Perlahan-Lahan
Daripada Huzaifah bin al-Yaman r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda
“Islam akan lenyap seperti hilangnya corak pada pakaian, sehingga orang tidak
mengerti apakah yang dimaksudkan dengan puasa, apakah yang dimaksudkan dengan
solat, apakah yang dimaksudkan dengan nusuk (ibadah), dan apakah yang
dimaksudkan dengan sedekah. Al-Quran akan hilang semuanya pada suatu malam
sahaja, maka tidak ada yang tertinggal di permukaan bumi ini darinya walaupun
hanya satu ayat. Sesungguhnya yang ada hanya beberapa kelompok manusia, di
antaranya orang tua, lelaki dan perempuan. Mereka hanya dapat berkata, Kami
sempat menemui nenek moyang kami mengucapkan kalimat LAILAHAILLALLAH, lalu kami
pun mengucapkannya juga” (HR Ibnu Majah)
Bilakah
Akan Terjadi Kehancuran?
Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau berkata “Pada suatu hari ketika Nabi SAW
sedang berada dalam suatu majlis dan berbicara dengan orang yang hadir,
tiba-tiba datang seorang A’rabi (Arab Badwi) lalu dia bertanya kepada
Rasulullah SAW “Bilakah akan terjadi hari Kiamat?” Nabi SAW terus saja
berbicara. Sebahagian yang hadir berkata “Beliau (Nabi SAW) mendengar apa yang
ditanyakan, tetapi pertanyaan itu tidak disenanginya” Sementara yang lain
berkata “Sesungguhnya beliau tidak mendengar pertanyaan itu” Sehingga apabila
Nabi SAW selesai berbicara, beliau bersabda “Di mana orang yang bertanyakan
mengenai hari Kiamat tadi?” Lalu Arab Badwi itu menyahut “Ya! Saya wahai
Rasulullah” Maka Nabi SAW bersabda “Apabila amanah telah disia-siakan maka
tunggulah hari Kiamat” Arab Badwi itu bertanya pula, “Apa yang dimaksudkan
dengan mensia-siakan amanah itu?” Nabi SAW menjawab “Apabila urusan diserahkan
kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah kedatangan hari Kiamat” (HR Bukhari)
Kebinasaan
Umat Islam
Daripada Ummul Mukminin , Zainab binti Jahsy (isteri Rasulullah SAW), beliau
berkata,”(Pada suatu hari) Rasulullah SAW masuk ke dalam rumahnya dengan
keadaan cemas sambil bersabda, LAILAHAILLALLAH, celaka (binasa) bagi bangsa
Arab dari kejahatan (malapetaka) yang sudah hampir menimpa mereka. Pada hari
ini telah terbuka dari dinding Yakjud dan Makjud seperti ini”, dan Baginda
menemukan ujung jari dan ujung jari yang sebelahnya (jari telunjuk) yang dengan
itu mengisyaratkan seperti bulatan. Saya (Zainab binti Jahsy) lalu bertanya “Ya
Rasulullah! Apakah kami akan binasa sedangkan di kalangan kami masih ada
orang-orang yang soleh?” Lalu Nabi SAW bersabda “Ya, jikalau kejahatan sudah
terlalu banyak” (Riwayat Bukhari & Muslim)
Punca
Kebinasaan Seseorang
Dari Abu Hurairah r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Akan datang suatu
zaman di mana orang yang beriman tidak akan dapat menyelamatkan imannya,
kecuali apabila dia lari membawanya dari puncak bukit ke puncak bukit yang
lain, dan dari suatu gua ke gua yang lain. Maka apabila zaman itu telah tiba,
segala sumber pendapatan tidak dapat diperoleh kecuali dengan melaksanakan
sesuatu yang menyebabkan kemurkaan Allah SWT. Apabila ini telah terjadi, maka
kebinasaan seseorang adalah disebabkan memenuhi kehendak isteri dan
anak-anaknya. Kalau dia tidak mempunyai isteri dan anak, maka kebinasaannya
disebabkan memenuhi kehendak kedua ibu bapanya. Dan jikalau ibu bapanya sudah
tidak ada lagi, maka kebinasaannya disebabkan mengikuti kehendak keluarganya
atau disebabkan mengikuti kehendak jiran tetangganya” Sahabat bertanya “Wahai
Rasulullah SAW, apakah maksud perkataan engkau itu?” Nabi SAW menjawab “Mereka
akan menghinanya dengan kesempitan hidupnya. Maka ketika itu sesungguhnya dia
telah menceburkan dirinya ke jurang-jurang kebinasaan yang akan menghancurkan
dirinya” (HR Baihaqi)
Perselisihan
Yang Banyak
Daripada Abi Nijih ‘Irbadh bin Sariyah r.a. Beliau berkata “Telah menasihati
kami Rasulullah SAW akan satu nasihat yang menggetarkan hati kami dan
menitiskan air kami ketika mendengarnya, lalu kami berkata, Ya Rasulullah!
Seolah-olah ini adalah nasihat yang terakhir sekali maka berikanlah pesanan
kepada kami” Lalu baginda pun bersabda “Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa
bertakwa kepada Allah dan mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekali pun
yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya sesiapa yang panjang
umurnya daripada kamu pasti dia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka
hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah para khulafa Ar
Rasyidin Al Mahdiyin (Khalifah-khalifah yang mengetahui kebenaran dan mendapat
pimpinan ke jalan yang benar) dan gigitlah sunah-sunah itu dengan gigi geraham
dan jauhilah perkara-perkara yang baru (bid’ah) yang diada-adakan, kerana
sesungguhnya tiap-tiap bid’ah itu adalah sesat” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)
Golongan
Yang Selamat
Daripada ‘Auf bin Malik r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Umat
Yahudi telah berpecah-belah menjadi tujuh puluh satu golongan, maka hanya satu
golongan sahaja yang masuk syurga dan yang tujuh puluh akan masuk neraka. Umat
Nasrani telah berpecah belah menjadi tujuh puluh dua golongan, maka tujuh puluh
satu golongan masuk neraka dan hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga.
Demi Tuhan yang diriku di dalam kekuasaanNya, umatku akan berpecah belah
menjadi tujuh puluh tiga golongan, hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga
dan tujuh puluh dua akan masuk neraka. Sahabat bertanya “Golongan mana yang
selamat?” Nabi SAW menjawab “Mereka adalah jemaah” (HR Ibnu Majah)
Orang
Asing
Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau berkata, Bersabda Rasulullah SAW “Islam mula
berkembang dalam keadaan asing. Dan ia akan kembali asing pula. Maka
beruntunglah orang-orang yang asing” (HR Muslim)
Kepayahan
Orang Yang Beriman
Daripada Anas r.a. Berkata Rasulullah SAW bersabda ”Akan datang pada manusia
suatu zaman di mana orang yang berpegang teguh di antara mereka kepada agamanya
laksana orang yang memegang bara api. (HR Tarmizi)
Kesusahan
Itu Lebih Baik Daripada Kesenangan
Daripada Ali bin Abi Thalib r.a “Bahawasanya kami sedang duduk bersama
Rasulullah SAW di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus’ab bin Umair r.a. Dan
tidak ada di badannya kecuali hanya selembar selendang yang bertampal dengan
kulit. Tatkala Rasulullah SAW melihat kepadanya. Baginda menangis dan
menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus’ab ketika berada di Mekah
dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya), dan kerana memandang nasib
Mus’ab sekarang (ketika berada di Madinah sebagai seorang Muhajirin yang
meninggalkan segala harta benda dan kekayaan di Mekah). Kemudian Nabi Muhammad
SAW bersabda “Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu hari nanti, pergi pada waktu
pagi dengan satu pakaian, dan pergi pada waktu petang dengan pakaian yang lain
pula. Dan apabila diberikan satu hidangan, diletakkan pula satu hidangan yang
lain. Dan kamu menutupi (menghiasi) rumah kamu sebagaimana kamu memasang
kelambu Kaabah?” Maka jawab sahabat “Wahai Rasulullah, tentunya keadaan kami
pada waktu itu lebih baik daripada keadaan kami pada hari ini. Kami akan
memberikan perhatian sepenuhnya kepada masalah ibadat sahaja dan tidak bersusah
payah lagi untuk mencari rezeki” Lalu Nabi SAW bersabda “Tidak! Keadaan kamu
hari ini adalah lebih baik daripada keadaan kamu pada hari itu” (HR Tirmizi)
Golongan
Yang Sentiasa Menang
Daripada Mughirah bin Syu’bah r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda
“Sentiasa di kalangan umatku ada golongan yang sentiasa menang (dalam
perjuangan mereka), sehingga sampailah pada suatu waktu yang dikehendaki Allah
SWT. Mereka senantiasa menang. (HR Bukhari)
sumber:
islamituindah