KUALA LUMPUR: Insiden kebakaran Pusat
Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung di sini awal pagi Khamis
yang mengorbankan 23 orang termasuk dua guru agama merupakan kes kedua terbesar
yang pernah berlaku melibatkan sekolah agama.
Insiden malang yang sama pernah menggemparkan negara 28 tahun
lalu di Sekolah Agama Rakyat Taufiqiah Al-Khairiah Al-Halimiah atau lebih
dikenali sebagai Pondok Pak Ya di Kampung Padang Lumut, Yan, Kedah.
Dalam kejadian awal pagi Jumaat 22
September 1989 itu, seramai 27 pelajar perempuan sekolah tersebut maut dalam
keadaan yang sungguh tragis apabila lapan buah asrama yang dihuni mereka
terbakar.
Peristiwa yang mencatatkan sejarah hitam itu difahamkan berlaku
ketika penghuni asrama yang majoritinya berusia antara 13 hingga 18 tahun
sedang nyenyak tidur.
Siasatan yang dijalankan pihak berkuasa mendapati kebakaran
berpunca daripada lilin yang dibakar oleh pelajar untuk mengulang kaji
pelajaran yang tidak dipadam dan terjatuh serta membakar tilam hingga
menyebabkan api marak dan tidak dapat dikawal.
Salah seorang netizen
komen berkenaan Pondok Pak Ya
Kejadian itu juga telah menimbulkan
persoalan pelbagai pihak tentang penggunaan tilam yang diperbuat daripada bahan
‘polyurethane foam’ berikutan kebanyakan mangsa dijumpai mati di atas dan
berhampiran tilam jenis itu.
Semua jenazah dikebumikan di tanah perkuburan khas ‘27 Syuhada
Peristiwa Kebakaran Pondok Pak Ya’ yang terletak berhampiran lokasi kejadian.
Kisah duka yang pastinya tidak mungkin
dilupakan oleh ahli keluarga mangsa yang terkorban turut mendapat perhatian
beberapa stesen televisyen untuk mengimbau semula kejadian yang berlaku dalam
bentuk dokumentari dan telefilem.
Pada 2011 Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah menayangkan
sebuah dokumentari dalam program bersiri Syahadah berjudul ‘Pondok Pak Ya,
Kedah’ dibawah kelolaan penerbit berpengalaman Ramlee Johari yang menyentuh
mengenai penubuhan dan perkembangan terkini sekolah tersebut.
Dokumentari berdurasi 30 minit itu juga turut mengupas kejadian
malang yang menimpa pelajar sekolah itu dengan menampilkan beberapa saksi,
bekas pelajar dan mangsa yang terselamat daripada insiden tersebut.
Astro juga telah menayangkan sebuah telefilem berjudul ‘Pondok
Pak Ya’ arahan Wan Hasliza berdasarkan kisah benar yang berlaku itu pada 2014.
Telefilem itu juga memuatkan beberapa fakta mengenai kebakaran
sekolah tersebut dan anak saudara kepada salah seorang mangsa kejadian turut
berlakon dengan memegang watak ibu saudaranya. – Bernama
0 comments:
Post a Comment