Solat taubat adalah sejenis solat sunat yang boleh dipraktikkan
oleh seseorang yang beragama Islam. Oleh kerana sudah menjadi lumrah manusia
untuk melakukan kesilapan dan berbuat dosa, maka Allah S.W.T. yang maha pemurah
telah memberikan kita satu hadiah ataupun anugerah yang tidak ternilai untuk
menyucikan diri kita daripada dosa-dosa. Hadiah ini adalah taubat dan
pengampunan. Bagaimanakah cara untuk mendapatkannya? Mudah sahaja. Anda boleh
mempelajari cara untuk mengerjakan solat sunat taubat sepertimana cara yang
diterangkan di bawah.
Cara Solat Taubat Nasuha Yang Betul
Waktu Solat Sunat Taubat
Waktu Solat Sunat Taubat
Solat taubat boleh dilakukan pada bila-bila masa. Tetapi, adalah
lebih afdhal ianya dikerjakan pada waktu tengah malam kerana ia lebih sunyi dan
anda lebih tenang. Anda juga disarankan untuk melakukannya sewaktu bersendirian
supaya tiada gangguan dan anda akan menjadi lebih khusyuk ketika melakukan
solat.
Kaedah Solat Sunat Taubat
Solat sunat taubat boleh dilakukan dalam 2, 4, ataupun 6 rakaat.
Ia sama seperti solat sunat lain.
(Jika solat 4 atau 6 rakaat, buatlah 2 rakaat dan salam, diikuti lagi 2 rakaat
dan salam, dan begitulah seterusnya).
Niat
Niat anda juga adalah sangat penting. Adalah baik untuk anda
bersungguh-sungguh dan mempunyai keinginan tinggi untuk bertaubat dan
meninggalkan daripada berbuat perkara mungkar- perbuatan ini dipanggil taubat
nasuha. Dengan mengikuti langkah-langkah ini, mudah-mudahan
solat anda akan diterima.
Panduan Solat Sunat Taubat Menggunakan Carta Aliran
Anda boleh merujuk carta aliran ini sebagai panduan solat sunat
taubat yang komprehensif, bermula daripada solat sunat sehinggalah ke
istighfar, istighfar tauhid & penghulu istighfar. Untuk kemudahan anda, di
sini saya sertakan juga cara bacaan niat & istighfar solat taubat dalam bahasa
rumi.
Silalah bookmark halaman ini
untuk rujukan pada masa hadapan atau anda boleh menyimpan terus gambar carta
aliran ini di dalam peranti anda. Saya mengharapkan supaya ilmu yang
dikongsikan ini sedikit-sebanyak dapat memberikan manfaat.
Doa Solat Taubat Nasuha
Lazimnya, memang akan ada “template” untuk
berdoa. Namun begitu, contoh doa taubat sengaja tidak disertakan di sini. Hal
ini kerana adalah lebih afdhal untuk kita berdoa dengan setulus hati di dalam
bahasa yang kita sendiri fahami. Sekiranya kita berniat solat sunat taubat
dengan sebenar-benar taubat tetapi doanya adalah sekadar doa mengikut “skrip”
yang bukan datang daripada hati yang tulus ikhlas; lebih-lebih lagi jika ia di
dalam bahasa Arab tetapi kita tidak arif dalam berbahasa Arab, wallahu
a’lam tetapi berkemungkinan besar kita sendiri pun tidak yakin
dan tidak dapat merasakan kesungguhan di dalam berdoa.
Oleh yang demikian, berdoalah dengan penuh keikhlasan dari hati,
pohonlah keampunan, mudah-mudahan taubat kita diterima dan dosa-dosa kita dapat
dihapuskan. Allah S.W.T. menyukai hamba-Nya yang suka bertaubat. Sesungguhnya
perjalanan yang manis adalah perjalanan ahli taubat.
Selamat beramal. In Sha Allah, semoga ibadah anda diterima.
0 comments:
Post a Comment