Saturday, September 16, 2017

Filled Under:

Nenek bermipi diberi tiga ayam putih



BATU CAVES - Nenek tiga beradik yang terkorban dalam kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah tidak menyangka mimpi dialaminya beberapa malam lalu menjadi petanda dia bakal kehilangan tiga cucu kesayangannya itu.
Sapiah Harun, 70, merupakan nenek kandung sebelah ayah Muhd Syafiq Haikal Mohd Sulaiman, 13; Muhd Hafiz Iskandar, 11, dan Muhd Harris Ikhwan, 10, yang maut bersama 18 pelajar dan dua warden asrama dalam kejadian semalam.
Sapiah berkata, dalam mimpi tersebut, dia diberikan tiga ekor ayam berwarna putih oleh seseorang namun dia enggan menerimanya.

"Orang dok bagi ayam warna putih, lepas tu hantar lagi ayam warna putih sampai tiga kali. Saya tolak pemberian tersebut dan kata saya tak nak ayam putih, bagilah warna hitam," katanya.
Dia berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Lebuhraya KL-Karak, Taman Selasih, di sini hari ini.
Menurutnya, sejak itu dia mula berasa tidak sedap hati kerana warna putih memberi maksud tidak baik.
Sementara itu, katanya dua hari lalu, Muhammad Syafiq Haikal ada menghubunginya dan menyuarakan hasratnya untuk tinggal bersamanya ketika cuti nanti.
"Makcik katakan padanya, baliklah sini nanti bulan 12 ada musim buah rambutan," katanya yang menjaga dan membesarkan tiga beradik itu sejak kecil lagi.
Sapiah yang tinggal di Serdang berkata dia sememangnya merindui cucu-cucunya yang ditemuinya kali terakhir pada Aidilfitri lalu.
"Makcik mengetahui berita mengenai kebakaran pusat tahfiz di Kuala Lumpur ketika menonton berita di televisyen kira-kira jam 1.30 petang," katanya.
Menurutnya, ketika menonton berita tersebut, terdetik dalam hatinya selalu sangat kejadian kebakaran melibatkan pusat tahfiz, namun tidak terlintas bahawa mangsa yang terkorban melibatkan cucu-cucunya.
Namun katanya, dia benar-benar terkejut ketika adik iparnya datang ke rumah memaklumkan kejadian menimpa cucu-cucunya.
"Ketika diberitahu, makcik rasa tidak jejak tanah, terlalu terkejut dan tidak percaya," katanya






0 comments:

Post a Comment