Saturday, September 16, 2017

Filled Under:

Kubur mangsa kebakaran terus diziarah



GOMBAK - Tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang meragut 23 nyawa, Khamis lalu bukan saja meninggalkan kesan mendalam kepada ahli keluarga mangsa.


Malah, ia turut meruntun hati rakyat Malaysia yang bersimpati dengan kejadian disifatkan antara yang terburuk tahun ini.  

Meskipun tiada ikatan persaudaraan, masyarakat awam bagaikan terpanggil untuk berkongsi rasa sedih dan inilah yang situasi yang dapat disaksikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Selasih, di sini yang menempatkan kubur 11 mangsa tragedi.

Sejak awal pagi tadi, tanah perkuburan ini terus diziarahi orang ramai bagi memberi penghormatan kepada mangsa-mangsa yang dikebumikan di sini. 

Merasai kesedihan ahli keluarga mangsa, Nazly Mohd Lani 45, hadir menziarahi tanah perkuburan sebagai tanda prihatin terhadap tragedi yang berlaku.



“Walaupun saya bukan daripada kalangan ahli keluarga mangsa, namun kejadian yang berlaku sangat dekat dengan diri saya kerana anak lelaki saya juga seorang pelajar tahfiz.
“Saya dapat merasai kesedihan ibu bapa mangsa,” katanya.

Pada masa beliau turut meminta orang supaya berhenti membuat spekulasi dan mempertikaikan kejadian tersebut.

“Kejadian ini adalah kehendak ALLAH, sebagai manusia kita perlu menerima takdir yang telah ditetapkan. Kita tidak boleh mempertikaikan apa yang berlaku,” katanya.

Turut menyatakan perkara sama, Rosmini Che Wan, 52, berkata, sebagai saudara Islam kejadian itu turut meninggalkan kesan yang mendalam.


“Saya sangat bersimpati dengan kejadian yang berlaku kerana tragedi ini sangat menyayat hati.

“Dalam Islam kita semua bersaudara dan jika perkara seperti ini berlaku sudah tentu kita merasai kesakitannya. Saya datang ziarah sebab kita anggap mangsa semua sebagai anak-anak sendiri,” katanya yang turut hadir menziarahi kubur 11 mangsa tragedi bersama kakaknya, Rosnah Che Wan, 55. 

Atas rasa prihatin, Muhammad Yusop, 28, bersama-sama seisi keluarganya turut mengambil peluang sama menziarahi tanah perkuburan mangsa.


“Kami sekeluarga dari Bentong, Pahang ke Kuala Lumpur untuk menghadiri majlis perkahwinan kenalan. 

“Kebetulan laluan kami berdekatan dengan pusat tahfiz dan juga tanah perkuburan mangsa. Jadi kami ambil peluang untuk menziarahi dan memberikan penghormatan terakhir kepada mangsa-mangsa,” katanya.

Seramai 21 pelajar dan dua guru yang bertugas sebagai warden pusat tahfiz itu terkorban apabila asrama yang terletak di tingkat paling atas bangunan tiga tingkat terbakar 5.15 pagi, Khamis lalu.

Kesemua mangsa selamat dikebumikan secara berperingkat di beberapa lokasi berasingan, semalam.

Sinar




0 comments:

Post a Comment