MAKSUD “sabar” dalam konteks amalan batin ialah
menahan hawa nafsu daripada dipengaruhi oleh sebarang gelora atau kegemparan
hati atau tekanan jiwa atau perasaan atau rangsangan yang menimbulkan rasa
marah atau berontak, resah- gelisah, tidak rela, sugul, kecewa atau putus asa,
akibat daripada pengalaman menghadapi kesusahan, ketidak-selesaan atau sesuatu
keadaan yang tidak disukai atau tidak diingini.
Kesabaran itu harus meliputi empat
tindakan, iaitu:
* tabah dan tekun dalam
mengerjakan taat atau ibadat kepada Allah;
* menahan diri daripada melakukan
maksiat atau kemungkaran;
* memelihara diri daripada dipukau
oleh godaan dunia, nafsu dan syaitan;
* tenang / teguh hati menghadapi
cubaan atau musibat.
Sabar yang demikian itu adalah
suatu tuntutan dalam agama dan merupakan satu ibadah, malah segala ibadat itu
didirikan di atas sabar, kerana dalam mengerjakan ibadat itu kita terpaksa
menanggung kepayahan dan pengorbanan.
Malah, dalam segala lapangan, kita
perlu bersabar dan menangani segala kesukaran dan rintangan yang dihadapi.
Orang yang gagal bersabar tidak akan tercapai matlamat dan manfaat ibadatnya.
Antara tujuan kita disuruh
mempertahankan kesabaran itu ialah:
Pertama, supaya dapat mengerjakan
ibadat dengan tenteram dan dapat mencapai kesempurnaan dan seterusnya mencapai
matlamatnya. Jika tidak bersabar, tekanan dan ekoran daripada pelbagai
kesukaran atau daripada padah pelbagai musibat menjadikan kita keluh-kesah,
lalu kehilangan punca kekusutan dan pertimbangan. Keadaan ini tentulah akan
mengganggu konsentrasi dan penghayatan dalam kerja ibadat, khususnya.
Kadang-kadang sampai tidak dapat meneruskannya.
Kedua, untuk mencapai kejayaan
(kebajikan dunia dan akhirat).
Antara firman Allah Taala tentang
hal ini ialah: “Dan Kami jadikan antara mereka itu pemimpin yang
memberi pertunjuk dengan perintah kami ketika mereka bersabar”. (QS.
32:24); “Mereka itulah orang-orang yang dibalas (dikurniakan) bilik (martabat
yang tinggi di syurga) kerana mereka bersabar (menjunjung taat kepada Allah),
dan mereka dialu-alukan di dalamnya (syurga) dengan penghormatan dan ucapan
salam kesejahteraan (oleh para malaikat)”. (QS. 25:75); “Sesungguhnya
orang-orang yang bersabar itu dicukupkan ganjaran pahala mereka tanpa batas”. (QS.
39:10);
Allah Taala menganjurkan kita
supaya bersabar. Firman-Nya (mafhumnya): “Hai orang-orang yang beriman,
bersabarlah kamu (melakukan taat dan menghadapi musibat), teguhkanlah kesabaran
kamu, tetapkanlah kewaspadaan serta siap siaga dan bertakwalah kepada Allah
agar kamu beruntung (merebut syurga dan bebas dari neraka). (QS. 3:200).
Apabila seseorang itu berjaya
mempertahankan kesabarannya dalam keempat-empat keadaan tersebut di atas, maka
tercapailah darjat istiqamah dan taat dengan mendapat ganjaran pahalanya yang
besar. Orang itu tidak akan terjatuh ke jurang maksiat.
Saiyidina Ali Abu Talib k.a.w
pernah bermadah, maksudnya: Jika engkau bersabar, takdir itu berlaku juga ke
atas diri mu, tetapi engkau dikurniakan ganjaran pahala. Jika engkau tidak sabar
pun, takdir tetap berlaku juga ke atas dirimu dan engkau berdosa.
DALAM konteks menghadapi ujian
(qadhak) atau musibat atau mala petaka, seseorang hamba Allah itu, insya Allah,
akan berjaya mengekalkan kesabarannya , jikalau dia sentiasa mengingati atau
mengekalkan kesedaran tentang hakikat atau hikmat musibat itu, atau jika hamba
Allah itu sentiasa menaruh sangkaan baik terhadap Allah Taala. Malah, dengan
yang demikian, kesabaran dan keimanannya akan bertambah teguh.
Sebagai perbandingan tentang hakikat
musibat itu, kita katakan ada seorang bapa yang melarang keras anaknya memakan
sejenis makanan yang amat digemari oleh anaknya itu. Sebaliknya sang bapa itu
memaksa anaknya memakan makanan biasa daripada bahan yang murah, walaupun dia
cukup mampu membeli makanan istimewa yang menjadai kegemaran anaknya itu.
Apakah penerimaan atau reaksi sang anak terhadap tindakan bapanya itu?
Dan apakah kata kita terhadap sang
bapa itu? Mungkin ramai antara kita akan mengatakan sang bapa itu kedekut,
bakhil,tidak bertimbangrasa dan sebagainya. Akan tetapi kita tidak harus
menuduh sebarangan kepada sang bapa itu sebelum kita tahu apa tujuan dia
bertindak demikian. Kita harus mencari sebab-musababnya.
Inilah tindakan wajar orang yang
bersabar. Demikianlah antara cara kita berhadapan dengan keadaan yang tidak
menyenangkan kita atau apabila menerima cubaan atau musibat yang ditakdirkan
oleh Allah Taala ke atas diri kita. Kita tidak harus terus melenting marah atau
kesal mengikut arus perasaan atau rangsangan nafsu dan syaitan, kerana kita
tidak tahu rahsia hakikat dan hikmat di sebalik takdir itu.
Bandingannya, katakan kita tahu,
tujuan sang bapa tersebut bertindak demikian adalah kerana anaknya itu sedang
mengidap suatu penyakit yang mengikut doktor, sang anak itu akan menghadapi
bahaya apabila memakan makanan kegemarannya itu.
Sekarang apa kata kita? Tidakkah
tuduhan-tuduhan terhadap sang bapa tadi tergugur dengan sendirinya? Dan, sang
anak itu pula, apa bila mengetahui tujuan bapanya itu, apakah wajar memarahi
bapanya atau berkecil hati atau menyesali tindakan bapanya itu? Sekarang
tentulah kita akan mengatakan, sang bapa itu adalah seorang bapa yang
bertanggungjawab dan anaknya pula tidak sepatutnya menyesali tindakan bapanya
yang demikian. Katakan lagi, sang bapa membawa anaknya itu ke hospital, lalu
ditahan di wad hospital itu. Maka itu terpenjaralah sang anak di hospital,
terpaksa berpisah dengan keluarga dan kawan-kawanya. Selain itu dia terpaksa
minum dan menelan ubat-ubat yang pahit dan disuntik. Rawatan seterunya ialah
pembedahan.
Pada zahirnya, sang anak itu
menderita terseksa, tetapi apabila diyakini, bahawa ‘seksaan’ itu adalah untuk
menyelamatkannya daripada ancaman dan seksaan sebenar yang berpanjangan
daripada penyakit yang dihidapinya itu, maka ‘seksaan’ sementara itu seharusnya
diterima dengan hati terbuka, penuh rela, tenang, dan sabar.
Demikianlah semestinya penerimaan
kita terhadap musibat atau ujian drpd Allah Taala. Sebenarnya penyakit itu
sendiri merupakan suatu cubaan atau musibah. Melalui penyakit, kita diuji oleh
Allah Taala sejauh mana kesabaran dan keimanan kita, sejauh mana dan bagaimana
usaha atau ikhtiar kita merawatinya, sama ada dengan cara yang bersendikan
tawakal dan tafwid atau melibatkan perbuatan syirik, yakni bergantung kepada
yang lain daripada Allah dan melakukan perkara-perkara mungkar yang lain.
Dan, kalau ditakdirkan usaha
rawatan itu gagal dan penyakit itu bertambah tenat, maka itu adalah ujian yang
lebih besar, khususnya kepada pengidap penyakit itu. Kalau penyakit itu
akhirnya membawa maut, maka ujian itu melibatkan keluarga pula. Hikmat dan
hakikat di sebalik apa yang ditakdirkan Allah itu, sama ada yang baik ataupun
yang buruk, kita tidak tahu.
Sebab itu kita perlu bersabar
menerima dan menanggungnya. Kita sebagai hamba Allah hendaklah menghadapinya
dengan hati yang tenang, penuh kerelaan, penuh kesabaran; di samping berikhtiar
mengatasinya dengan seberapa daya mengikut kemampuan kita sebagai manusia,
hamba Allah.
Untuk mewujudkan kesabaran, kita
hendaklah sentiasa menyedari, bahawa kadar dan waktu berlakunya kesusahan atau
musibat itu adalah di bawah takdir Allah Taala yang maha berkuasa. Ketetapan
kadar itu tidak bertambah atau berkurang dan waktunya tidak terdahulu atau
terkemudian.
Dan, untuk memelihara atau
mengekalkan kesabaran itu pula, kita hendaklah sentiasa mengingati bahawa
kesabaran itu bakal dibalas dengan ganjaran kebajikan dan pahala yang disimpan
khas oleh Allah Taala.
Demikianlah, kesabaran itu
merupakan ubat yang paling pahit tetapi paling mujarrab.
Yakinlah, keberkatan daripada
kesabaran itu membawa manfaat kepada kita sekali gus menolak mudarat daripada
kita. Sebagai ubat, pahitnya hanya sesaat, tetapi manisnya berpanjangan.
Wallahu a’lam.
=====
Al-Quran (Surah Al- Baqarah) Ayat 159
Sesungguhnya orang-orang yang
menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan
petunjuk hidayat, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab
Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.
Dari Abdullah bin ‘Amr R.A,
Rasulullah S.A.W bersabda: ” Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat…”
__________________________________________________
Firman Allah swt,
“Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, yang ingat-mengingati supaya mentaati kebenaran, dan yang ingat-mengingati dengan kesabaran.” Surah Al-Ashr
“Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, yang ingat-mengingati supaya mentaati kebenaran, dan yang ingat-mengingati dengan kesabaran.” Surah Al-Ashr
Dari Abdullah bin ‘Amr R.A,
Rasulullah S.A.W bersabda: ” Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat…”
Sumber : https://www.tranungkite.net
0 comments:
Post a Comment