Tidak semua orang mampu
melakukan perkara mulia seperti lelaki ini. Barangkali boleh dikira dengan
mudah terdapatnya manusia seperti lelaki ini di dunia. Tambahan beliau bukanlah
dari golongan kaya dan berkemampuan untuk melakukan perkara mulia tetapi hanya
golongan biasa dan sederhana yang kaya dengan budi pekerti mulia.
Kisah hebat dan mulia ini
datangnya dari seorang pekerja pembinaan yang miskin bernama Tong Phuoc Phuc
bersama sekumpulan pekerja sosial dan sukarela dari Vietnam yang mengumpul
janin untuk dikebumikan, menyelamatkan kandungan dari digugurkan dan menjaga
anak-anak terbuang dan ditinggalkan di rumah anak yatim. Senarai pekerjaan yang
panjang lagi tidak mementingkan diri.
Tong Phuoc Phuc ialah
seorang wira kepada anak-anak yang ditinggalkan dan digugurkan. Kisahnya pasti
akan menyentuh hati anda. Tong Phuoc Phuc telah membantu mengubah hidup ramai
wanita dan anak-anak yang kurang bernasib baik.
Kisahnya bermula pada
tahun 2001 apabila isterinya telah hamil dan beliau membawanya ke hospital
untuk pemeriksaan. Semasa berada di sana, Tong Phuoc Phuc telah melihat ramai
wanita mengandung yang memasuki sebuah bilik di hospital tersebut dan keluar
dari bilik tersebut tanpa bayi. Beliau menyedari yang wanita-wanita ini telah
menggugurkan kandungan mereka.
Hatinya berasa sangat
sakit apabila mendapat tahu ramainya bayi yang tidak mempunyai peluang untuk
dilahirkan di dunia. Jadi dia telah bertanya kepada kakitangan hospital dan
meminta kebenaran untuk mengambil janin dan bayi-bayi yang telah digugurkan
untuk diberikan pengebumian sempurna.
Pada Tong Phuoc Phuc,
mereka semua walaupun masih belum sempurna sifatnya, tetap dianggap manusia
olehnya.
Dengan sedikit wang simpanan yang Tong Phuoc Phuc kumpulkan, beliau telah dapat membeli sebuah tanah di pergunungan Hon Thom di bandar Nha Trang di mana janin dan jasad bayi-bayi yang malang itu dapat dikebumikan dengan sempurna.
Sehingga satu ketika, Tong telah dapat mengebumikan kesemua bayi ini dengan mengikut aturan seperti satu kawasan perkuburan.
Pada mulanya, isterinya memikirkan Tong
telah hilang akal dengan ideanya, tetapi beliau tidak pernah berputus asa
dengan tugas mulianya itu.
Selama beberapa tahun, lebih 10,000 janin dan mayat bayi telah
dikebumikan dengan sempurna di lapangan tanah perkuburan Tong Phuoc Phuc.
Secara tersiratnya, Tong telah menyelamatkan mereka semua.
Tong berkata perkuburan itu bukanlah satu
tempat kesedihan, tetapi sebuah taman mengenang dan menyentuh hati wanita yang
tidak pasti dengan perasaan dan fikiran mereka. Tong berharap ramai wanita akan
mengubah fikiran mereka dan meneruskan untuk melahirkan kandungan mereka.
Tong Phuoc Phuc tidak bersetuju dengan cara ibu yang terdesak
meninggalkan bayi mereka di tepi jalan dan bangunan seperti sampah.
Beliau juga tidak menyukai cara ibu-ibu yang meninggalkan sahaja
bayinya di perkarangan rumahnya tanpa rasa tanggungjawab. Jadi Tong telah
menawarkan khidmat untuk membantu dan menjaga anak-anak untuk ibu yang tidak
berkemampuan menjaga anak mereka.
Daripada ditinggalkan
dengan begitu sahaja, adalah lebih baik ibu-ibu ini meninggalkan anak-anak
mereka buat sementara waktu untuk dijaga oleh Tong sehingga mereka telah
berkemampuan dan mengambil mereka kembali kelak. Rumahnya telah dijadikan
seperti rumah perlindungan anak yatim sementara.
Pada mulanya, Tong melakukan sendirian
kesemua pekerjaan ini dan tidak menggalakkan sesiapa untuk mengikut jejaknya
dengan memikirkan masyarakat akan memandang apa yang dilakukannya adalah salah
dan pelik.
Namun, pihak hospital memahami tindakan dan tujuan murninya.
Lama kelamaan ramai yang telah datang bertanya dan cuba memahami kerjanya yang
akhirnya menyertai Tong menjadi pekerja sukarela.
Tong berkata, selepas mengebumikan ramai mayat bayi, beliau
berfikir adalah lebih baik sekiranya nyawa bayi-bayi itu cuba diselamatkan
olehnya.
Jadi, Tong telah pergi ke hospital-hospital
dan wad bersalin lalu cuba berbual dengan ibu-ibu mengandung yang terdesak dan
buntu, dan menasihatkan mereka supaya tidak melakukan pengguguran.
Jika ibu-ibu muda tidak mampu membesarkan bayi mereka, Tong akan
sanggup memberikan bantuan dan membesarkan bayi-bayi ini seperti anaknya
sendiri. Tong berjanji tidak akan menyerahkan anak-anak ini kepada orang lain.
Tong Phuoc Phuc telah membawa ratusan bayi
ke rumahnya di Phuong Sai di bandar Nha Trang untuk dijaga olehnya.
Pada waktu ini , kira-kira 20 orang kanak-kanak telah dijaga olehnya.
Tong mempunyai sebuah lagi rumah di Cam Ranh, 70 km di selatan Nha Trang dan
menempatkan 50 orang bayi yang dijaga oleh pihak gereja di sana.
Tanah Tong di pergunungan Hom Thom, Nha Trang telah menempatkan
1,000 kubur bayi yang berukuran 8,000 meter persegi.
Semua bayi yang diserahkan
kepadanya akan mengikut nama keluarga Tong. Oleh kerana beliau tidak dapat
mengingati kesemua nama mereka, Tong telah meletakkan nama pertama bayi lelaki
sebagai ‘Vinh’ bermaksud kehormatan dan bayi perempuan sebagi ‘Tam’ yang
bermaksud hati. Manakala nama tengah mereka mengikut nama asal tempat kediaman
ibu mereka, jadi amat mudah untuk mereka dikenali apabila ibu mereka datang dan
mengambil mereka kembali kelak.
Tong Phuoc Phuc tidak pernah menganggap
anak-anak ini sebagai anak angkat. Sebaliknya melayan mereka seperti anaknya
sendiri.
Apabila anak-anak ini bertemu semula dengan ibu mereka, Tong
adalah orang yang paling gembira dan berpuas hati. Setakad ini lebih 50 orang
kanak-kanak telah diserahkan kembali kepada ibu mereka yang telah berkemampuan.
Kerja mulia Tong secara tidak langsung
telah mengurangkan kadar pengguguran di kalangan wanita muda.
Pada tahun 2004, seramai 30 janin dan bayi telah dikebumikan
Tong setiap hari. Tetapi kini, ada hari yang tiada langsung janin dan mayat
bayi dibawa kepadanya untuk dikebumikan. Dan itu telah membuatkan beliau berasa
gembira dan lega dengan impiannya yang hampir tercapai.
Setiap kali Tong berjumpa dan berbual
dengan ibu mengandung yang ingin menggugurkan anaknya, mereka akan dibawa ke
perkuburan itu dan kemudian ke rumahnya sambil melihat wajah-wajah anak kecil
yang comel sebelum mereka membuat keputusan untuk menggugurkan kandungan
tersebut.
Tong mahukan ibu-ibu ini memahami akan tanggungjawab menjadi ibu
dan tidak mahu mereka berasa menyesal dengan keputusan yang dibuat untuk
sepanjang hayat mereka.
Walaupun tugas membesarkan dan mendidik
anak-anak ini memerlukan banyak tenaga dan pengorbanan, Tong tidak pernah
berasa letih dengan tugas mulianya itu.
Tong akan meneruskan tugas murni dan mulia ini sehingga ke akhir
hayatnya. Tong sangat sukakan tugas menjadi bapa kepada anak-anak yang tidak
berdosa ini.
Tong Phuoc Phuc adalah seorang lelaki hebat berhati mulia yang
telah menyelamatkan banyak nyawa anak-anak yang tidak bersalah. Harapannya di
masa depan, anak-anaknya akan meneruskan tradisi dan misi mulianya walaupun
selepas beliau telah tiada di dunia ini kelak.
Kredit
foto: healthylifemagazine365.com/thepinkpenguin.org/vietnambreakingnews.com.
Era Baru
0 comments:
Post a Comment