"DARI mana datangnya dua tong gas di tingkat tiga (di luar
bilik asrama)?" kata Datuk Dr Sharifuddin Musa, 45, bapa kepada Muhammad
Shahir, 11, mangsa kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Datuk
Keramat, Kuala Lumpur, pagi tadi.
Akibat kebakaran itu, Sharifuddin berkata, anaknya melecur
separuh di belakang badan.
"Kita tak pasti lagi bagaimana boleh berlaku kebakaran,
tetapi berhampiran pintu masuk tingkat tiga (bilik asrama), ada dua tong gas
yang tidak tahu datangnya dari mana.
Beliau curiga dengan 'kemunculan' dua tong gas berkenaan yang
sudah pasti mendatangkan kecelakaan yang lebih teruk apabila berlaku kebakaran.
"Tong gas itu tidak sepatutnya berada di situ,"
katanya.
Dalam kejadian itu, Sharifuddin berkata anaknya menyelamatkan
diri dengan memecahkan tingkap dan terjun atas 'awning' bangunan.
Katanya, anaknya dirawat di Bahagian Kecemasan Hospital Kuala
Lumpur (HKL).
Sharifuddin berkata, anaknya belajar di sekolah itu sejak
setahun lalu dan setakat ini bangunan tahfiz itu tiada sebarang masalah kerana
baru sahaja digunakan kira-kira setahun yang lalu.
Terdahulu Bernama melaporkan, siasatan Jabatan Bomba dan
Penyelamat Kuala Lumpur mendapati kebakaran di pusat tahfiz Darul Quran
Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung di sini bukan berpunca daripada litar
pintas, kata pengarahnya Khirudin Drahman.
Beliau berkata hasil siasatan Unit Forensik dan Suruhanjaya
Tenaga mengesahkan keadaan litar elektrik pada suis utama bangunan pusat tahfiz
itu adalah di dalam keadaan baik.
"Kita dapati cara api merebak agak pelik dan luar daripada
kebiasaan dengan kadar api merebak adalah sangat cepat dan besar. Biasanya,
jika disebabkan litar pintas, kotak fius utama akan 'tendang' dan ambil masa
sekurang-kurangnya setengah jam untuk api marak dan merebak.
"Berdasarkan maklumat mangsa yang selamat (saksi),
kebakaran itu bermula dari luar bahagian pintu asrama itu yang menyebabkan
mereka terperangkap. Tambahan pula ada dua tong gas di situ yang mungkin
menjadi punca api lagi besar dan cepat merebak," katanya kepada pemberita
di lokasi kejadian.
Khirudin berkata pihaknya percaya terdapat unsur lain dari luar
bangunan yang menyebabkan kebakaran tersebut berlaku dan siasatan terperinci
berpandukan ujian makmal sedang dijalankan.
"Biasanya kalau api bermula dari bahagian dalam, bilangan
yang terkorban tidak ramai kerana mereka masih boleh keluar. Saksi beritahu
mereka berusaha nak keluar tetapi api dah marak di luar pintu, sebab itu mereka
terperangkap," katanya.
Seramai 21 pelajar dan dua guru yang juga warden pusat tahfiz
itu terkorban dalam kebakaran pada 5.15 pagi semalam.
0 comments:
Post a Comment