SOALAN:
Assalamualaikum ustaz… saya nak kepastian tentang hukum wanita
sujud atas kain telekung sendiri. Adakh sujud dikira sah? Mohon pencerahan dari
ustaz.
JAWAPAN:
1) Sujud merupakan salah satu dari rukun solat, antara syarat
sah sujud, wajib mendedahkan sekurang-kurangnya sebahagian dari dahi agar
menyentuh di tempat sujud.
2) Jika seseorang sujud di atas sesuatu yang menghalang antara
seluruh dahinya dengan tempat sujud maka solatnya tidak sah jika penghalang itu
bersambung dengannya atau atas tanggungannya seperti hujung pakaiannya yang
mana pakaian turut bergerak apabila dia bergerak ketika berdiri dan duduk.
3) Fakta di atas ada dijelaskan oleh Imam Ibnu Hajar di dalam
karangan beliau “al-Minhaj al-Qawin”:
ﻭﺷﺮﻃﻪ ﻋﺪﻡ اﻟﺴﺠﻮﺩ ﻋﻠﻰ ﺷﻲء ﻣﺤﻤﻮﻝ ﻟﻪ ﺃﻭ ﻣﺘﺼﻞ ﺑﻪ ﺑﺤﻴﺚ ﻳﺘﺤﺮﻙ ﺑﺤﺮﻛﺘﻪ
ﻓﻲ ﻗﻴﺎﻣﻪ ﺃﻭ ﻗﻌﻮﺩﻩ ﻓﺈﻥ ﺳﺠﺪ ﻋﻠﻴﻪ ﻋﺎﻣﺪا ﻋﺎﻟﻤﺎ ﺑﻄﻠﺖ ﺻﻼﺗﻪ ﻭﺇﻻ ﻟﺰﻣﻪ ﺇﻋﺎﺩﺓ اﻟﺴﺠﻮﺩ
Maksudnya: “Syaratnya(sujud) tidak sujud atas sesuatu yang
ditanggung olehnya atau yang bersambung dengannya yang mana ia bergerak dengan
gerakannya ketika berdiri dan duduk. Jika seseorang itu sujud di atasnya secara
sengaja dan tahu(tidak jahil) maka batal solatnya. Jika tidak (sengaja atau jahil)
maka wajib dia mengulangi sujud”.
4) Berdasarkan kenyataan Imam Ibnu Hajar di atas, maka jelas
bahawa wanita yang sujud di atas telekungnya sendiri maka sujudnya tidak sah,
apabila sujud tidak sah maka solat juga tidak sah. Ini kerana telekung yang dipakai
bersambung dengan dirinya atau ditanggung olehnya, malah turut bergerak dengan
pergerakkannya.
5) Namun jika sujud di atas i) sesuatu yang tidak bergerak
dengan pergerakkannya atau ii) sesuatu yang bukan tanggungannya tetapi bergerak
dengan gerakannya maka sujud tetap sah. Perkara ini juga dinyatakan di dalam
rujukan yang sama:
ﻓﺈﻥ ﻟﻢ ﻳﺘﺤﺮﻙ ﺑﺤﺮﻛﺘﻪ ﺃﻭ ﻟﻢ ﻳﻜﻦ ﻣﻦ ﻣﺤﻤﻮﻟﻪ ﻭﺇﻥ ﺗﺤﺮﻙ ﺑﺤﺮﻛﺘﻪ ﻣﺜﻞ ﺃﻥ
ﻳﻜﻮﻥ ﺳﺮﻳﺮا ﻫﻮ ﻋﻠﻴﻪ ﺃﻭ ﺷﻴﺌﺎ “ﻓﻲ ﻳﺪﻩ” ﻛﻌﻮﺩ ﺟﺎﺯ اﻟﺴﺠﻮﺩ ﻋﻠﻴﻪ
Maksudnya: “Jika tidak bergerak dengan gerakannya atau bukan
tanggungannya meskipun ia bergerak dengan gerakannya sepertimana dia berada di
atas katil atau sesuatu pada tangannya seperti kayu maka diharuskan sujud di
atasnya.
6) Antara contoh lain untuk lebih mudah difahami. Simbol (i)
seperti seorang wanita sujud di atas hujung kainnya yang sangat labuh dan besar
yang mana pergerakan dirinya tidak memberi kesan pada hujung kainnya. Manakala
simbol (ii) seseorang memegang tasbih ketika solat, apabila hendak sujud tasbih
itu berada di tempat sujud. Dalam kedua-dua situasi begini tidak membatalkan
sujud.
7) Antara keadaan lain, seorang wanita yang bersolat berjemaah
lalu sujud di atas kain telekung rakannya di sebelah, maka sujud sebegini tetap
sah kerana dia bersujud di atas sesuatu yang tidak bergerak dengannya
gerakannya dan bukan di atas tanggungannya.
Wallahu A’lam
Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi
Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi
0 comments:
Post a Comment