Sekitar 13 September 2014,
Jimmy iaitu kucing jantan peliharaan Susan Zelitsky dan suaminya telah
menghilangkan diri setelah dibiarkan bermain di luar rumah pada suatu malam.
Sejak peristiwa itu, Jimmy yang dipelihara oleh keluarga berkenaan semenjak berusia
enam minggu tidak lagi kembali ke rumah.
Susan dan suaminya, Bob
Zelitsky seringkali membawa Jimmy bersiar-siar di kawasan kejiranan
bersama-sama dengan seekor lagi anjing peliharaan mereka. Namun, kehilangan
Jimmy telah membuatkan Susan begitu sedih.
Setiap hari, Susan akan memanggil nama
Jimmy dan mencarinya di sekitar kawasan perumahan tersebut namun hampa. Mereka
turut meneruskan usaha pencarian dengan menampal poster Jimmy selain membuat
laporan mengenai kehilangan Jimmy di balai polis.
Di samping itu, mereka turut mencari kucing kesayangan mereka
itu di pusat perlindungan haiwan.
Walau bagaimanapun, keputusan daripada segala usaha tersebut
adalah negatif. Berbulan-bulan mereka meneruskan pencarian dan tidak pernah
mengalah.
“Kadangkala, saya, suami dan anak-anak akan memanggil nama Jimmy
ketika membawa anjing kami bersiar-siar,” kata Susan.
Mac 2017, iaitu tiga hari
selepas ribut salji melanda, Jimmy berjaya ditemui kira-kira 10 batu jauh
daripada rumah asalnya. Jimmy telah dibawa ke pusat perlindungan haiwan bernama Real
Cats di Milford Barat.
“Rakan Facebook saya
telah kongsikan gambar tersebut dan apabila saya melihatnya, saya merasakan ia
memang kelihatan seperti Jimmy.”
Susan telah menghubungi pusat perlindungan haiwan tersebut untuk
mendapatkan maklumat lanjut. Keesokan harinya, dia telah ke sana sambil membawa
bantal dan mainan yang pernah Jimmy gunakan dahulu.
“Apabila mereka membuka sangkar, saya
bertanya ‘Jimmy ke ni?’ dan ia terus datang ke arah saya sambil menggeselkan
kepala dan hidungnya kepada mainan tersebut. Saya menggosok perutnya dan ia
mula menggigit manja tangan saya. Sama seperti yang ia sering lakukan dahulu,”
kata Susan.
“Saya yakin itu adalah kucing saya. Saya menghubungi suami saya
dan dia terus datang ke pusat perindungan tersebut. Apabila Jimmy melihat Bob,
ia turut menggeselkan kepalanya.”
Tanggal 22 Mac, Jimmy telah disatukan
kembali bersama keluarganya setelah hampir dua setengah tahun mengembara
sendirian tanpa arah tuju.
“Jimmy masih mengenali rumah tersebut. Ia melakukan sesuatu
seperti yang pernah dilakukannya sebelum ini seperti tidur di atas kerusi
kegemarannya dan juga di atas dada Bob.”
Ketika kehilangan Jimmy,
keluarga ini telah mengambil dua ekor anak kucing untuk dipelihara dan
kedua-duanya ternyata menerima kehadiran Jimmy di rumah tersebut dengan baik.
Anak perempuan bongsu Susan dan Bob pula pada mulanya berasa agak skeptikal
dengan kewujudan Jimmy.
“Dia baru pulang dari kerja dan melihat
Jimmy terbaring di atas katil saya. Dia bertanya, ‘Siapa itu?’ dan saya
memintanya untuk melihat Jimmy dengan lebih dekat. Jimmy kemudian bergolek dan
meminta perutnya dibelai. Anak saya terus menangis teresak-esak.”
Semoga Jimmy terus bahagia dengan kehidupannya bersama keluarga
tercinta.
0 comments:
Post a Comment