LONDON – Pejabat Hal Ehwal Luar
Britain di sini kini berjaya menggajikan ‘pekerja’ baharu untuk tugas khas
membasmi ancaman tikus iaitu seekor kucing, menurut laporan media tempatan
baru-baru ini.
Kucing yang
diberi nama sebagai Palmerston itu ‘diambil bekerja’ untuk menangani masalah
tikus di bangunan pejabat tersebut di kawasan Whitehall di sini, lapor stesen Perbadanan
Penyiaran Britain (BBC).
Menurut laporan BBC,
Palmerston turut tinggal dalam bangunan tersebut yang terletak di kawasan cukup
terkenal di ibu kota Britain, tempat rasmi kebanyakan menteri Kabinet dan
diplomat kerajaan bertugas
Jurucakap
Pejabat Hal Ehwal Luar Britain itu bahkan memberi jaminan bahawa langkah
terbaharu mereka ‘menggajikan’ kucing tersebut langsung tidak akan membebankan
pembayar cukai tempatan.
“Usaha
‘menggajikan’ Palmerston tidak akan membebankan rakyat langsung, kerana satu
dana hasil sumbangan kakitangan akan digunakan untuk menampung semua aspek
kebajikannya,” menurut pejabat itu lagi.
Ia juga
menambah bahawa Palmerston diberi ‘jawatan’ “FCO Chief Mouser” dan
kucing itu akan bantu petugas basmi haiwan perosak untuk mengurangkan jumlah
tikus dalam bangunan di King Charles Street itu.
Menurut BBC,
Palmerston, yang baharu berusia dua tahun, pada asalnya ditemui merayau-rayau
di sekitar London. Ia malah kebuluran, kurus kering dan bekas pemiliknya itu
tidak dapat dikesan sehingga kini.
Palmerston
kemudian dibawa ke sebuah tempat perlindungan haiwan Battersea Dogs and Cats
Home, jelas ketua kebajikan kucing jalanan di pusat tersebut, Lindsey
Quinlan kepada portal berita tempatan Newsbeat.
“Ia seekor
kucing yang yakin diri, gemar meluangkan masa bersama orang ramai dan suka
diusap di dagunya. Kami yakin Palmerston akan tegas dalam ‘tugasnya’ itu sesuai
dengan namanya sendiri,” kata beliau.
Menurut BBC,
kucing tersebut mungkin diberi nama berkenaan sempena Lord Palmerston, mantan
Perdana Menteri Britain yang disifatkan sebagai “tokoh yang popular dan
berkarisma.”
Selain
Palmerston, beberapa lagi ekor kucing turut tinggal dalam beberapa buah
bangunan rasmi kerajaan Britain, yang kebanyakannya sudah usang usia dan
mempunyai banyak masalah tikus.
Ini termasuk
seekor kucing tempatan bernama Larry, yang sudah lama menetap di kediaman rasmi
Perdana Menteri Britain di Nombor 10, Downing Street, sejak 2011 sehingga
sekarang.
Perdana
Menteri, David Cameron dalam satu wawancara media tempatan berkata, Larry
terbukti bekerja keras dan berjaya membasmi masalah tikus di sekitar kawasan
Downing Street.
Pemimpin parti
Konservatif itu malah menambah, Larry rata-rata tidak suka dengan golongan
lelaki, namun ia cukup mesra pula dengan Presiden Amerika Syarikat, Barack
Obama.
Menurut laporan BBC lagi,
Larry juga mempunyai satu akaun laman sosial Twitter yang bukan rasmi, dan kini
mempunyai lebih daripada 47,500 pengikut.






0 comments:
Post a Comment